Kementerian
Kesihatan mengambil maklum isu pencemaran bakteria Listeria
monocytegenes ke atas buah epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran
Syarikat Bidart Brothers, Bakersfield, California, Amerika Syarikat yang
digunakan dalam pengeluaran caramel apple yang dikesan oleh pihak
United States Food and Drug Administration (USFDA) seperti yang
dilaporkan dalam beberapa media antarabangsa sejak kebelakangan ini.
Makanan yang
tercemar dengan Listeria monocytogenes berkemungkinan tidak menunjukkan
sebarang tanda ianya rosak secara fizikal (melalui penglihatan dan
bau).
Pengambilan
makanan yang tercemar dengan bakteria ini boleh menyebabkan penyakit
bawaan makanan yang dikenali sebagai listeriosis.
Listeriosis boleh menyebabkan demam kuat, sakit kepala yang teruk, kekejangan pada leher dan loya (nausea).
Bagi wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah adalah tergolong dalam kumpulan berisiko.
Sebagai langkah
berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan mengenakan pemeriksaan tahan, uji,
lepas ke atas pengimportan epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran
Syarikat Bidart Brothers, Amerika Syarikat di semua pintu masuk.
Di pasaran
domestik, Kementerian Kesihatan mengenalpasti dua pengimport yang
mengimport epal jenis Granny Smith keluaran Syarikat Bidart Brothers,
Amerika Syarikat dan mengarahkan pengimport berkaitan memanggil balik
(recall) buah epal tersebut dari pasaran dan buah epal yang terdapat di
premis pengimport juga disita.
Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan pihak USFDA mengenai perkara ini.
Seksyen 13 Akta
Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport,
mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya
apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan
kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh
didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak
melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sekiranya
pengguna mempunyai sebarang pertanyaan, pengguna boleh mengajukannya
Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan
Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq. – Bernama, 17 Januari, 2015.
http://orangni.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan