Khamis, 22 Ogos 2013

Kronologi Kemalangan Maut di Genting Highlands Sejak 17 Tahun Lalu

Nahas bas ekspres yang terjunam sejauh 70 meter ke dalam gaung di KM3.5 Genting Highlands hari ini adalah kemalangan paling buruk pernah berlaku di kawasan itu dalam tempoh 17 tahun.


Setakat ini 37 orang disahkan terkorban dalam tragedi yang berlaku kira-kira 2.45 petang itu. Bas itu dipercayai membawa 53 penumpang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke ibu negara.



Kemalangan buruk lain ialah pada Julai 1996 apabila 17 orang termasuk enam kanak-kanak terbunuh selepas bas yang dinaiki mereka terhumban kira-kira 100 meter ke dalam gaung ketika pulang daripada menyertai hari keluarga di Genting Highlands.

Pusat peranginan Genting Highlands merupakan destinasi percutian popular bagi rakyat tempatan dan juga pelancong dari negara seperti Singapura, India, Taiwan, Jepun dan Indonesia.


Berikut ialah kronologi kemalangan maut melibatkan bas di kawasan Genting Highlands, Pahang:


  • 5 Mac 2012 - Dua pelancong warga India maut manakala 20 lagi penumpang cedera apabila bas pelancong terbalik di bahu jalan di KM4.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ketika bas itu dalam perjalanan dari Genting Highlands ke ibu negara.
  • 29 Okt 2010 - Tujuh maut manakala 20 orang cedera selepas sebuah bas pelancongan terbabas lalu terbalik di KM38 Genting Sempah ketika menuruni Genting Highlands.
  • 2 Sept 2010 - Lapan belas orang cedera apabila bas persiaran yang dinaiki terbabas dan terbalik di KM35.1 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan dari Genting Highlands.
  • 3 Jun 2008 - Dua penumpang sebuah bas persiaran maut manakala 41 yang lain cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas lalu terjunam sembilan meter ke dalam gaung diKM 22.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
  • 20 Nov 2006 - Tiga pegawai Provincial Electricity Authority of Thailand (PEA) terbunuh apabila bas dua tingkat yang dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands di KM13, Jalan Genting Highlands-Batang Kali.
  • 14 Nov 1999 - Seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun dari Singapura terbunuh apabila sebuah bas yang dalam perjalanan ke Singapura, terhumban ke dalam gaung di Genting Highlands.
  • 31 Dis 1996 - Seramai 30 orang cedera apabila sebuah bas menuju ke Kuala Lumpur terbabas ke dalam gaung di KM4 dekat Tokong Chin Siew di Genting Highlands semasa sedang menuruni bukit peranginan itu.
  • 15 Julai 1996 - Tujuh belas orang termasuk enam kanak-kanak terkorban apabila bas yang dinaiki mereka terhumban kira-kira 100 meter ke dalam gaung ketika pulang daripada menyertai hari keluarga di Genting Highlands.

sumber: utusan malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...