Gambar hiasan je.. |
KITA sering merasakan ingin dihargai tetapi pernahkah kita menghargai
orang yang disayangi. Oleh itu, marilah kita menghargai saudara seagama
menurut perspektif Islam tanpa menilai rupa, harta dan jagalah adab
apabila bersama mereka.
Ada beberapa kepentingan yang harus kita pelihara supaya ukhuwah kekal
dalam dakapan menuju reda Allah seperti menjaga sikap, saling
menasihati, memahami dan bantu-membantu.
Tiap yang asas itu ada perhiasannya, begitu juga ukhuwah, ada perhiasan
yang sesuai. Perhiasan bukanlah sesuatu kewajipan tetapi ia seolah garam
dalam makanan dan gula dalam minuman. Apabila dipraktikkan, kekuatan
ukhuwah itu makin terasa dan tembok perbalahan tidak akan terbina.
Cara kita menghargai saudara kita ialah dengan memberi hadiah dan antara hadiah itu ialah:
Kehadiran
Kehadiran orang yang dikasihi adalah hadiah yang tidak ternilai
harganya. Memang kita boleh hadir dengan menghantar surat, e-mel, laman
facebook, telefon, foto dan banyak lagi dengan teknologi canggih kini.
Namun, dengan berada di samping mereka kita akan dapat berbagi perasaan,
perhatian dan kasih sayang secara lebih utuh. Oleh itu, jadikan
kehadiran anda sebagai pembawa kebahagiaan.
Mendengar
Sedikit orang yang mampu memberikan hadiah seperti ini, kerana
kebanyakan kita lebih suka dirinya didengari berbanding dia mendengar.
Keharmonian hubungan antara manusia amat ditentukan oleh kesediaan
saling mendengar.
Dengan mencurahkan perhatian pada segala ucapannya, secara tidak
langsung kita juga menumbuhkan kesabaran dan kerendahan hati. Untuk
mendengar dengan baik, pastikan anda dalam keadaan tenang supaya dapat
memahami apa yang disampaikan.
Diam
Dalam diam juga ada kekuatan. Diam boleh digunakan untuk menghukum,
mengusir atau membingungkan orang. Tetapi lebih dari segala-galanya, dia
boleh menunjukkan kecintaan kita pada seseorang kerana memberi ruang.
Kebebasan
Mencintai seseorang bukan bererti memberi kita hak penuh untuk memiliki
atau mengatur kehidupan orang disayangi. Bolehkah kita mengaku mencintai
seseorang jika kita selalu mengekangnya? Memberi kebebasan adalah salah
satu bukti cinta.
Makna kebebasan bukanlah bebas berbuat sesuka hati tetapi memberinya
kepercayaan penuh untuk bertanggungjawab atas segala hal yang diputuskan
atau dilakukan.
Keindahan
Siapa yang tidak bahagia, jika orang yang disayangi tiba-tiba tampil
lebih kacak atau cantik? Tampil indah dan rupawan juga adalah hadiah.
Bahkan tidak salah jika anda tampil cantik tiap hari begitu juga
memastikan kediaman juga indah.
Tanggapan positif
Sedar atau tidak, kita sering memberi penilaian negatif terhadap
fikiran, sikap atau tindakan orang yang kita sayang. Kali ini cuba
hadiahkan tanggapan positif, nyatakan dengan jelas dan tulus. Cuba ingat
berapa kali dalam seminggu anda mengucapkan terima kasih terhadap apa
yang dilakukannya demi anda. Ingat pula, pernahkah anda memujinya.
Ucapan terima kasih, pujian dan permintaan maaf adalah hadiah cinta yang
sering dilupakan.
Kesediaan mengalah
Tidak semua masalah layak menjadi bahan pertengkaran, apalagi hingga
menjadi perbalahan yang hebat. Semestinya anda pertimbangkan apakah ia
perbalahan itu berbaloi dan apabila ini berlaku, mungkin ada baiknya
anda mengalah.
Kesalahannya mungkin terlewat tiba untuk temu janji dan itu adalah kali
pertama, jadi perlukah pertengkaran dibiarkan berlanjutan. Kesediaan
untuk mengalah boleh menghilangkan perasaan sakit hati dan menyedarkan
kita bahawa manusia tidak sempurna.
Senyuman
Kekuatan senyuman amat luar biasa lebih-lebih lagi senyuman diberi
dengan tulus, boleh menghangatkan hubungan yang dingin dan menjadi
semangat kepada yang berputus asa. Senyuman juga isyarat untuk membuka
diri kepada dunia sekeliling kita. Senyum itu juga ibadah.
Mari bersama menilai hadiah apakah yang sudah kita beri kepada yang
tersayang dan mana yang belum. Jadikan pemberian hadiah sebagai pengikat
kasih sayang yang memperkukuhkan ukhuwah.
Pecahlah batu dipukul besi, berubah hanya dititis air, mana mungkin jiwa
pendakwah dapat merubah sekeping hati melainkan ia bertakhtakan kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan