Gambar hiasan saja |
Kita semua, sedia maklum bahawa Firaun mengaku dirinya Tuhan dan memaksa
semua rakyat jelata agar menyembah dan memperhambakan diri padanya.
Barang siapa yang engkar dengan suruhannya akan diseksa atau dihukum
bunuh. Begitulah kejamnya Firaun.
Walaupun hukuman diugut dengan hukuman bunuh, terdapat beberapa orang
yang telah sedar dan beriman kepada Allah. Diantaranya ialah Siti Asiah,
isteri Firaun sendiri dan keluarga Masyitah.
Masyitah adalah pelayan raja yang paling lebih terkenal sebagai tukang
sikat keluarga Firaun. Mereka terpaksa menyembunyikan keislaman mereka
agar dengan itu mereka tidak diganggu oleh Firaun dan orang-orangnya.
Walau bagaimanapun suatu hari, sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut
salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh dan
tanpa disengajakan dia melatah dan menyebut, “Allah!”
Puteri tersebut bertanya siapakah `Allah` itu. Pada mulanya Masyitah
enggan menjawab pertanyaan itu. Namun puteri itu terus mendesak Masyitah
agar menjawab pertanyaannya. Akhirnya dengan tenang Masyitah berkata,
“Allah Tuhanku dan Tuhan sekalian alam .”
Puteri tersebut dengan serta-merta mengadu kepada Firaun tentang
Masyitah. Firaun terperanjat apabila mendengar Masyitah menyembah selain
dari dirinya. Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintah
menterinya bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan keluarganya yang
telah menyembah Allah.
Jasa Masyitah yang begitu banyak terhadap keluarga Firaun langsung tidak
dikenang oleh Firaun. Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga
mengasuh dan menguruskan istana. Tanpa usul periksa Firaun menjatuhkan
hukuman berat kepada Masyitah dan keluarganya.
Begitulah zalim dan kejamnya Firaun yang tidak berhati perut langsung.
Beginilah sikap manusia yang punya kuasa dan kedudukan, yang lupa bahawa
dia juga hamba kepada Tuhan yang menciptakannya. Manusia yang lemah
terus diseksa sesuka hatinya.
Di pihak Masyitah pula, dia sedar bahwa inilah masanya Tuhan hendak
menguji keimanannya. Meskipun lemah fizikalnya namun Masyitah memiliki
kekuatan jiwa yang sukar ditandingi oleh wanita lain. Beliau dengan
lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia
kufur, sombong dan bongkak itu terhadapnya.
Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya menyediakan kawah yang besar.
Hamman ingin merebus Masyitah serta keluarganya yang terdiri dari suami
dan empat orang anak termasuk seorang bayi yang masih kecil.
Masyitah dan keluarganya melihat air di dalam kawah yang dimasak
sehingga mendidih namun itu sedikitpun tidak menggugat keyakinan mereka
kepada Allah. Sebelum ditolak ke dalam kawah tersebut, Masyitah
sekeluarga telah ditanya oleh Hamman samada mahu selamat dengan
menyembah Firaun kembali atau masuk ke dalam kawah dengan beriman kepada
Allah. Dengan tegas mereka berkata, “Kami akan terus beriman kepada
Allah sekalipun terpaksa terjun ke dalam kawah yang menggelegak ini.”
Maka Hamman pun memaksa satu-persatu keluarga Masyitah terjun ke kawah
tersebut dengan sombong dan ketawa terbahak-bahak sambil menyindir dan
menghina mereka. Suami Masyitah dicampak dahulu dan diikuti dengan
anak-anaknya. Masyitah melihat sendiri bagaimana suami dan anak-anaknya
terkapai-kapai di dalam air yang menggelegak itu. Akhirnya tinggal
Masyitah bersama bayi yang sedang dikendongnya.
Di waktu itulah syaitan membisik ke telinganya, tidakkah dia rasa
kasihan dan simpati pada bayinya yang masih merah dan tidak tahu apa-apa
itu. Masyitah mula merasa ragu-ragu sama ada hendak membiarkan dirinya
dicampak ke dalam kawah itu atau tidak. Ketika itu, dengan kuasa dan
kehendak Allah, tiba-tiba anak yang masih kecil itu berkatakata berkata
kepada Masyitah, ibunya, “Wahai ibu marilah kita menyusuli ayah.
Sesungguhnya syurga sedang menanti kita.”
Bila mendengar kata-kata itu, Masyitah dengan rasa kehambaan kepada
Allah mencampakkan diri dan anaknya ke dalam kawah yang sedang
menggelegak itu. Kawah itu dikacau oleh pengawal dengan menggunakan
penyudip besi. Mereka dikacau seperti ikan yang direbus. Maka matilah
Masyitah bersama keluarganya demi mempertahankan aqidah dan keimanan
mereka.
Walaupun di dunia ini menerima seksa dan sengsara tetapi di akhirat
nanti, Allah telah menjamin syurga untuknya. Masyitah rela direbus
hidup-hidup di dalam air menggelegak panas sehingga menyebabkan hancur
dan masak kulit, isi dan seluruh badannya demi mempertahankan
keyakinannya kepada Allah. Dia menerima segalanya dengan penuh keimanan,
sabar dan redha kerana dia yakin Allah tidak akan mensia-siakan
keyakinan itu.
Begitulah hebatnya keyakinan Masyitah dan keluarganya kepada Allah.
Keimanannya sungguh mendalam sehingga dia tidak takut dengan ancaman
Firaun. Sememangnya Allah telah menjanjikan nikmat syurga yang kekal
abadi untuk Masyitah dan keluarganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan