Sabtu, 31 Disember 2011

Laporan polis kerana tidak menghormati Majlis Fatwa yang dinaungi Tuanku Sultan

http://www.wartakedah.net/images/azam.jpg
Alor Setar, 28 Dis - Pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis terhadap Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS), Kanchut kerana menyifatkan tindak tanduk pertubuhan itu menganjurkan himpunan haram yang dicadangkan pada 31 Disember ini sebagai tidak menghormati Majlis Fatwa Negeri Kedah.

Ketuanya, Mohd Azam Awang, membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar berikutan BBSMS akan mengadakan himpunan membantah harta wakaf (Bangunan Madrasah Salihiah) dialihwakaf dengan menghasut orang ramai menyertainya.

Berikut adalah kenyataan penuh laporan polis tersebut:


Laporan polis ini dibuat kerana sebuah pertubuhan yang menamakan diri mereka sebagai Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) akan menganjurkan himpunan pada 31 Disember 2011 di Madrasah Salihiah, Kanchut mulai 12 tengahari hingga 5 petang. Antara pengisiannya ialah bantahan terhadap usaha merobohkan madrasah wakaf bagi dibina surau baru oleh pihak pemaju.


Saya sebagai rakyat negeri Kedah merasakan program tersebut mesti dihalang serta tidak diberikan kebenaran (permit) oleh pihak polis berdasarkan sebab-sebab berikut:


1)    Tindakan mereka adalah bercanggah dengan keputusan Majlis Fatwa Negeri Kedah yang membenarkan ISTIBDAL iaitu pindah wakaf bagi mendapat manfaat lebih besar. Kaedah tersebut yang diputuskan oleh Majlis Fatwa bagi mengizinkan madrasah tersebut dirobohkan dengan pampasan RM1.48 juta bagi mengadakan wakaf yang baharu, di samping pihak pemaju akan membina semula sebuah surau di lokasi yang sama dengan keluasan lebih besar. Sikap tidak menghormati keputusan majlis fatwa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam boleh mendorong kepada perpecahan ummah.


2)    Majlis Fatwa Negeri Kedah adalah dinaungi oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang kini baginda adalah Yang DiPertuan Agong. Setiap keputusan majlis fatwa telah dipersembahkan kepada baginda untuk makluman atau perkenan. Dengan itu tindakan BBSMS menentang keputusan Majlis Fatwa Negeri Kedah bererti menderhaka kepada KDYMM Tuanku Sultan yang kini merupakan Yang DiPertuan Agong.


3)    Ahli-ahli majlis fatwa yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Sohibul Samahah Syeikh Badaruddin Haji Ahmad adalah terdiri dari mereka yang alim (berilmu) di bidang keIslaman. Mereka terdiri dari Dato' Mursyid Diraja Dato' Paduka (Dr) Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor, Dato' Wira Syeikh Yahya Bin Hj Jusoh, Dato' Syeikh Abdul Razak Bin Haji Mohd Yusof, Dato' Syeikh Abd. Hamid Bin Md. Tahir, Tuan Syeikh Abdul Rahman Bin Abu Bakar, Prof. Madya Dr. Haji Abdul Aziz Bin Hj Hanafi, Tuan Syeikh Marwazi Bin Dziyauddin dan Tuan Syeikh Aminudin Bin Hj Abd Rahim. Mereka telah berbahas dengan terperinci akan hukum hakam sebelum membuat keputusan. Dengan itu tindakan BBSMS menganggah keputusan ulamak yang berautoriti serta berwibawa dalam bidang tersebut boleh menyebabkan berlaku perpecahan dalam masyarakat Islam.


4)    Madrasah Salihiah bukannya premis persendirian, ia berada di bawah Majlis Agama Islam Kedah (MAIK)  sebagai pemegang amanah. BBSMS mestilah mendapat kebenaran dari MAIK sebelum mengadakan himpunan haram seumpama itu di premis tersebut.


Dengan itu saya menggesa pihak yang bertanggungjawab:


1)    Menghalang program yang dicadangkan pada 31 Disember 2011, di Madrasah Salihiah, kanchut dari diadakan.


2)    Mengambil tindakan tegas terhadap BBSMS yang mengkucar-kacirkan serta mencelarukan pemikiran rakyat berhubung isu Madrasah Salihiah, Kanchut.


wartakedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...