Khamis, 16 Julai 2015

Doa

doa

Setiap Muslim mempunyai ‘senjata’ yang sangat ampuh iaitu doa. Setiap doa pasti akan didengari oleh-NYA dan pasti akan termakbul tepat pada waktunya mengikut ketentuan-NYA.

Namun begitu, sejauh mana kemustajaban sesebuah doa tersebut hanya Allah yang Maha Mengetahui dan layak memakbulkannya. Setiap usahawan Muslim mestilah menjadikan doa sebagai senjata untuk memastikan kejayaan dan sentiasa iringi keberkatan-NYA.

Pun begitu, cuba kita tanya pada diri kita sendiri:
Adakah kita bersungguh-sungguh ketika berdoa dan adakah kita yakin sepenuhnya dengan doa tersebut?


 

Terdapat sebuah doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Sabda Rasulullah SAW,

doa-mohon-kebaikan-di-dunia-dan-akhirat
Rasulullah SAW mengajarkan kepada umatnya satu doa yang mana jika dibaca tiga kali pada waktu pagi dan tiga kali pada waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan sepanjang hari tersebut.

Doa yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah seperti berikut:
doa_pelindung
Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Antara faedahnya yang bakal kita perolehi ialah:
      1. Mendapat keuntungan, tidak menanggung rugi.
      2. Usaha berhasil, beroleh kejayaan dan tidak gagal.
      3. Selamat dari bahaya.
      4. Tidak melarat, hidup menjadi Senang.
Kesimpulan dari 4 takrifan ini, doa tersebut amat bersesuaian dengan cara hidup seorang usahawan, sama ada untuk mengekalkan keuntungan dan keberhasilan, terselamat dari sebarang bahaya ditipu atau memohon perlindungan dari Allah dari risiko kerugian yang besar.

Kelebihan & Faedah Mengamalkan Doa Ini Dalam Kehidupan

Pasti ada hikmah serta kelebihannya jika kita mengamalkan doa ini dalam kehidupan seharian kita. Antara kelebihannya ialah:

#1 – Terhindar Daripada Bahaya

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Penggerak” kerana dengan membaca doa ini, ia boleh menggerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak ketika mahu melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut:

Bila hendak memulakan perjalanan sama ada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali.

InsyaaAllah, Allah SWT akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telefon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut.

Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insyaaAllah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya.
Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.

#2 – Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ke tubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang.

Antara penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman.

Untuk mengelakkan makanan yang kita makan ini membawa kemudaratan kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman.

InsyaaAllah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.

#3 – Terhindar Daripada Sihir & Perbuatan Syirik

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah SWT dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.

Sebagai seorang usahawan juga, terdapat beberapa kes dimana apabila terdapat sifat hasad dengki di antara sesama usahawan, mereka yang tidak bertanggungjawab mula bermain ‘kotor’ dengan menghantar ‘santau’ atau sihir kepada individu yang dibencinya.

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah SWT. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut.

Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua.
Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.

#4 – Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasik, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini.

Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari.

Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Kisah Benar Keajaiban Berdoa

Dalam artikel ini juga, Hamka ingin kongsikan 2 kisah benar yang sangat menyentuh hati dan perasaan. Kedua-duanya berkaitan dengan keajaiban doa!
Kisah Benar #1
Khatib berkongsikan pengalaman peribadinya ketika sedang menunaikan umrah di Mekah. Pada masa itu dia sedang berada di Masjidil Haram dan terlihat seorang tua bersama dengan anaknya. Anaknya sedang memimpin tangan bapanya yang tua, uzurdan buta.
Ketika melalui mereka, Khatib terdengar kata-kata ayah yang tua dan buta itu meminta anaknya melepaskan tangan dari memimpinnya.
“Lepaskanlah tangan aku, aku punya urusan dengan Allah,” kata si ayah yang buta.
“Bagaimana saya mahu lepaskan tangan memimpin ayah, sedangkan ayah tidak dapat melihat. Tentu ayah akan menghadapi kesukaran jika saya lepaskan!” jawab si anak dengan penuh kasih sayang.
“Lepaskan saja tangan aku itu, aku berada di rumah Allah, aku sedang menjadi tetamu Allah dan aku ada urusan dengan Tuhanku, lepaskanlah tangan ku ini,” rayu ayahnya lagi dengan tegas.
Akhirnya si anak melepaskan tangan dari memimpin ayahnya dan membiarkan ayahnya berlalu sendirian. Melihat peristiwa yang menarik itu, Khatib tergerak untuk mengikuti si ayah yang buta dan sakit tersebut. Dia ingin menyaksikan apakah yang akan diperbuatkan oleh si ayah.
Selepas dibiarkan sendirian membawa haluannya, si ayah dalam keadaan berdiri lalu mengangkat kedua belah tangannya ke atas dan berdoa dengan penuh ikhlas dan syahdu. Dia hanya menggunakan bahasa seorang awam dalam doanya tersebut.
“Ya Allah, sudah 60 tahun aku buta dan tidak dapat melihat. Aku sering mendengar cerita berkenaan rupa Kaabah, namun aku tidak dapat menyaksikannya dengan mata aku sendiri.
Demi kebesaranmu ya Allah!, engkau berilah aku kemampuan untuk melihat rupa Kaabah Mu sekarang ini Ya Allah!, aku ingin melihat Kaabah dengan mata ku sendiri!” rayu si ayah yang tua dan uzur itu dengan ikhlas.
Tidak berapa lama kemudian kedengaran laungan si ayah yang buta itu dengan penuh takjub dan syahdu. Dia memuji-muji keindahan Kaabah dengan tidak berhenti-henti.
“Ya Allah, indahnya Kaabah! Indahnya Kaabah! Indahnya Kaabah!….” si ayah mengulang-ulang ayat tersebut tidak berhenti-henti dengan penuh rasa kegembiraan.
Masyaallah, Khatib dengan penuh kagum merasa amat terkejut dengan apa yang dilihatnya. Doa si ayah yang telah buta sejak 60 tahun lalu dimakbulkan Tuhan serta merta. Dia dapat melihat Kaabah di depan matanya dengan matanya sendiri yang telah buta.
Kisah Benar #2
Seorang Doktor Pakar kanak-kanak telah dilantik untuk mengetuai satu seminar yang akan dihadiri oleh seluruh doktor pakar lain sedunia di satu bandar di India.
Pada hari yang ditetapkan, Dr. Aisyah sampai ke Lapangan Terbang untuk dinaiki yang akan membawanya ke bandar di mana seminar akan diadakan.
Malangnya Kapal Terbang yang bakal dinaiki telah ditangguhkan kerana mengalami kerosakan pada enjin di salah satu sayap.
Dengan penuh risau, dia mengadu akan halnya pada pegawai Lapangan Terbang akan betapa pentingnya urusan yang telah diamanahkan padanya di seminar tersebut. Walau apapun yang berlaku dia perlu mencari jalan untuk sampai ditempat yang mahu ditujunya.
Pegawai lalu memberikan cadangan agar dia mengambil kereta dan memandu sahaja ke destinasinya. Bandar yang mahu ditujunya hanyalah mengambil masa 3 jam perjalanan dengan menaiki kereta. Oleh kerana tiada pilihan lain lalu dia pun memandu ke sana dengan keretanya.
Dalam perjalanan, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Keadaan semakin lebat sehingga menyukarkan penglihatan. Dalam perjalanan sukar itu, dia mendapati bahawa dia telah hilang punca dan arah. Dia rasa telah sesat dalam perjalanannya.
Dalam keadaan hujan yang lebat dan kabur, lalu terlihat olehnya sebuah rumah kecil di tidak jauh dari jalan yang sempit itu. Lalu dia menuju ke arah rumah kecil itu, berhenti dan keluar dari kereta dalam keadaan hujan lebat dan mengetuk pintu.
Pintu dibuka dan terlihatlah seorang perempuan tua menjenguk dari dalam. Orang tua itu mempersilakan masuk kerana hujan terlalu lebat dan Dr. Aisyah pun masuk ke dalam. Dia menceritakan halnya yang telah tersesat arah.
“Berehatlah sebentar sementara menunggu hujan reda..” cadang wanita tua tersebut.
Lalu Dr. Aisyah duduk sebentar menunggu agar hujan reda. Perempuan tua tersebut lalu masuk ke dalam bilik yang terbuka pintunya. Dia mahu menunaikan solat.
Dr. Aisyah hanya melihat dari luar bilik bagaimana perempuan tua itu solat dan akhirnya memberi salam. Di sebelah perempuan tua itu bersolat kelihatan seorang kanak-kanak sedang tidur tidak bergerak. Selepas solat dia menadah tangannya dan mula berdoa.
Selesai berdoa dia dilihat menggoyang-goyangkan kanak-kanak yang sedang terbaring di sisinya. Begitulah diulang-ulang perbuatannya sehingga beberapa kali. Dr. Aisyah melihat dengan penuh minat dan mula timbul rasa ingin tahu apa yang sedang dilakukan oleh orang tua tersebut.
Setelah selesai solat dan berdoa, perempuan tua itu datang menemui Dr. Aisyah dan berbual. Lalu bertanyalah Dr. Aisyah siapa kanak-kanak yang sedang tidur tadi dan apakah yang dilakukan olehnya dengan menggoyang-goyangkan badan kanak-kanak itu.
Lalu berceritalah perempuan tua itu bahawa anak kecil itu merupakan cucunya. Dia masih hidup tetapi lumpuh dan tidak sedarkan diri sejak beberapa lama. Dia telah dikunjungi oleh seorang doktor di kampung tersebut yang mengesahkan anaknya masih hidup tetapi tidak dapat dirawat olehnya.
Penyakit kanak-kanak itu hanya boleh dirawat oleh seorang pakar kanak-kanak yang tahu dengan mendalam tentang penyakit yang sedang dialami oleh kanak-kanak itu. Tetapi untuk bertemu dan membuat temujanji dengan doktor pakar itu bukanlah sesuatu yang mudah.
“Sejak itu saya sentiasa menadahkan tangan berdoa setelah selesai solat agar Allah menemukan saya dengan doktor pakar tersebut,” terang si nenek tua pada Dr. Aisyah.
“Siapakah nama doktor pakar yang diberitahu oleh doktor itu pada makcik?” tanya Dr. Aisyah
“Namanya Dr. Aisyah,” jawab Makcik tua itu.
Terkejut Dr. Aisyah mendengar jawapan itu. Sedarlah dia kenapa dia boleh berada di situ setelah dirintangi dengan pelbagai masalah. Rupa-rupanya Allah sedang mengkabulkan doa si nenek tua itu.
Allah mengabulkan doa dengan berbagai cara. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan yakinlah dengan Allah. Jangan sia-siakan senjata yang anda ada ini. Segala usaha yang termampu kita lakukan akan menjadi lebih berkesan jika ditambah dengan doa yang ikhlas dan yakin.

Info : Terima Kasih Team Majalahniaga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...