Selasa, 9 Oktober 2012

Tuhan beri anakku nyawa...' Perlu Baca

"Sehingga jam 10 pagi semalam, keadaan Awisy masih tidak berubah - oksigen dalam badan kurang, perut besar banyak air dan batuk."

MUHAMMAD Ar-Rayyan Darwisy Mohd Shaharin yang dipanggil ibunya Awisy, kini berusia 18 bulan. Ketika baru 14 hari menjenguk dunia, doktor mengesahkan bayi kecil ini menghidap Atresia Biliari (sejenis penyakit yang tidak mempunyai sistem hempedu luar dan menyebabkan penyakit kuning atau jaundis berpanjangan).Tak kira apa sakit dihidap, ibu bapa kepada Awisy, Hamizah Abas, 32, dan Mohd Shaharin Rusni, 32, tetap memanjat syukur kepada ALLAH kerana dikurniakan anak istimewa ini.
 
 


Ubat, suntik dan bedah sudah dilalui anak kecil ini. Memang perit melihat bayinya menangis dan menjerit menahan sakit. Apakan daya, demi penyembuhan anak, segalanya dilalui dengan tabah. Namun, apabila doktor menyatakan si anak hanya mempunyai seminggu sahaja lagi untuk hidup, hati Hamizah luluh. Hamizah seorang guru. Dia dan suami sering mengambil cuti akibat tahap kesihatan anaknya yang tidak menentu.

Apapun, dia tetap menyerah kepada Yang Maha Kuasa. Kerana ajal maut memang milik- NYA. Mengharap keajaiban yang datang daripada AL-MUHYI kerana dialah Yang Maha Menghidupkan segala makhluknya yang bernyawa.

Ikuti luahan Hamizah ketika ditemui di kediamannya di Bandar Mahkota Cheras.

BARU dua minggu tubuh Hamizah dapat saya sentuh. Baru 14 hari pipinya dapat saya kucup, tubuhnya dapat saya belai. Dapat saya peluk.

Namun takdir menentukan segalanya. Berita yang doktor sampaikan memang menjerut rasa. Awisy tidak mampu bertahan lama. Saya tidak mampu menentang ketentuan-NYA. Selain reda dan bersabar atas apa yang ALLAH tetapkan apa lagi yang mampu saya lakukan.

Apa pun saya perlu berusaha. Saya perlu berikhtiar. Saya tidak boleh membiarkan Awisy terus menanggung derita. Setiap kali tangis Awisy menyapa telinga, setiap itu jugalah saya turut merasa sakitnya.

Doktor kata, anak saya hanya mampu bertahan sehingga usia dua tahun. Itu ramalan manusia. Hidup mati bukan di tangan doktor. Selagi malaikat maut belum diperintah ALLAH untuk mencabut nyawa, selagi itu harapan anak saya pulih masih ada!

Selepas Awisy disahkan menghidap Biliary Attresia, anak bongsu saya itu dimasukkan ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang berikutan mengalami masalah paruparu. Awisy diwadkan untuk mendapat rawatan antibiotik.

Anak saya dibelenggu masalah saluran hempedu tersumbat dan fungsi hati tidak normal. Keadaan ini menyebabkan penyakit jaundice (penyakit kuning) tidak hilang.

Dia beransur pulih namun dari ujian hati doktor dapati ada yang tidak kena. Hasil ujian darah serta ujian imbasan mengesahkan fungsi hati tidak normal sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menjalani ujian imbasan sekali lagi dan disahkan mengalami masalah hati.

Ketika berumur 67 hari, buat kali pertamanya Awisy menjalani pembedahan bagi membuang salur hempedu dan menggantikannya dengan yang baru.

Doktor memberi harapan pembedahan kemungkinan 80 peratus berjaya tetapi bergantung kepada keadaan pesakit. Namun pembedahan tersebut gagal untuk Awisy.

Memang hati saya sedih bila pembedahan ini gagal. Tetapi saya tidak boleh berputus asa. Tentu masih ada jalan untuk menyembuhkan anak saya.

Doktor kemudian mencadangkan untuk pembedahan pemindahan hati. Hati saya memang sepadan untuk didermakan kepada Awisy. Tapi saya tidak layak kerana mempunyai masalah kesihatan.

Menurut doktor, peratus kejayaan pembedahan tersebut sangat rendah memandangkan kami masih lagi trauma berikutan pembedahan pertama yang gagal.

Kami perlu menunggu penderma organ. Penderma hati... Penantian yang tidak pasti... hati saya semakin pedih bila melihat Awisy yang semakin kerap menangis. Untuk meluah rasa melalui kata-kata, dia tidak mampu... pasti tangisan itu adalah suara Awisy menzahirkan rasa sakit yang ditanggung.

Sebenarnya sebaik saja Awisy disahkan mengalami masalah hati, saya mula membuat carian di laman sesawang mengenai kes yang sama.

Ada yang sudah sembuh seperti kes pembedahan pemindahan hati Wan Mohd Hafizam yang didermakan kepada Mohd Afiq yang berusia 14 bulan pada tahun 1999.

Dari situ, saya sentiasa memanjat doa mudah-mudahan ada insan sudi membantu menyelamatkan Awisy. Biarpun kebarangkalian untuk berjaya kita tidak tahu, tapi sekurang-kurangnya saya telah berikhtiar sedaya mampu.

Awisy sering tidak sihat dan kini toksin dalam badannya menyebabkan kulit mudah serang gatal-gatal dan berkudis. Darahnya cair. Apabila luka, banyak darah mengalir dan susah untuk dihentikan.

Dia mudah dijangkiti penyakit. Ekoran itu, saya terpaksa menghantarnya ke kampung untuk dijaga emak dan menjadi harapan kami agar Awisy turut diberi peluang untuk menjalani pembedahan seperti adik Afiq pada 14 tahun lalu.

Saya menaruh harapan yang tinggi agar anak saya mendapat pelepasan daripada kementerian untuk diberikan peluang bagi menjalani pembedahan tersebut memandangkan keadaannya kini semakin lemah.

Pada 27 September lalu, kejadian Awisy muntah darah membuatkan kami rasa panik. Dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan segera. Sejak itu kesihatan Awisy sentiasa dipantau di Institut Pediatrik HKL .

Apabila Awisy tidak sedarkan diri, pada 4 Oktober lalu, sekali lagi jiwa saya seperti direntap. Keesokan paginya, Awisy kembali sedar. Tetapi tubuh kecilnya sangat lemah apabila darah hidup keluar dari duburnya.

Apa yang paling sukar untuk terima tentang Awisy ialah apabila doktor menyatakan jangka hayat anak saya hanya tinggal seminggu!

YA ALLAH! Inikah ujian kesabaran yang perlu saya tempuh? Kalau benar, itu sependek itu jangka hayat Awisy, saya terima dengan reda. Kalau itu sekadar ramalan doktor, dan bukan janji-MU pada Awisy di Loh Mahfuz... berilah jalan untuk kami. Berilah anakku nyawa!

Kami harap kalian doakanlah Awisy sembuh. Jika sudah sampai masanya, doakanlah dia pergi dengan tenang tanpa seksa.

TUAN NUR SUHAILA RAJA MUHAMMAD
akakdisebalikpintu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...