Jumaat, 2 Mac 2012

Hanya Serbuk Gelatin Dari Cina, Pakistan Ada Sijil Halal


Hanya serbuk gelatin yang diimport dari China dan Pakistan yang mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Penolong Pengarah Kanan Jakim Mohd Amri Abdullah berkata pengiktirafan diberi kepada kedua-dua negara itu kerana ia mempunyai permit import untuk gelatin dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), badan yang bertanggungjawab terhadap pemeriksaan rumah sembelihan dan loji pemprosesan hasil haiwan.


 “Bila kita terima permohonan daripada negara luar JPV dan Jakim akan buat pemeriksaan ke loji dan rumah penyembelihan untuk memastikan pemohon menepati syarat serta peraturan yang ditetapkan antaranya mematuhi aspek kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Ubat-ubatan 2012 anjuran Jabatan Farmasi Pusat Perubatan Universiti Malaya, di ibunegara hari ini.

Mohd Amri berkata selain menjalankan pemeriksaan terhadap loji dan rumah sembelihan, JPV serta Jakim juga akan memeriksa tulang dan kulit haiwan yang diguna untuk memastikan ia daripada sumber yang halal.

Dalam pada itu, Mohd Amri berkata sehingga kini terdapat 57 badan Islam dari 32 negara yang diiktiraf oleh Jakim termasuk Australia, Jepun, China dan Belanda.

Beliau berkata pengetahuan mengenai logo-logo badan Islam yang diiktiraf di luar negara penting bagi mengelakkan pengguna ragu-ragu untuk membeli barangan yang diimport.

“Selain itu ia juga membantu pengguna Islam terutama apabila berada di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata pesakit yang beragama Islam wajar menerima pandangan pakar perubatan apabila mendapatkan rawatan dan bukannya menolak untuk mengambil sesuatu ubat hanya kerana status halalnya diragui.

Beliau berkata ia kerana apa sahaja jenis ubat dibenarkan oleh Islam jika seseorang itu berada dalam keadaan darurat.

“Apalah ertinya pergi ke hospital kalau bukan untuk dapatkan kesihatan yang baik…terima apa sahaja ubat bermakna kita redha dengan takdir Allah,” katanya
malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...