Sayyidatina Aisyah r.a meriwayatkan bahawa apabila berlaku ribut dan
taufan, akan zahir perubahan pada wajah Nabi S.a.w iaitu menjadi pucat.
Baginda S.a.w akan berjalan keluar masuk dalam keadaan resah sambil
membaca doa ini;
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ
خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا فِيهَا وَخَيْرَ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ وَأَعُوذُ
بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا فِيهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ
"Ya Allah, aku mohon daripadaMu kebaikannya dan kebaikan yang ada di
dalamnya dan kebaikan yang Engkau kirim dengannya, dan aku berlindung
denganMu daripada keburukan angin ini dan keburukan yang ada di dalamnya
dan keburukan yang Engkau kirim dengannya."
Apabila hujan mulai turun, kegembiraan mula kelihatan pada wajah Nabi
S.a.w. Saya bertanya, "Wahai Rasul Allah, apabila melihat awan, semua
orang akan bergembira kerana awan ialah tanda akan turun hujan,
sebaliknya tuan kelihatan gelisah."
Baginda s.a.w. bersabda, "Wahai Aishah, adakah aku boleh berasa yakin
bahawa tidak ada azab bersama-sama angin itu? Kaum ‘Aad telah diazab
dengan perantaraan angin. Apabila mereka melihat awan, mereka bergembira
lalu berkata, "Awan itu akan membawa hujan untuk kami." Sedangkan
dalam angin itu ada azab."
Firman Allah S.w.t;
فَلَمَّا رَأَوْهُ عَارِضًا
مُسْتَقْبِلَ أَوْدِيَتِهِمْ قَالُوا هَذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا بَلْ هُوَ
مَا اسْتَعْجَلْتُمْ بِهِ رِيحٌ فِيهَا عَذَابٌ أَلِيمٌ
تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِأَمْرِ رَبِّهَا فَأَصْبَحُوا لَا يُرَى إِلَّا مَسَاكِنُهُمْ كَذَلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ
"Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke
lembah-lembah mereka, berkatalah mereka: `Inilah awan yang akan
menurunkan hujan kepada kami`.(Mendengarkan kata-kata yang sedemikian
Nabi Hud a.s berkata, 'Bukan!) bahkan itulah azab yang kamu minta supaya
datang dengan segera (iaitu) angin yang mengandung azab yang pedih.'
Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya, maka jadilah
mereka tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat
tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang
berdosa." [Surah al-Ahqaaf : 24 - 25]
Keterangan
Inilah sifat takut kepada Allah S.w.t. yang ada pada diri Rasulullah
s.a.w. Walaupun daripada sabdaan Baginda s.a.w. sendiri menunjukkan
bahawa Baginda s.a.w. ialah ‘Saiyyidul-Awwalin-wal-Akhirin’ (yang
bermaksud penghulu semua orang yang terdahulu dan terkemudian). Dalam
kitab suci al-Quran pun ada ayat yang menyatakan bahawa Allah s.w.t.
tidak akan mengazab umat ini selagi Nabi Muhammad s.a.w. ada bersama
mereka. Sungguhpun Allah s.w.t telah berjanji sedemikian, namun apabila
Baginda s.a.w. melihat awan hitam dan ribut, Baginda s.a.w. masih
teringatkan azab yang menimpa kaum yang terdahulu kerana ketakutan yang
mendalam terhadap Allah s.w.t.
Berdasarkan kisah ini, marilah kita melihat keadaan diri kita sendiri.
Meskipun hampir setiap masa kita terlibat dengan dosa, namun selepas
melihat gempa bumi dan pelbagai macam azab yang lain, kita tidak pun
terkesan dengan azab-azab itu. Kita juga tidak menyibukkan diri dengan
taubat, istighfar dan solat tetapi sebaliknya kita menyibukkan diri
dengan pelbagai kajian yang sia-sia.
Amalan sahabat r.a ketika cuaca kelam
Sayyidina Nadr ibnu Abdullah menceritakan, "Pada suatu ketika semasa
hayat Sayyidina Anas r.a, cuaca menjadi sangat gelap pada waktu siang.
Saya pergi menziarahi beliau dan bertanya, "adakah peristiwa seumpama
ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.a.w?"
Beliau menjawab, "Aku berlindung dengan Allah. Pada zaman Rasulullah
S.a.w, apabila angin bertiup lebih kencang daripada biasa, maka kami
terus berlari ke masjid kerana takut berlaku kiamat."
Seorang sahabat lagi, Sayyidina Abu Darda' menerangkan, "Menjadi
kebiasaan Rasulullah S.a.w apabila berlaku ribut, baginda S.a.w akan
masuk ke masjid dengan perasaan bimbang."
[Fadhail al-Amal - Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kandhlawi]
unikversiti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan