Sabtu, 31 Disember 2011

Erti perjuangan si anai-anai


Jamaah anai-anai

Anai-anai adalah sejenis serangga ciptaan Allah yang memiliki potensi dan prestasi yag sangat hebat. Mereka hidup di dalam komuniti yang komited dengan sistem yang telah diatur bagi mempastikan kejayaan hala tuju kehidupan mereka.

1- Gabungan individu di dalam jamaah anai-anai sentiasa tekun mengerah keringat tanpa mengenal erti kepenatan bagi mencapai misi dan visi perjuangan hidup mereka. Masyarakat anai-anai yang komited ini telah dididik sejak kecil agar ber’iman’ dengan misi perjuangan mereka dan bersungguh-sungguh bagi memenuhi objektif bersama.

2- Anai-anai tidak bergaduh mengenai siapa buat kerja kurang atau pun kerja lebih. Bahkan kerja mereka terfokus kepada bidang tugas yang ditetapkan oleh kepimpinan jamaah anai-anai iaitu ratu anai-anai. Walaupun ramai orang yang tidak menyukai dan cuba untuk menghapuskan mereka, survival anai-anai adalah sesuatu yang hampir pasti disebabkan kesungguhan mereka untuk hidup dan berkembang dengan strategi yang ditentukan oleh ratu. Dalam erti kata lain, anai-anai bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ’jihad’ secara ber’pasukan’.

Ratu anai-anai

3- Ratu anai-anai dan barisan kepimpinannya akan sentiasa ditaati oleh pengikutnya yang berada di bawah sistem pentadbiran dan pengurusan yang satu sekali pun mahligai atau wilayah mereka semakin membesar seolah-olah wujudnya sebuah empayar yang hebat. Individu dan masyarakat anai-anai amat ber’disiplin’ di dalam mengatur dan melaksanakan gerak kerja mereka.

Namun ada 3 sempadan daripada jamaah anai-anai.

1-     Kewujudan anai-anai tidak disukai oleh mana-mana tuan rumah terutamanya kalau rumah mereka diperbuat daripada bahan yang tidak ‘immune’ kepada serangan anai-anai. Masyarakat anai-anai akan cuba dihapuskan sebelum ianya membiak dan menyebabkan kerosakan yang lebih besar. Kesilapan tuan rumah yang lambat mengawal anai-anai boleh menyebabkan kemusnahan yang besar kepada binaan tersebut. Satu pilihan lain yang boleh diambil oleh anai-anai ialah membina mahligainya sendiri jauh-jauh tanpa mengganggu atau mengambil alih binaan yang telah dibina oleh tuan rumah tersebut.

2-     Walau bagaimana besar dan cantiknya mahligai yang dibina oleh anai-anai, umum mendapati bahawa binaan mereka bukanlah binaan yang kuat kerana tidak menggunakan bahan yang solid dan strukturnya agak mudah untuk dihancurkan oleh musuh-musuh mereka. Sudah lama ratu dan kabinet anai-anai memikirkan tentang kelemahan institusi mereka namun mereka terpaksa akur dengan taqdir Ilahi dan pasrah dengan ketentuan daripadaNya.

3-     Kerja dan hobi anai-anai ialah membina, memperbaiki dan membesarkan rumah atau mahligai mereka (biasanya dipanggil busut anai-anai). Mereka begitu terfokus sehingga misi dan visinya adalah rumah, rumah dan rumah ! Jadi manusia yang beragenda besar tidak akan menghabiskan masa, duit, tenaga, fikiran dan kehidupannya untuk rumah, rumah dan rumah seperti jemaah anai-anai ini.

Mahligai anai-anai

Kesimpulan :

  • Rahsia kemenangan perjuangan adalah berpaksikan kepada kekuatan keimanan, perjuangan secara berpasukan dan memiliki anggota yang berdisiplin.
  • Organisasi yang hebat tidak boleh kekal menumpang di atas satu sistem yang rapuh walaupun kelihatan besar kerana binaan itu akan runtuh mahupun diruntuhkan.
  • Kewujudan perosak di dalam binaan akan menyebabkan kemusnahan yang besar sekiranya lambat dikesan dan dirawati
  • Banyak kebaikan yang boleh dimiliki oleh jamaah anai-anai namun komuniti anai-anai ini perlu berusaha untuk berdikari agar tidak dimusnahkan oleh empunya binaan.
  • Manusia yang hebat mesti mempunyai agenda hidup yang tersusun yang tentunya lebih baik daripada jamaah anai-anai yang komited terhadap rutin hidup mereka membina, memperbaiki dan membesarkan rumah di sepanjang masa.
Peduli ummah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...