Memaafkan kali pertama itu biasa, kali kedua bagi kesalahan yang sama
itu istimewa namun jika berkali-kali memaafkan atas kesalahan yang sama
itu sangat-sangat luar biasa.
Manusia atau makhluk yang manakah boleh menjadi sesuci dan sesabar itu?
Anak yang kita sayangi dan bela dengan penuh perhatian tiba-tiba tidak
mahu mendengar kata pasti yang akan menimbulkan kemarahan dan juga
kesedihan.
Pekerja yang digaji bagi membuat kerja tertentu sesekali tidak
bersetuju malah membangkang serta tidak melaksanakan tugasan dengan baik
pasti menimbulkan kemarahan majikannya.
Jika perkara tersebut berlanjutan meskipun berkali-kali maaf diminta,
mungkin sahaja si polan itu diberhentikan kerja. Kerana ia kesalahan
yang sama dan berulang-ulang.
Keampunan abadi
Di sinilah jika kita renungi dengan mata hati dan akal bagaimana Allah
dengan rahmat dan rahim tetap sahaja mengampunkan sesiapa sahaja yang
pernah berdosa kepada Nya.
Meski dosa tersebut adalah dosa yang sama dan berulang-ulang kali
dilakukan oleh seseorang hamba Nya. Maha luas keampunan Allah tiada
tolak banding jika dihayati sebagaimana yang digambarkan dalam al-Quran
dan Sunah itu sendiri.
Daripada Anas bin Malik r.a. Katanya, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w.
Bersabda - Allah SWT berfirman: ‘Wahai anak Adam, sesungguhnya apabila
kamu berdoa kepada Ku dan mengharap daripada Ku, Aku ampunkan
dosa-dosamu dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Jika dosa-dosamu
mencapai awan di langit kemudian kamu mohon keampunan daripada Ku, Aku
ampunkan dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya jika kamu datang
kepada Ku dengan dosa-dosa yang memenuhi bumi kemudian engkau datang
berjumpa dengan Ku tanpa menyekutukan Ku dengan sesuatu, maka Aku datang
kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi’.” [HR. al-Tirmizi]
Subhanallah, ada tiga fokus dalam firman Allah berkenaan keampunan Nya bersama hadis Qudsi di atas iaitu:
1. Jika seseorang itu berdoa dan mengharap kepada Nya.
2. Jika dosa seseorang itu setinggi langit namun keampunan tetap diminta kepada Nya maka diampunkan.
3. Jika dosa seseorang itu memenuhi bumi namun dirinya pergi berjumpa
dengan Allah tanpa menyekutukan Nya dengan sesuatu yang lain maka Allah
datang kepadanya dengan keampunan seluruh bumi.
Subhanallah. Begitu besar sekali doa dan memohon keampunan kepada
Allah. Tidak sama dengan agama lain yang mewajibkan pengantara seperti
rahib-rahib dan ‘ustaz-ustaz’ mereka sebagai wakil Tuhan, ironinya
proses itu memerlukan mereka diupah dengan upah yang agak tinggi.
Meski 70 kali sehari
Ajaibnya istighfar dan doa yang melengkapkan kebesaran rahmat dan rahim
Allah jallawaala dapat dilihat dengan jelas dalam hadis-hadis ini.
Tidak logik bagi manusia biasa memaafkan kesalahan yang berulang-ulang
apatah lagi kesalahan yang sama.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu tidak
dianggap melakukan dosa secara berterusan jika dia memohon ampun (istaghfara) meskipun dirinya mengulangi (dosa itu) sebanyak 70 kali sehari.” [HR. Abu Dawud dan al-Tirmizi]
Maha luas keampunan Tuhan kita semua, Allah... tidak terjangkau dengan
akal manusiawi kita sendiri. Malah dalam sebuah hadis lagi, juga
menceritakan bagaimana Allah mengampuni dosa yang berulang kali oleh
seorang hamba Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba
melakukan dosa kemudian dia berkata: ‘Ya Tuhanku, aku telah melakukan
dosa maka ampunilah aku’.
Allah berfirman: ‘Hamba Ku mengetahui dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dan menghapuskan dosanya, Aku ampuni hamba Ku’.
Kemudian dia tinggal dalam masa yang dikehendaki oleh Allah dan
melakukan dosa lagi lalu mengucapkan sebagaimana yang diucapkan... maka
Allah (mengampunkannya sebagaimana) kali pertama untuk kemudiannya.”
[HR. al-Bukhari dan Muslim]
Oleh: Zahiruddin Zabidi
(Editor Kanan Karya Bestari)
mingguan wanita
MindaRakyat Tidak dikemaskini, sila ke 1 Media - https://www.1media.my/
2 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan