Setiap manusia akan menghadapi mati, sama ada bersedia atau tidak,
kita akan dipanggil menghadap Ilahi apabila tiba waktunya. Apa yang
didambakan setiap manusia ialah apabila tiba ajalnya nanti, Allah SWT
memanggilnya dengan panggilan ‘wahai jiwa yang tenang’.
Manusia terlalu inginkan ketenangan sehinggakan sanggup memburu
kekayaan dan kemasyhuran yang disangkakan boleh memberi ketenangan.
Ketenangan tidak boleh dianggap sebagai aksesori persekitaran, justeru,
kekayaan bukanlah kayu pengukur kepada ketenangan.
Malah, seseorang itu mungkin tidak memiliki kekayaan, tetapi beliau
memiliki ketenangan yang luar biasa. Begitulah permulaan bicara topik
‘Radhiah, Mardhiah’ oleh Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, dalam program
Usrah Nurani yang bersiaran jam 1.15 petang Jumaat di IKIMfm.
Beliau bersama dua ahli usrah, Pengarah Radio IKIMfm, Dr Nik Roskiman
Abdul Samad dan wartawan TV3, Helmi Yusuf, mengajak pendengar
bermuhasabah saat datangnya ajal kita dan Allah SWT memanggil dengan
panggilan ‘wahai jiwa yang tenang’.
Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, mengupas tajuk ‘Radhiah, Mardhiah’ dalam Program Usrah Nurani mengajak pendengar bermuhasabah saat datangnya ajal.
Kunci ketenangan
Zul Ramli memetik kata-kata Imam Ghazali, manusia akan mati mengikut
cara bagaimana dia hidup. Oleh itu katanya, jika kita mahukan saat mati
itu mendapat ketenangan, maka kehidupan kita di dunia juga perlu
mendapat ketenangan.
Setiap manusia perlu memasang niat dan berazam memulakan kehidupan
yang baru dan bangkit menjalani kehidupan dengan penuh ketenangan dan
anak kunci ketenangan ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Kembalilah
kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau reda kepada Allah dan Allah reda
kepadamu.” (Surah al-Fajr, ayat 28)
Menjawab persoalan Helmi mengenai seorang ibu yang pernah mengatakan
bahawa kelahiran anak boleh menyebabkannya jatuh bankrap dan berputus
asa dengan kehidupannya, Zul Ramli berkata, manusia dikurniakan
keupayaan untuk memilih menerima atau menolak kesusahan yang datang.
Menerima bermaksud kita reda dengan apa yang telah berlaku kepada
diri dan menolak bermaksud tidak reda serta menyalahkan takdir yang
ditentukan kepada kita. Perkara pertama yang perlu diterima oleh setiap
orang Islam ialah kita adalah hamba Allah SWT, kepada-Nya kita menyembah
dan memohon pertolongan.
Helmi mengaitkan reda dengan tanggungjawab sebagai hamba kepada
Pencipta dan memuliakan Nabi SAW serta tanggungjawab sebagai anak kepada
ibu bapa. Sesungguhnya reda Allah SWT itu terletak kepada reda
kedua-dua ibu bapa.
Selain itu, sebagai manusia kita juga bertanggungjawab untuk
menyumbang terhadap agama dan masyarakat. Hamka pernah mengatakan,
‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan pun hidup. Kalau bekerja
sekadar bekerja, kera juga bekerja’.
Apabila kita mula menyoal diri mengenai tanggungjawab kita, Allah SWT akan mencampakkan ketenangan dalam diri kita.
Kupasan mengenai reda, meredai
Dr Nik Roskiman mengupas lanjut mengenai dua komponen penting iaitu
reda dan meredai dengan memetik kata-kata Hasan Al Basri, ‘Sekiranya
kita ingin mengetahui kedudukan kita di sisi Allah SWT, maka lihatlah
kedudukan Allah SWT di sisi kita.’
Katanya, bagaimana kita meletakkan Allah SWT dalam kehidupan
seharian, sama ada kita mengutamakan Allah SWT dalam setiap perkara yang
dilakukan ataupun tidak. Itulah petanda kita dekat atau jauh daripada
reda Allah SWT.
Dalam konteks yang sama, Dr Nik Roskiman mengatakan reda itu
bagaimana kita menerima qada dan qadar yang ditentukan Allah SWT kepada
hambanya. Nabi SAW sentiasa memanjatkan syukur kepada Allah SWT sama ada
dikurniakan kebaikan, kebahagiaan atau ditimpa musibah dan ujian.
Kita perlu yakin apa sahaja yang Allah SWT timpakan sama ada baik atau buruk adalah untuk kebaikan kita.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci
sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu
menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui,
sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 216)
Saat ujian datang, mungkin susah bagi kita untuk menghadapinya,
menjadi seorang yang reda iaitu tenang menerima ujian. Apabila ujian
datang kepada seseorang yang tidak mempunyai latihan, sudah pasti ia
akan memusnahkan dirinya.
Zul Ramli mengajak ahli usrah dan pendengar bersama melatih diri
menghadapi ujian. Beliau mengambil contoh pemain bola yang akan
bertanding hanya selama 90 minit yang tidak pernah berhenti membuat
latihan.
Tidak boleh elak ujian
Manusia tidak boleh lari daripada ujian. Setiap orang inginkan
kebahagiaan, namun tidak semua dapat mengecapinya. Tidak ada seorang
manusia yang inginkan ujian, tetapi setiap orang akan mendapat ujian.
Zul Ramli merujuk reda sebagai buah dan manusia sudah pasti tidak
dapat membaiki buah, tetapi manusia boleh membaiki akarnya. Untuk
mendapatkan buah yang manis kita tidak boleh menyuntik gula padanya,
tetapi perlu membajai akarnya.
Reda dalam Islam adalah akhlak dan kita perlu kembali kepada perkara
utama iaitu mengenal Allah SWT dan persoalan akhirat. Manusia boleh
menerima ujian apabila kenal dengan Allah SWT dan membawa akhirat ke
dalam diri. Itulah yang dikatakan sebagai latihan untuk menghadapi
ujian.
epondok
Tiada ulasan:
Catat Ulasan