Ahad, 18 Januari 2015

Amalan Rasulullah S.a.w dan sahabat ketika ribut

Sayyidatina Aisyah r.a meriwayatkan bahawa apabila berlaku ribut dan taufan, akan zahir perubahan pada wajah Nabi S.a.w iaitu menjadi pucat. Baginda S.a.w akan berjalan keluar masuk dalam keadaan resah sambil membaca doa ini;
 اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا فِيهَا وَخَيْرَ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا فِيهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ
"Ya Allah, aku mohon daripadaMu kebaikannya dan kebaikan yang ada di dalamnya dan kebaikan yang Engkau kirim dengannya, dan aku berlindung denganMu daripada keburukan angin ini dan keburukan yang ada di dalamnya dan keburukan yang Engkau kirim dengannya."
 
 
 
Apabila hujan mulai turun, kegembiraan mula kelihatan pada wajah Nabi S.a.w. Saya bertanya, "Wahai Rasul Allah, apabila melihat awan, semua orang akan bergembira kerana awan ialah tanda akan turun hujan, sebaliknya tuan kelihatan gelisah."
Baginda s.a.w. bersabda, "Wahai Aishah, adakah aku boleh berasa yakin bahawa tidak ada azab bersama-sama angin itu? Kaum ‘Aad telah diazab dengan perantaraan angin. Apabila mereka melihat awan, mereka bergembira lalu berkata, "Awan itu akan membawa hujan untuk kami."  Sedangkan dalam angin itu ada azab."
Firman Allah S.w.t;
فَلَمَّا رَأَوْهُ عَارِضًا مُسْتَقْبِلَ أَوْدِيَتِهِمْ قَالُوا هَذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا بَلْ هُوَ مَا اسْتَعْجَلْتُمْ بِهِ رِيحٌ فِيهَا عَذَابٌ أَلِيمٌ
تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِأَمْرِ رَبِّهَا فَأَصْبَحُوا لَا يُرَى إِلَّا مَسَاكِنُهُمْ كَذَلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ
"Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka: `Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami`.(Mendengarkan kata-kata yang sedemikian Nabi Hud a.s berkata, 'Bukan!) bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera (iaitu) angin yang mengandung azab yang pedih.'
Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya, maka jadilah mereka tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa."  [Surah al-Ahqaaf : 24 - 25]
Keterangan
Inilah sifat takut kepada Allah S.w.t. yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. Walaupun daripada sabdaan Baginda s.a.w. sendiri menunjukkan bahawa Baginda s.a.w. ialah ‘Saiyyidul-Awwalin-wal-Akhirin’ (yang bermaksud penghulu semua orang yang terdahulu dan terkemudian). Dalam kitab suci al-Quran pun ada ayat yang menyatakan bahawa Allah s.w.t. tidak akan mengazab umat ini selagi Nabi Muhammad s.a.w. ada bersama mereka. Sungguhpun Allah s.w.t telah berjanji sedemikian, namun apabila Baginda s.a.w. melihat awan hitam dan ribut, Baginda s.a.w. masih teringatkan azab yang menimpa kaum yang terdahulu kerana ketakutan yang mendalam terhadap Allah s.w.t.
Berdasarkan kisah ini, marilah kita melihat keadaan diri kita sendiri. Meskipun hampir setiap masa kita terlibat dengan dosa, namun selepas melihat gempa bumi dan pelbagai macam azab yang lain, kita tidak pun terkesan dengan azab-azab itu. Kita juga tidak menyibukkan diri dengan taubat, istighfar dan solat tetapi sebaliknya kita menyibukkan diri dengan pelbagai kajian yang sia-sia.
Amalan sahabat r.a ketika cuaca kelam
Sayyidina Nadr ibnu Abdullah menceritakan, "Pada suatu ketika semasa hayat Sayyidina Anas r.a, cuaca menjadi sangat gelap pada waktu siang. Saya pergi menziarahi beliau dan bertanya, "adakah peristiwa seumpama ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.a.w?"
Beliau menjawab, "Aku berlindung dengan Allah. Pada zaman Rasulullah S.a.w, apabila angin bertiup lebih kencang daripada biasa, maka kami terus berlari ke masjid kerana takut berlaku kiamat."
Seorang sahabat lagi, Sayyidina Abu Darda' menerangkan, "Menjadi kebiasaan Rasulullah S.a.w apabila berlaku ribut, baginda S.a.w akan masuk ke masjid dengan perasaan bimbang."
[Fadhail al-Amal - Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kandhlawi]
unikversiti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...