PANGGILAN
haji tiba lagi, gamitan talbiah dengan begitu mekar dalam ingatan bakal haji,
dhuyufurrahman amat kuat menusuk kalbu. Sebermula dengan panggilan surat
terima, sudah membawa seribu satu macam kesukaan telah terukir pada raut wajah
jemaah haji. Habis keluarga, rakan taulan diuar-uarkan, bukan sekali tetapi
itulah yang dikhabarkan setiap kali bertemu.
Semuanya ini sebagai terjemahan
gembira yang berbaur syahdu dalam melaksanakan ibadah haji.
Pada ruangan
kali ini, penulis ingin mengemukakan sejumlah falsafah ibadat haji, serta
hikmahnya, berdasarkan pengamatan dan sedikit pengalaman yang dikongsi bersama
oleh tetamu Allah yang berkunjung ke Tanah Suci Mekah. Antaranya;
Bermulanya kehambaan
Hal ini
jelas dirasakan oleh bakal jemaah haji, inilah puncak penyerahan kepada Yang
Maha Esa. Segala tugas hakiki dan wajib dalam semua lapangan seperti pegawai
kerajaan, guru, pekerja swasta hatta nelayan terpaksa dengan rela hati
meninggalkan tugas tersebut kerana menyahut panggilan Ilahi.
Bahasa yang
digunakan adalah bahasa yang melambangkan penyerahan sebagai seorang hamba
kepada Khaliqnya. Hal ini sentiasa dirasakan bermula daripada langkahan pertama
keluar dari rumah hingga pulang bertemu sanak saudara dan masuk ke dalam rumah.
Mengikut
cara Islam keluarnya seseorang hamba Allah menuju kepada Allah dalam
melaksanakan ibadah haji bermula dengan solat musafir di rumah dan apabila
kembali juga dengan bersolat mengikut sunah Rasulullah SAW.
Menzahirkan Kecintaan
Hal ini
dipamerkan oleh ramai dan hampir kesemua jemaah haji. Ia merupakan perasaan
rindu dan cinta kepada Mekah dan Madinah sekalipun berlaku kerap kali dalam
melaksanakan ibadah haji oleh seseorang. Benarlah kenyataan yang dibuat oleh
Syeikh Waliyullah al-Dehlawi dalam kitabnya yang masyhur, Hujjatullah
al-Baligah.
Seorang
ulama Syafie yang terkenal pada zaman dahulu iaitu Imam al-Nawawi menukilkan
dalam karyanya, Al-Idhah Fil Manasik al-Haji Wal Umrah antara lain
menyebut seorang wanita apabila sampai ke Kota Mekah mulutnya selalu menyebut
mana rumah tuhanku, kemudian ditunjukkan ke Kaabah lantas ia berlari dan
bergantung pada sitar (kelambu) Kaabah dan selepas itu beliau jatuh
menggelonggsor mati di kaki Kaabah.
Memaknakan erti kehidupan
Ketika
berkelana, mereka dapat menyaksikan manfaat-manfaat haji, sama ada bersifat
duniawi atau ukhrawi. Ini sudah pasti akan memberi satu pengalaman yang amat
berguna dan bernilai dalam kehidupan seseorang. Pada masa itulah seseorang itu
akan menghargai kehidupan yang dialaminya di kampung halamannya dan tanah
watannya. Segala aspek yang baik dan positif dapat diterjemahkan dalam
kehidupan hariannya yang sudah pasti beliau meraih pahala dan keredaan Allah.
Mengimbau nostalgia hamba Allah
Seolah-olah
sebahagian ibadat haji mengajak umat Islam mengimbau sejarah lama, khususnya
Nabi Ibrahim dan keluarganya. Justeru semangat keIbrahiman dan KeHajaran
sepatutnya dibawa pulang oleh jemaah haji. Bukan hanya menceritakan kepada anak
buah betapa letihnya saie antara Safa dan Marwah kerana jauh jaraknya.
Sebaliknya mengambil semangat tawakal dan bergantung harap Siti Hajar kepada
Allah dalam menempuh sisa-sisa keperitan hidup yang mencabar antara dahaga dan
kasih-sayang kepada anaknya, Ismail.
Memahami watak manusiawi
Imam Nawawi
pada mukadimah kitabnya Al-Idhah menyebut sejumlah pesanan dan wasiat
kepada bakal jemaah haji agar berinteraksi dengan sebaik mungkin termasuk hal
berkaitan harta benda, makan minum, tawar menawar, pinjaman dan sewaan supaya
ibadah haji yang dilakukan dapat disempurnakan dengan baik.
Ini kerana
apabila bermusafir segala watak sebenar manusia akan terdedah kerana itulah
salah satu daripada makna safar ialah mengubah watak seseorang kepada hakikat
dan realitinya yang sebenar. Pujangga pernah berkata: "Pilihlah jiran
sebelum dirikan rumah dan pilihlah rakan sebelum melakukan pelayaran."
Dalam haji,
jemaah haji didedahkan dengan pelbagai watak yang terkadang mengguris dan
menyinggung perasaan di samping ada yang benar-benar mempamerkan akhlak yang
unggul serta prihatin yang teramat sangat kepada rakan taulan, tetapi golongan
seperti ini amat nadir dan sedikit dan sudah pasti akan diminati serta dikasihi
oleh jemaah haji yang lain.
Muzakarah ilmiah
Oleh kerana
aspek ibadah haji atau disebut manasik haji, merupakan sebuah rehlah
rabbani sudah pastinya ilmu merupakan asas yang terpenting supaya benar-benar
menepati sunah nabi. Hal ini selaras dengan perintah Rasulullah SAW: Ambillah
manasik haji kamu daripadaku. (riwayat Bukhari).
Justeru
tidak hairanlah Tabung Haji dan lain-lainya mengadakan kursus yang mempunyai
banyak siri supaya ilmu dan kefahaman benar-benar dihayati oleh bakal jemaah
haji. Tetapi hal yang lebih menarik daripada itu, apabila sampai di Kota Mekah,
bahkan seawal perjalanannya lagi sentiasa kedengaran pelbagai pendapat
dilontarkan sehingga terlalu ramai "pakar", "mufti",
"tokoh ulama", yang mengemukakan pendapat dan hujahan
terkadang-kadang hanyalah berkiblatkan kepada logik akal semata-mata. Inilah
yang sepatutnya dijauhi.
Cuba memperibadikan sahabat yang
unggul
Ghalibnya
jemaah haji akan berkunjung ke Kota Suci Madinah al-Munawwarah dan beberapa
tempat di sekitar Madinah yang penuh keberkatan seperti Uhud, Perkuburan Baqie,
Khandak dan lain-lain. Ini sudah pasti mengingatkan kita kepada hayah
as-Sahabah dalam mempertahankan agama Allah dan meninggikan syiarnya.
Bayangkan
bagaimana Hamzah Singa Allah rebah dalam Perang Uhud kerana tusukan tombak yang
membawa kepada syahidnya. Begitu juga dengan para sahabat yang lain. Kalaulah
dapat diperibadikan dalam jiwa jemaah haji seperti mereka itu, sudah pasti
sinar gemilang Islam akan muncul kembali.
Cinta Rasul
Ini sudah
semestinya dapat dipamerkan ketika kunjungan para jemaah ke Makam Rasulullah
SAW dan Masjid Nabawi. Perasaan syahdu, sayu, sedih dan rasa kebersalahan
seseorang itu ternyata zahir ketika lafaz, Assalamualaikum Ya Rasulullah diucapkan
berhadapan dengan makamnya. Ketika itu kaki seolah-olah menjadi kaku, kepala
ditundukkan, mata dikenangi dengan air mata, dan pemikiran terpusat kepada
sahsiah yang paling unggul dimuka bumi itulah Rasulullah SAW.
Ketika
itulah sebuah tekad dan keazaman yang tinggi untuk menjadi umat Rasulullah dan
pengikutnya yang setia berasaskan sunah dan sirahnya. Perkataan Ya habibi,
wahai kekasihku Ya Rasulullah diulang kembali sehingga lupa orang di sebelahnya
meskipun suami atau isterinya. Itulah cinta Rasulullah.
Kembali dengan sahsiah Islamiah
Dengan
selesainya ibadah haji, apabila batu lontaran terakhir di jamrah selamat masuk
ke tempatnya maka jemaah haji berpaling mengadap kiblat, berdoa dengan penuh
harapan agar dimabrurkan hajinya. Justeru harapan seolah-olah jemaah haji
menjadi bayi yang baru dilahirkan tanpa dosa dan dalam keadaan bersih perlu
dipertahankan.
Sementelahan
pula pada tawaf Wada' seseorang itu membuat perjanjian kepada Allah untuk
menjadi hamba Allah yang hakiki. Hal yang sama juga berlaku ketika ucapan
selamat perpisahan dalam ziarah Wada' kepada Rasulullah SAW.
Inilah yang
sebenarnya patut dibawa pulang selepas memasuki madrasah haji dan telah bergraduan
dengan kemabruran haji. Pulang dengan membawa misi mabrur yang disabdakan oleh
Rasulullah SAW iaitu pemakaian sifat yang mahmudah seperti memberi salam dan
sentiasa menjamu orang, terutamanya fakir miskin dengan makanan.
Itulah
sedikit sebanyak coretan falsafah dan hikmah di sebalik pensyariatan haji yang
semestinya difahami oleh dhuyufurrahman. Semoga matlamat menuju kepada
kemabruran haji tercapai. Amin.
l DR.
ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji
(TH-Jakim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan