Firman Allah dalam surah al-Anfal bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu
pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya dan
sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu
berjaya (mencapai kemenangan). (45)
Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu
berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan
hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran
dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
(46)
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari
negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka)
kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji) serta mereka pula
menghalang manusia daripada jalan Allah, dan (ingatlah) Allah Maha
Meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka kerjakan. (47)”
Hari mengundi semakin hampir. Debaran di dalam dada semakin kencang.
Siapakah yang terpilih untuk menerajui tampuk pemerintahan di peringkat
negeri dan persekutuan pada penggal akan datang? Kita berharap dan
berdoa agar kemenangan berpihak kepada golongan yang ikhlas, amanah,
berkelayakan dan iltizam dalam perjuangan menegakkan keadilan serta
kebenaran selaras dengan ajaran Islam.
Kemenangan tidak datang bergolek. Kejayaan tidak tercipta dengan cara
magik. Kemenangan ada resipi serta syarat-syaratnya. Sebahagian daripada
syarat-syarat itu digariskan dalam tiga ayat yang tertera di atas:
Pertama: Tetap atau teguh pendirian ketika berdepan dengan lawan. Jangan
berganjak, berundur, apa lagi berpaling. Hadapi rintangan, tangkis
cabaran, pertahan pendirian. Tetap pendirian merupakan resipi pertama
untuk menang. Sesungguhnya bagi pejuang kebenaran, tiada sebab untuk
undur dan mundur keranan di hadapan sedia menanti dua kemuliaan: menang
atau syahid.
“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang
menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka
sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu;
sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan
(iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak) dan (ingatlah) Allah
Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
(An-Nisaa’: 104)
“Katakanlah: (Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu-tunggu untuk kami
melainkan salah satu daripada dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu
kemenangan atau mati syahid) dan kami menunggu-nunggu pula untuk kamu
bahawa Allah akan menimpakan kamu dengan azab dari sisi-Nya atau dengan
perantaraan tangan kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga
menunggu bersama-sama kamu.”
(At-Taubah: 52)
Kedua: Ingatlah Allah sebanyak-banyaknya, dalam hati, dengan lidah pada
setiap ketika, di semua tempat, dalam semua keadaan. Sesungguhnya
mengingati Allah sebanyak-banyaknya menjanjikan kebaikan yang tidak
terkira. Mengingati Allah bermakna kita berhubung dengan Yang Maha Kuat.
Allah adalah sumber kekuatan yang tidak mungkin dapat dikalahkan. Maka
lahirlah keyakinan akan datangnya pertulungan kerana Dia berjanji akan
menolong mereka yang menolong agamanya.
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah nescaya
Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak
pendirian kamu.”
(Muhammad: 7)
Mengingati Allah juga melahirkan sifat cekal dan berani menghadapi apa
jua dugaan dan ugutan. Hal ini dibuktikan oleh tukang-tukang sihir
Firaun saat mereka mengisytiharkan keimanan yang tidak berbelah bagi.
Apabila Firaun mengugut mereka dengan hukuman yang berat, mereka
menjawab:
“Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami
melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika
sampainya kepada kami. (Mereka berdoa): Wahai Tuhan kami, limpahkanlah
kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah
bulat-bulat kepada-Mu).”
(Al-A’raf: 126)
Ketiga: Taat kepada Allah dan Rasul. Ingat! Perjuangan ini bertujuan
untuk meninggikan kalimah Allah, menegakkan keadilan yang dituntut oleh
Allah dan menzahirkan kebenaran agama Allah. Justeru, mana mungkin
pejuang agama Allah tidak taat? Mana mungkin pendukung kebenaran
melakukan maksiat dan khianat? Setiap ucapan, semua perlakuan mesti
sejajar dengan suruhan Allah dan Rasul-Nya
Keempat: Jangan berbantah-bantah. Allah kasih kepada mereka yang
berperang di jalan Allah dalam satu saf yang tersusun teguh laksana satu
bangunan yang kukuh. Bertengkar, berbantah-bantah, berlawan dan
bercakaran sama sendiri akan menyebabkan saf jadi goyang, longgar dan
akhirnya berkecai. Sifat berbantah-bantah hanya ada pada mereka yang
berjuang demi kepentingan diri atau mencari keuntungan duniawi. Ia
sepatutnya tidak timbul dalam kalangan tentera-tentera Allah yang ikhlas
kerana matlamat mereka tidak lain kecuali mengharap keredhaan Allah
semata-mata.
Kelima: Bersabarlah kerana perjuangan itu sukar dan mencabar. Perjuangan
hanya mampu digalas oleh mereka yang berjiwa kental, tidak gentar
diuji, tidak goyah dicaci.
Keenam: Jangan keluar dalam keadaan riak, menunjuk-nunjuk serta
bermegah-megah dengan apa yang dimiliki, sama ada bekalan, bilangan,
peralatan dan seumpamanya. Kemenangan adalah hak Allah yang mutlak.
Hanya Dia yang menentukan bila, di mana, bagaimana dan di tangan siapa
kemenangan akan terlaksana. Kita hanya berusaha, merancang dan berjuang
sehabis daya, setulus hati dan jiwa.
Telah tercatat dalam lipatan sejarah, keangkuhan membawa padah.
Kesombongan menjadi punca ketewasan dan kehinaan. Semasa perang Badar
al-Kubra, Abu Jahal dinasihatkan supaya kembali ke Makkah, tidak perlu
meneruskan niat menentang pasukan Muhammad sallallahu alaihi wasallam
kerana kafilah Abu Sufyan yang hendak dilindungi telah tiba dengan
selamat. Namun dengan angkuhnya dia menolak saranan itu dan berkata:
“Tidak! Demi Allah kita tidak akan pulang sebelum kita sampai ke Badar.
Kita akan berkhemah di situ selama tiga hari. Kita menyembelih unta,
kita menjamu selera, kita minum arak sambil menikmati tarian para penari
kita. Dengan itu, bangsa Arab akan terus memandang kita sebagai kaum
yang hebat dan sentiasa gerun kepada kita.”
Maka kesudahannya dengan izin Allah mereka mengalami kekalahan yang cukup menghinakan.
Oleh: Ustazah Maznah Daud
http://bahtera-rumahtangga.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan