Ahad, 5 Februari 2012

Kenapa Saya Suka Berkongsi Ilmu?


Kebanyakan manusia pada hari ini lebih melihat kepada sesuatu yang fizikal, suatu yang nyata untuk membuat penilaian akan tetapi tidak mahu melihat apa yang terselindung disebaliknya iaitu suatu yang halus, yang ghaib dan tidak kelihatan.

Kerana apa?

Kerana kita tidak pernah dilatih untuk berbuat sedemikian. Contohnya dari sekolah lagi kita dibasuh minda dengan teori evolusi bahawa manusia berasal dari monyet sedangkan teori evolusi itu sebenarnya adalah salah dan tidak boleh diterima akal.

Tuhan iaitu suatu yang ghaib, yang tidak kelihatan tidak pernah diambil kira di dalam pembinaan minda masyarakat jadi apabila generasi ini membesar meninggalkan sekolah dan bekerja, di"dodoi"kan pula dengan budaya hiburan, musik, sukan dan facebook, maka ilmu dan pendekatan terhadap Pencipta itu tidak lagi diambil kira.

Ini apa yang dipanggil pemikiran sekular. Lihatlah masyarakat kita hari ini yang rata-ratanya adalah "part-time" Muslim, lebih menyedihkan lagi kerana golongan ini juga yang menjadi pemimpin.

KEPERLUAN PERKONGSIAN ILMU

Justeru, apa yang berlaku perlu diperbaiki dengan segenap usaha. Perkongsian ilmu melalui media massa massa, individual atau persatuan dilihat mampu menggalas tanggungjawab untuk mendidik hati dan iman masyarakat.

Golongan cerdik pandai perlu turun di lapangan masyarakat. Golongan agamawan perlu fleksibel dan kreatif dalam memberi ceramah dan berdakwah. Media massa perlu serius dalam memaparkan bingkai kehidupan beragama. Populariti mengejar habuan akhirat harus dilonjakkan. Sikap berpeluk tubuh dan membiarkan masyarakat jahil semata tanpa mengenal erti kehidupan sebenar adalah sikap yang dilaknat oleh Allah.

Pastinya Rasulullah SAW tidak suka akan umat ini kerana mereka tidak cakna dan berfikir tentang kemaslahatan masa depan ummah.

”Barang siapa tidak ambil berat urusan umat Islam, dia bukan dari kalanganku.”
Kalaulah semua penganut agama islam berfikiran individualistik, siapakah yang akan membela nasib umat?
Siapakah yang akan berfikir dan merangka projek-projek ekonomi untuk membasmi kemiskinan umat Islam?
Siapakah yang akan merawat penyakit-penyakit yang ada pada umat?
Siapakah yang akan membebaskan umat daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat?

Siapa lagi, kalau bukan umat Islam itu sendiri dan kitalah umat Muhammad SAW. Mari kita mula memikirkan bagaimana hendak menyumbang kepada kebangkitan umat Islam.

Jangan sekadar berfikir bagaimana hendak penuhkan poket. Fikir jauh lagi.

muslimdoctor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...