Kanak-kanak memang sukakan coklat. Tapi, ramai ibu bapa enggan
membenarkan anak mereka makan coklat kerana bimbangkan kesan buruknya.
Betulkah coklat tidak baik untuk kesihatan?
Ibu bapa sering dimomokkan dengan pelbagai kesan negatif yang bakal
timbul jika memberi anak makan coklat. Mereka berpendapat, coklat bukan
sahaja makanan yang tidak berkhasiat tetapi juga boleh mengundang
pelbagai jenis penyakit seperti kerosakan gigi, obesiti dan penyakit
jantung.
Tahukah anda sebenarnya coklat merupakan makanan yang berkhasiat dan
seimbang kerana mengandungi nutrien-nutrien penting yang diperlukan
tubuh. Di dalam coklat terkandung 15% lemak, 6% protein, 17%
karbohidrat, 15% tenaga, vitamin dan mineral. Coklat juga mempunyai
nilai tenaga yang tinggi dalam bentuk mudah dan padat. Ini bermakna,
coklat sangat sesuai dijadikan makanan gantian ketika melakukan aktiviti
riadah.
Selain tinggi nilai tenaganya, coklat turut mengandungi anti-oksida yang dikenali sebagai flavonoid.
Anti-oksida ini membantu melindungi tubuh daripada proses penuaan cepat
yang disebabkan oleh radikal bebas seperti asap rokok. Flavonoid juga dapat melegakan tekanan darah tinggi dan menstabilkan hormon.
Phenylethylamine yang ada dalam coklat pula dapat
menenteramkan emosi dan jiwa terutama ketika dilanda kemurungan dan
kerisauan. Sementara itu, karbohidrat yang terkandung di dalam coklat
berupaya meningkatkan paras serotonin dalam otak yang dapat memberikan ketenangan dan kegembiraan.
Secara perbandingan, sekeping coklat susu mengandungi lebih kandungan
protein berbanding dengan sebiji pisang, sebatang lobak merah, sebiji
oren, sebiji epal atau sejumlah kismis dengan berat yang sama.
Coklat rosakkan gigi
Tanggapan yang mengatakan bahawa coklat boleh merosakkan gigi
kanak-kanak perlu disangkal. Kerosakan gigi berlaku disebabkan oleh
banyak faktor. Salah satu daripadanya ialah hakisan enamel pada gigi.
Asid yang terhasil daripada pecahan karbohidrat yang terdapat dalam
makanan menyebabkan hakisan ini.
Kajian mendapati coklat mengandungi bahan anti-kerosakan gigi seperti
tanin, kasein dan asid oksalik. Tanin merupakan sejenis bahan yang
bertindak untuk menghalang pembiakan bakteria yang akan membentuk plak
dan asid dalam mulut. Kasein di dalam coklat pula berfungsi untuk
mengurangkan kerosakan gigi dengan menghalang pertumbuhan plak. Kasein
juga membantu pertumbuhan gigi. Manakala asid oksalik pula berperanan
merencatkan pengeluaran enzim bakteria dan seterusnya menghalang
pengeluaran asid.
Lemak koko yang merupakan bahan asas dalam coklat mudah cair di dalam
mulut. Hasilnya, coklat tidak tersimpan lama di dalam mulut seterusnya
menghalang pertumbuhan plak. Walau bagaimanapun, selepas memakan coklat,
galakkanlah anak anda menggosok gigi.
Coklat juga bukanlah makanan yang boleh menggemukkan. Punca gemuk atau
obesiti adalah makan berlebihan. Makan secara sederhana dan diiringi
dengan senaman boleh mengelakkan berat badan yang ideal.
Dalam hal berkaitan masalah sakit jantung, coklat bukan puncanya.
Sebaliknya, coklat mengandungi antioksida yang dikenali sebagai fenol
yang boleh mengurangkan tahap kepadatan lipoprotein (kolesterol LDL).
Kajian terkini juga menunjukkan bahawa lemak koko mengandungi 38.2% asid
oleik (asid lemak tidak tepu) berperanan merendahkan paras kolesterol
dalam darah. Sementara, asid stearik iaitu asid lemak tepu yang ada
dalam mentega koko atau lemak dalam coklat tidak memberi sebarang kesan
pada kolesterol darah. Kenyataan ini membuktikan pengambilan sedikit
coklat sebagai sebahagian diet seimbang tidak akan menimbulkan masalah
kepada jantung.
majalahpama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan