Jika
pengambilan garam berlebihan sering dikaitkan dengan risiko mendapat
penyakit seperti tekanan darah tinggi, kekurangannya juga turut berisiko
menghidapi penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung.
Ketua Penyelidik, Prof Dr Noor Hassim Ismail dari Jabatan Kesihatan
Masyarakat (JKM) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)
memberitahu berdasarkan kajian yang dilakukan bersama penyelidik
antarabangsa ke atas 18 negara dari seluruh dunia.
“Lazimnya, populasi global menggunakan garam dalam kehidupan seharian
mereka sebanyak tiga hingga enam gram sehari manakala di Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) menggariskan pengambilan ideal garam dalam
sehari adalah 2.5 gram sahaja untuk sehari iaitu lebih kurang satu sudu
teh,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di PPUKM Cheras
semalam.
Di Malaysia pula, pengambilan garam dianggarkan 3.5 gram satu hari berbanding negara lain.
“Tidak ramai orang yang begitu mengikut panduan WHO itu.
Kajian kami, daripada 100,000 responden yang ditemui hanya 1,000
sahaja yang benar mengikut panduan itu dan kesannya, pengambilan garam
berlebihan menyebabkan risiko tekanan darah tinggi meningkat,” katanya.
Namun begitu, kekurangan garam juga mampu mendedahkan kepada risiko penyakit kardiovaskular.
“Kajian yang dilakukan pada kumpulan negara maju, sederhana dan
mundur mendapati pengambilan garam rendah iaitu kurang tiga gram sehari
mengelakkan daripada risiko tekanan darah tinggi tetapi terdedah kepada
risiko penyakit kardiovaskular.
Oleh itu, pengambilan garam haruslah pada tingkat sederhana dan terkawal,” katanya.
Pengambilan garam secara sederhana antara tiga hingga enam gram
sehari dan ia adalah pengambilan optimum bagi mereka yang mempunyai
hipertensi.
Selain itu juga, Dr Noor Hashim menjelaskan pengambilan potasium
melalui buah-buahan seperti pisang, betik, kekacang dan sayur-sayuran
seperti kobis dapat memberi manfaat dalam menurunkan risiko penyakit
kardiovaskular.
“Makanan yang mempunyai kandungan potasium, sangat baik untuk diet
seimbang terutama ketika pengambilan garam secara sederhana dilakukan,”
katanya lagi.
Kajian yang dilakukan sejak 2007 dengan kerjasama dengan Universiti
Teknologi MARA (UiTM) diterbitkan dalam jurnal perubatan terkemuka dunia
iaitu, New England Journal of Medicine (NEHJM) pada 14 Ogos lalu.
NEJM adalah jurnal rujukan utama pengamal perubatan dan saintis di
dunia dan pelbagai kajian perubatan yang dilakukan diterbitkan dalam
jurnal itu.
Selain Dr Noor Hashim, penyelidik lain dari JKMUKM yang turut
terlibat dalam kajian itu ialah Prof Madya Dr Azmi Mohd Tamil, Prof
Madya Dr Zaleha Md Isa, Prof Madya Dr Mohd Hasni Ja’afar dan Khairun
Asri Mohd Yusof.
mummynemo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan