UMAT Islam diwajibkan mendirikan solat sebanyak lima kali sehari
semalam. Selain solat wajib lima waktu, sebagai hamba Allah kita
dituntut memperbanyakkan amalan solat sunat khususnya solat rawatib.
Solat rawatib adalah solat sunat sebelum atau selepas solat wajib. Kita
diperintahkan mengamalkan solat rawatib atau tathawwu, iaitu solat sunat
yang menyertai solat wajib dengan tujuan melengkapkan segala kekurangan
yang mungkin terjadi semasa mendirikan solat fardu.
Selain itu, solat sunat itu tersingkap banyak keutamaan yang tidak
terdapat pada ibadat yang lain. Kita dapat analoginya seumpama gam yang
mampu menampal sesuatu benda yang bocor atau berlubang sehingga kembali
menjadi sempurna dan cantik.
Abu Hurairah ada menyertakan sebuah hadis yang bermaksud,
‘Sesungguhnya pertama sekali yang akan dihitung dari amal perbuatan manusia pada Hari Kiamat kelak adalah solat.
Allah S.W.T akan berfirman kepada Malaikat-Nya,
“Wahai Malaikat-Ku, periksalah solat hamba-Ku, sudahkah sempurna
solatnya atau masih kurang? Apabila didapati sudah cukup sempurna, akan
dicatat sempurna. Akan tetapi, apabila didapati kurang sempurna, Allah
berfirman, ‘Periksa kembali, apakah hamba-Ku itu memiliki amalan solat
sunat (tathawwu)? Apabila didapati bahawa dia memiliki amalan sunat
tathawwu (solat sunat), Allah akan berfirman; ‘Cukupkan dan sempurnakan
solat fardu hambu-Ku itu oleh solat sunatnya.’ Kemudian, amal perbuatan
hamba itu dikira menurut cara seperti ini.’ (Hadis riwayat Abu Daud).
Jelas bahawa mendirikan solat sunat rawatib itu satu amalan sunat
penting dan tidak seharusnya diremehkan. Ini tidak, kita hanya tekun
melaksanakan solat fardu wajib lima waktu tetapi begitu liat mendirikan
solat sunat.
Melaksanakan solat sunat itu digalakkan dilakukan di rumah berbanding di
masjid. Menurut Imam An-Nawawi dianjurkan solat sunat di rumah supaya
lebih tersembunyi daripada pandangan umum sekali gus dapat mengelakkan
timbul rasa riak yang akan membatalkan kebaikan amalan itu.
Hal itu juga adalah untuk menimbulkan cahaya rahmat Allah ke atas ahli
keluarga di dalam rumah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Apabila salah seorang di antara kalian sentiasa mengerjakan solat fardu
di masjid, hendaklah ia memberikan bahagian di rumahnya dari solatnya,
supaya Allah melimpahkan pula kebaikan atas rumah itu.” (Hadis riwayat
Ahmad dan Muslim).
Demikian juga Rasulullah s.a.w berpesan,
“Jadikanlah sebahagian solat kamu dapat dikerjakan di rumah dan jangan
kamu menjadikannya seakan kubur sebagai tempat tidur belaka.’ (Hadis
riwayat Ahmad dan Muslim).
Justeru, melalui dua hadis itu, jelas amalan solat sunat begitu
ditekankan Rasulullah s.a.w. Dalam kesibukan macam mana sekalipun,
berusahalah melakukan sunnah Baginda itu.
Pentingnya solat sunat sehingga Rasulullah s.a.w ada meninggalkan wasiatnya;
“Jangan engkau tinggalkan kedua-dua rakaat sunat subuh itu, meskipun
engkau dikejar oleh tentera berkuda.’ (Hadis riwayat Abu Daud dan
al-Baihaqi).
Namun, melihatkan keadaan dunia sekarang seakan manusia tidak pernah
cukup waktu untuk mendirikan solat sunat yang hanya sekitar tiga hingga
lima minit sahaja! Mengapakah perkara itu terjadi?
Ini kerana jiwa terlalu terpaut dengan tuntutan duniawi sehingga ukhrawi
tidak dimantapkan. Satu lagi peringatan Rasulullah terhadap solat sunat
khususnya solat sunat subuh.
Aisyah pernah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
‘Kedua-dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan
seisinya.” (Hadis direkodkan oleh Ahmad, Muslim, at-Tirmidzi dan
An-Nasai).
Maksud pesanan Nabi s.a.w lebih baik daripada dunia dan segala isinya
itu ialah keberkatan dan ganjaran pahalanya buat pengamal solat sunat
subuh itu.
Inilah keajaiban solat sunat dan kita seharusnya merebut pahala dan
berusaha menggamit cahaya kebaikan daripada-Nya. Pujuk dan rayu diri
dengan meleburkan sikap malas kepada gerak hati yang terdorong untuk
mendirikan amalan solat sunat itu.
Imam Ahmad dan Muslim ada meriwayatkan daripada Aisyah yang mengatakan, ‘
Saya tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w begitu rajin dan cepatnya
mengerjakan sesuatu kebaikan, sebagaimana rajin dan cepatnya Baginda
melakukan dua rakaat sunat sebelum subuh.’
Marilah sama-sama kita berikhtiar mengajak diri kita, anak-anak dan saudara agar mencintai solat sunat.
mahatera.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan