Hari
yang indah terasa mendung dan kelam. Angin sepoi bertiup lembut namun
ia tidak mampu menenangkan hati duka si gadis bernama Sakinah. Langkah
yang diatur terasa berat, namun, berat lagi bebanan rasa yang terbuku di
hati. Terlalu payah untuk diterjemahkan.
Sesekali
hati merintih, mengapakah aku diuji sebegini rupa? Air mata mengiringi
setiap langkah kaki Sakinah. Sampai hati kau Rafiq. Sampai hati! Terlalu
murah air mata Sakinah kali ini. Menangisi lelaki bernama Rafiq.
Ah,
kenapa mesti lemah begini? Soalan mengasak-asak fikiran Sakinah namun
dia tidak mampu berhenti menangis.
Sakinah terus menangis. Sayu
benar hatinya. Lara hati siapa yang tahu. Sesekali ada yang menoleh ke
arahnya. Ah, hati aku yang merana! Kau apa tahu? bentak hati Sakinah
seolah-olah masalah yang ditanggungnya sangat sulit dan berat.
Sakinah
merupakan seorang remaja yang sentiasa bahagia sebelumnya. Dia
mengenali Rafiq, seorang mualaf dari luar negara yang lebih berusia
daripadanya, melalui mukabuku (Facebook). Siapa sangka rasa
suka bertukar kepada cinta. Cinta mereka disulam suka dan bahagia.
Namun, adat bercinta, adakalanya ia goyah jua.
Pada Sakinah, Rafiq
sangat sempurna akhlaknya dan sangat teguh pendirian agamanya. Ternyata
hidayah Allah yang meresap ke dalam diri Rafiq tiada tolok bandingnya
jika dibandingkan dengan dirinya.
Kadangkala, Sakinah merasa malu
kepada diri sendiri. Patuhnya Rafiq kepada ajaran Islam melebihi dirinya
sendiri yang dari lahirnya seorang Muslimah. Kepada Allah Sakinah
memanjatkan doa semoga Rafiq adalah jodohnya yang tertulis di Lauh
Mahfuz. Dia lelaki soleh dambaan wanita.
Sakinah hadir dalam hidup
Rafiq pada saat Rafiq mendoakan seorang jodoh untuk dirinya. Pada saat
dirinya terlalu menginginkan seorang isteri dambaan hati. Pada Rafiq,
Sakinah seorang gadis yang solehah, yang bijak menjaga diri dan teguh
pendiriannya terhadap Islam.
Mereka banyak berkongsi ilmu agama
bersama-sama. Dia akui, ilmu agama yang dimilikinya sangat cetek jika
dibandingkan dengan Sakinah. Rafiq amat bersyukur kepada Allah SWT atas
hadirnya Sakinah. Setiap kali usai solat, Rafiq tidak pernah lupa untuk
mendoakan agar Sakinah ditakdirkan untuknya.
“Semoga Sakinah diciptakan sebagai tulang rusuk kiriku.”
Masa
berlalu. Sakinah semakin yakin bahawa Rafiq adalah jodohnya. Walaupun
mereka berjauhan namun tiada satu hari pun berlalu tanpa Rafiq. Rafiq
adalah segalanya bagi Sakinah. Namun, benarlah, suratan qadar tiada
siapa yang dapat menolak.
Suatu hari, Sakinah menerima perkhabaran
daripada Rafiq bahawa dia akan menikahi seorang wanita pilihan komuniti
masjid untuknya. Sakinah terpempan. Masakan begitu? Bukankah sepatutnya
Rafiq menikahi aku? fikir Sakinah berulang kali. Berderaian air mata
Sakinah sebaik sahaja menerima perkhabaran itu daripada Rafiq.
Rafiq
hanya mampu berserah. “Wahai Sakinah, bukan ini yang aku mahukan. Tidak
pernah sesekali aku meminta kepada mereka untuk mencarikan jodoh
untukku. Aku sendiri terkesima mendengarkan berita ini. Hati aku masih
terlalu cinta kepadamu Sakinah namun ketahuilah, jarak antara kita
sangat besar.
“Mana mungkin ku tinggalkan ibu bapaku yang sudah
lanjut usianya di sini. Sakinah, ku doakan kau bertemu seseorang yang
lebih mulia dariku. Inilah suratan kita. Kau bukan untukku Sakinah.
Percayalah, bukan ini yang ku mahukan untuk kita.”
Rafiq mengeluh kesal. Sungguh, ini bukan rencanaku, Sakinah. Maafkan aku.
Betapa
tegarnya hatimu Rafiq. Apakah nilai aku kepadamu sebenarnya? Ya Rabb,
bergetar jiwaku, betapa sakitnya hatiku. Sakinah menangis tiada henti.
Masa bagaikan terhenti berdetik. Meskipun pukulan cemeti singgah di
tubuhku, tidak akan aku merasa sakit.
Maha hebatnya derita hatiku.
Aku dipaksa untuk menerima musibah ini. Ya Allah, mengapakah begini?
Sakinah rebah. Tapi, itulah qadar Allah yang Maha Mengetahui. Hampir
habis kekuatanku direnggut pergi.
Perginya ia bersama-sama Rafiq.
ilove islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan