Ahad, 5 Februari 2012

Pindah Gaji SSM kepada SBPA

CUEPACS kemuka formula perpindahan gaji untuk semakan semula skim baru

CUEPACS akan mengemukakan formula perpindahan gaji daripada Skim Saraan Malaysia kepada Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim baru itu.
 
Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Aziz Muda, berkata perpindahan gaji berkenaan mengambil kira gaji maksimum dan kekananan supaya ia diterima baik oleh semua penjawat awam.

“Setakat ini, kenaikan gaji penjawat awam dalam SBPA tidak jelas dan mengelirukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam Kesatuan Sekerja Lembaga Air Sibu (SWBEU), di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi iaitu sekitar RM45,000 setahun menjelang 2020 tidak akan tercapai dengan kadar gaji yang diperkenalkan SBPA sebelum ini.

Sementara itu, CUEPACS mengemukakan lima tuntutan utama yang akan menjadi petunjuk tuntutannya kepada kerajaan bagi memastikan penambahbaikan berlaku secara menyeluruh pada pelaksanaan SBPA.

Beliau berkata berdasarkan perkembangan semasa, CUEPACS yakin lima asas utama itu akan dipertimbangkan pasukan petugas khas SBPA.
“Sekiranya lima asas utama tuntutan ini masih tidak diterima oleh jawatankuasa, CUEPACS juga tidak akan menerima pandangan mereka. Ini kerana penambahbaikan tidak berlaku.

“Kalau ini (penambahbaikan) tidak berlaku, ia akan menyebabkan rasa tidak puas hati (di kalangan penjawat awam) berterusan,” katanya. –

 BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...