Sabtu, 20 April 2013

Di Suatu Subuh Yang Hening

Di Suatu Subuh Yang Hening

Pada subuh yang hening, ketika manusia lena diulit mimpi, sejalur cahaya indah terpancar nun di kaki langit. Sadik namanya, dan ia tersenyum memandang sekalian penghuni bumi yang sedang berdengkur. DAM! DAM! DAM! DAM!.

Beduk dipalu menyambut kedatangan sadik yang indah kemilau cahayanya. Pukul 6.00 pagi, berkumandanglah suara muazin di sebuah surau di selatan tanah air, mengejutkan manusia yang masih lena;

ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!
ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!
 
 

Pukul 6.01 pagi, muazin di surau dan masjid di daerah lain pula mengalunkan kalimah suci itu. Lantang, tapi menyejukkan dada. Wajah sadik semakin jelas. pukul 6.02, laungan yang sama bergema di daerah yang lebih utara, begitulah seterusnya, berganjak dan berganjak tanpa henti di wilayah yang lain.

Solat Subuh

Pukul 6.05 pagi, berkumandang subuh di kota metropolitan yang bernama Kuala Lumpur. Laungan suci itu mengajak umatNya menunaikan solat beralun sayu tingkah bertingkah, hampir serentak dari setiap corong pembesar suara. Seluruh kota itu bergema dengan peringatan;

ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!
ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!

Pukul 6.06, azan subuh beralih ke daerah yang lebih utara. Demikianlah aturannya, tidak henti-henti, bersahut-sahutan membuka lembaran pagi yang aman permai. Selepas azan berakhir di Perlis, ia berkumandang pula di selatan Thailand, kemudian terus berganjak dan berganjak, setiap saat, setiap minit dan jam ke Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan serta Afghanistan.

Semasa penghuni sebuah negara permai bernama Malaysia sedang sibuk bekerja, azan subuh berkumandang pula di Kazakstan dan Uzbekistan, kemudian menggegar bumi Asia Barat, dari Iran yang berselubung hitam dan Iraq yang sedang bergelut dengan pembunuh berkulit putih, hinggalah ke Turki, seterusnya ke Eropah.

Seruan Subuh

Di saat matahari mula menuju ke ufuk barat negara Malaysia, azan subuh bergema di bumi angkuh bernama Amerika Syarikat dan Kanada. Seruan suci itu bersambut di Jepun, kemudian disahut oleh masjid-masjid di Korea, China, Filipina, Vietnam, Laos dan Kemboja tanpa putus walaupun sesaat. Ketika manusia sibuk bekerja di bumi Amerika, sadik yang indah memancar lagi di kaki langit negara Malaysia. Wajahnya tetap indah dan berseri, membawa khabar suci untuk yang mengerti.

Assolatuhairum minan'naum
“Wahai orang-orang yang berselimut,
sesungguhnya solat itu lebih baik daripada tidur.”

Dengarkah engkau akan seruan itu
seruan yang datang tika lenamu diulit mimpi
pada subuh bening yang dinginnya mendekam tubuh
dan menyenyakkan tidurmu
di ranjang pembaringan.

Dengarkah engkau akan seruan itu
seruan yang memanggil insan
untuk sujud pada Pencipta
agar dapat memulakan hari
dengan penuh syukur dan insaf
dan semoga hidup ini
sentiasa di bawah naunganNya
serta di dalam hadayahNya.

Assolatuhairum minan'naum!...

Seruan suci subuh yang hening ini tidak pernah putus dilaungkan di setiap inci muka bumi, walupun sesaat. Namun berapa ramaikah yang sanggup meninggalkan katilnya untuk beberapa minit demi menyembah Yang Maha Pencipta?.

sumber: titisanindahbungaanhati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...