Siapakah manusia yang gagah? Berhubung dengan ini nabi bersabda, “Manusia yang gagah bukanlah dia yang mampu menjatuhkan lawannya. Sebaliknya yang gagah ialah dia yang mampu mengawal perasaan marahnya.”
Mereka yang mampu mengawal perasaan marah melambangkan peribadi yang mampu mengawal diri mereka sendiri. Orang yang mampu mengawal diri sendiri untuk tunduk kepada Allah sedang berjalan menuju ke syurga.
Sahabat nabi yang bernama Abu Dardak pernah menyoal nabi, ”Ya Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang akan membawa aku ke syurga.” Nabi menjawab, “Janganlah engkau marah!” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Thabrani dan Ibn Abid Dunya dengan sanad yang baik.
Fisiologi Kemarahan
Apa yang sedang berlaku di dalam diri anda ketika anda sedang marah? Mengikut artikel Anger is Hostile To Your Heart yang dimuatkan di dalam majalah Harvard Gazette, perasaan marah memberi kesan yang negatif kepada jantung. Mengikut Penolong Profesor Ichiro Kawachi dan rakan-rakannya, orang-orang tua yang sering marah-marah mempunyai risiko tiga kali ganda menghidap sakit jantung berbanding rakan-rakan mereka yang lain.
Para pengkaji berpendapat, pengeluaran hormon stres, peningkatan keperluan jantung kepada oksigen dan kecenderungan darah (khususnya darah platelet) untuk membeku menyebabkan peningkatan risiko ini.
Para saintis dari Universiti John Hopkins di Baltimore, Maryland, pula mendapati lelaki yang panas baran lebih mudah diserang sakit jantung walaupun mereka datang dari keluarga yang tidak pernah menghidap penyakit ini. Mark Henderson menyatakan hal ini di dalam artikel Anger Raises Risk of Heart Attack yang dimuatkan di dalam The Times, London, bertarikh 24 April 2002.
Mengikut jurnal Psychomatic Medicine, perasaan marah boleh merangsang pengeluaran protein tertentu yang dikenali sebagai inflammatory proteins. Protein ini menyebabkan pembuluh darah (arteri) menjadi keras dan proses ini boleh menyebabkan kejadian strok dan sakit jantung berlaku. Hal ini disebutkan di dalam artikel Anger Trigger To Heart Disease Found oleh Peter Lavelle di ABC Science Online bertarikh 5 Ogos 2003.
Mengikut Profesor Madya Edward Suarez dari Pusat Perubatan Universiti Duke di North Carolina, protein interleukin (IL-6) didapati lebih tinggi di kalangan lelaki yang menghidap kesugulan dan panas baran. Kadar interleukin yang tinggi memudahkan lemak-lemak asid berkumpul di dalam pembuluh-pembuluh darah.
Proses ini menyebabkan arteriosklerosis berlaku disusuli dengan sakit jantung. Peter Lavelle menyebutkan perkara ini di dalam artikel Anger Trigger To Heart Disease Found di dalam ABC Science Online bertarikh 5 Ogos 2003.
Justeru untuk mencapai kecemerlangan di dalam kehidupan perasaan marah perlu dibendung dan dikawal agar diri anda tidak terbabas dari landasan kebenaran dan kebaikan
badrulhisham
Tiada ulasan:
Catat Ulasan