Selasa, 9 April 2013

Petua Cantik Melalui Ibadat

Cantik melalui ibadat

* Kecantikan bermula daripada dalam diri, justeru, elemen pemakanan dalam Islam amat dititik beratkan terutama pengambilan banyak buah-buahan dalam diet harian dan mengharamkan alkohol.

* Amalkan makan tamar Nabi Ajwa. Pengambilan kurma itu sebanyak tujuh biji sebelah pagi dan petang, dapat mengelakkan diri daripada terkena sihir yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak terurus dirinya. Kajian sains menunjukkan khasiat dalam kurma itu amat tinggi dan dikatakan ejen keremajaan kerana individu yang mengamal pemakanannya, kelihatan muda dengan kulit wajah lebih tegang dan muda.
 
 
 

* Islam menggalakkan umatnya berpuasa kerana ia mendatangkan kebaikan kepada mental dan fizikal. Justeru, amalan berpuasa sunat, selain mendapat pahala, akan turut mampu memancarkan kecantikan dalaman dan terserlah daripada luaran.

* Kesan solat lima waktu amat menakjubkan. Air sembahyang yang diambil menerusi bacaan bismillah serta turutan merata ke anggota badan, boleh mengubahkan molekul air kepada bentuk cantik, yang memberi kesan kesegaran kepada kulit. Gerakan dalam solat mempunyai hikmah kesegaran kepada individu, justeru, orang yang kerap bersolat, wajahnya lebih tenang, redup dan berseri.

* Individu kerap berjaga malam dengan bersolat dan membaca al-Quran turut membantu kekuatan dalaman, justeru kehebatan itu terserlah pada muka dan tingkah lakunya.

Boleh cantik, tapi haram jika keterlaluan

Pendakwah Bebas, Zawawi Jusoh, berkata prinsip Islam melarang keras pembedahan plastik bertujuan mengubah ciptaan asal bahagian tubuh manusia seperti dicipta Allah atas alasan untuk kelihatan cantik serta bermegah-megah melalui cara pembedahan kosmetik, suntikan serta solekan berlebih-lebihan adalah haram.

Peraturan umum kecantikan dalam Islam adalah jelas, iaitu tidak mengubah ciptaan Allah; tidak memudaratkan diri seperti kesakitan pada tubuh atau bertambah beban kewangan; tiada unsur penipuan atau untuk membanggakan diri; tidak membazir; tiada unsur najis; tidak menyerupai jantina berlainan; tidak menyerupai orang kafir dan fasik; wanita hanya berhias untuk suami dan mahramnya saja dan mengikut syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam.

"Manusia perlu menerima keadaan diri mereka dan mengubahnya kelihatan cantik sentiasa dan sepanjang masa menerusi kemajuan sains dan teknologi menerusi jarum suntikan itu berdosa. Fitrah manusia akan tua dan muka berkedut, sebenarnya sebagai persediaan untuk menghadapi kematian. Kalau seseorang itu pada usia 40an tetapi muka tetap tegang dan dipuji cantik serta awet muda, kesan rawatan jarum suntikan, dikhuatiri akan mengundang rasa riak sebab timbul rasa seronok.

"Bila rambut kita hitamkan, muka pula tidak berkedut macam orang umur 20-an, seseorang itu mungkin semakin panjang memasang angan-angan dalam hidup dan cinta kepada dunia. Perasaan itu kelak dikhuatiri meranapkan perasaan manusia, yang sepatutnya semakin mengingati kepada kepada mati, dan mempersiapkan diri dengan amalan," katanya.

"Larangan itu adalah jelas, sebab manusia dijadikan Allah di muka bumi ini untuk beribadat. Lebih daripada proses pembedahan itu lebih kepada menyakitkan, membabitkan pembaziran daripada segi kos. Kaedah rawatan menegangkan kulit muka dengan menggunakan suntikan Botox (Botulinum Toxix A) pula adalah haram dan bagaimana untuk mendekatkan diri dengan Allah sedangkan bahan haram itu ada pada tubuh badan," katanya.

Begitupun pembedahan kosmetik dibenarkan atas tujuan perubatan dan kesihatan seperti memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma, selain mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal dibolehkan.

Sungguhpun begitu, katanya, Islam tidak `marah' mengenai ikhtiar menjaga kecantikan menerusi rawatan urutan tubuh badan, mengambil makanan tambahan serta menjaga pemakanan dan senaman.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan Psikologi Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Dr Mohamad Hussain Habil, berkata individu selalunya melihat dirinya sebagai tidak sempurna seperti hidung kembang atau mata terlalu besar, sedangkan pada pandangan orang lain, tidak ada sedikitpun cacat celanya.

Kesihatan mental mengaitkan individu yang mempunyai kecenderungan terlampau hingga menganggap diri tidak sempurna digelar dysmophobia.

"Ada juga kes pesakit mengambil keputusan membesarkan payudara oleh perempuan dan lelaki membesarkan bahagian sulitnya semata-mata merasakan ia tidak sempurna dari segi rupa, sedangkan ia tidak pun mempunyai sebarang masalah. Daripada saiz mungkin berbeza, tetapi tidak sedikit pun ada cacat celanya.

"Memandang diri tidak sempurna amat mengganggu dan mempengaruhi fikirannya dan ia menjadi pencetus individu mengambil keputusan tidak masuk akal dan ini adalah salah satu cabang kepada gangguan mental. Ia boleh dicetuskan oleh banyak perkara, tetapi salah satu daripadanya ialah tekanan perasaan yang boleh mencetus konflik berpanjangan," katanya.

Ada satu kes seorang wanita bertindak melakukan pembedahan plastik pada tubuh atas alasan, tidak diterima dalam menjalin sesuatu hubungan. Keadaan itu amat mengganggu, apatah lagi tidak mempunyai keyakinan diri menjadikan beliau memutuskan untuk melakukan tindakan drastik, tanpa memikirkan pembedahan itu memberikan kesan sampingan.

"Mengalami psikosisi juga membolehkan individu mengambil tindakan mencucuk diri sendiri lantaran terdengar suara mengarahkan beliau berbuat demikian. Ada kes pesakit meminta pakar bedah plastik memperbetulkan telinganya, sebab kerap mendengar bunyi serangga dalam telinganya sedangkan pemeriksaan tidak menunjukkan sebarang kecacatan.
http://anizyn.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...