Ahad, 25 Januari 2015

Resepi Biscotti Kacang Rangup

Masakan Itali selalunya kaya dengan rasa dan penuh dengan hidangan yang enak. Walaupun masa makan telah sampai ke pengakhirannya, masih ada lagi hidangan enak untuk dijamu. Apakah yang rakan Itali kami suka nikmati bersama kopi yang harum pada pengakhiran sesi makan? Semestinya biscotti! Ikutilah resepi biscotti ini untuk menghasilkan biscotti yang rangup dan berkacang untuk dinikmati bersama secawan kopi sempena musim Tahun Baru Cina ini.

Resepi Biscotti
Untuk resepi kedua bulan Januari, kami mempersembahkan resepi biscotti kacang rangup kami. Terdapat beberapa versi biscotti, ada yang lebih tebal, ada yang nipis seperti kadboard. Ada yang hanya mengandungi kacang, manakala ada yang juga mengandungi buah-buahan kering. Walaupun terdapat resepi biscotti yang menggunakan seluruh telur, resepi kami hanya menggunakan putih telur untuk menghasilkan biskut yang ringan lagi rangup. Selain dari putih telur, resepi ini hanya memerlukan beberapa bahan lain – gula kastor, tepung biasa, kacang (seperti badam, pistachio, walnut) dan secubit garam. 



Resepi Biskut Biscotti
Biskut biscotti ini dibakar dua kali untuk menghasilkan tekstur yang lebih rangup. Resepi ini tidak

menggunakan agen penaik, cuma pukulkan putih telur sehingga ringan gebu. Anda bebas untuk menggunakan mana-mana jenis kacang kegemaran anda, tetapi pilihan kegemaran kami adalah badam dengan pistachio atau walnut.

Selepas membakar adunan untuk kali pertama, anda perlu menghiris biscotti kepada hirisan nipis. Anda memerlukan pisau yang tajam, pisau roti yang bergigi sesuai untuk tujuan ini. Untuk mendapatkan hirisan biscotti yang senipis kadboard, biarkan di dalam peti beku selama 5 – 6 jam selepas dibakar untuk kali pertama dan kemudian hiriskan dengan pisau kepada hirisan setebal 2- 3 mm.

Resepi Biscotti Sedap
Ianya sempurna bila dicelup dengan kopi atau teh, atau dinikmatinya sendirian! Ia juga sesuai sebagai buah tangan bila melawat rakan-rakan dan ahli keluarga semasa Tahun Baru Cina.


Print / Cetak
 
Resepi Biscotti Kacang Rangup
 
Author / Pengarang: 
Recipe type / Jenis resepi: Snek
Cuisine / Masakan: Itali
Prep time / Masa penyediaan: 
Cook time / Masa memasak: 
Total time / Jumlah masa: 
Serving for / Sajian untuk: 80
 
Ingredients / Bahan-bahan
  • Putih telur 4 biji telur QL Deli Fresh atau QL Omega
  • 100 g gula kastor
  • Secubit garam
  • 150 g tepung biasa atau serbaguna
  • 100 g kacang badam
  • 50 g kacang pistachio atau walnut
Instructions / Cara-cara
  1. Pukulkan putih telur dengan pemukul elektrik pada kelajuan yang pantas sehingga puncak lembut diperolehi.

  2. Tambahkan gula dan garam sedikit demi sedikit dan terus pukul sehingga puncak tegar diperolehi.

  3. Lipatkan masuk tepung dan gaulkan dengan sudu spatula getah sehingga sebati.

  4. Taburkan kacang kepada adunan dan gaul sebati.

  5. Tuangkan adunan ke dalam 2 tin bersegi empat (10 inci x 5 inci) yang telah diminyak dan dialas dengan kertas tahan minyak atau parchment.
  6. Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan ke 170 C selama 45 minit. Setelah siap, biarkannya menyejuk dan buangkan kertas. Biarkan di dalam peti beku selama 5 – 6 jam.
  7. Keluarkan dari peti beku dan biarkan seketika selama 5 – 10 minit. Hiriskan dengan nipis (ketebalan lebih kurang 2 – 3 mm) dan bakar untuk kali kedua pada 150 C selama 15 – 20 minit atau hingga rangup. Terbalikkan biscotti jika anda inginkan keperangan dan kerangupan yang sama pada kedua-dua belahnya.


Petua QL Kitchen: Jika anda lebih suka biscotti yang lebih tebal, anda boleh menghiris biscotti dengan pisau bergigi selepas ianya menyejuk dari pembakaran kali pertama, tanpa dibekukan semalaman.
 http://www.qlkitchen.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...