Selasa, 27 Disember 2011

Projek Aman Central tetap diteruskan





ALOR SETAR – Walaupun mendapat bantahan daripada beberapa pihak, kerajaan negeri Kedah tetap akan meneruskan projek Aman Central kerana projek tersebut adalah demi kepentingan rakyat.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, apa yang kerajaan negeri lakukan sekarang ini adalah demi kepentingan rakyat kerana kompleks ini kelak akan memberikan peluang pekerjaan kepada dua ribu  penduduk dan saya berharap ianya mendapat sokongan daripada rakyat.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai isu penangguhan projek Aman Central di majlis penyerahan sumbangan kepada SJK(C) Keat Hwa dan Sin Min.

“Sebelum ini saya sudah maklumkan bahawa akan dibina surau di dalam komplek tersebut yang akan mampu memuatkan 400 jemaah. Dan berkemungkinan boleh digunakan untuk bersolat Jumaat.

“Selain itu, saya sudah lihat sendiri pelan pembangunan kompleks tersebut dan ianya menepati citarasa kerana ianya berciri Islamik,” ujarnya.

Beliau memaklumkan bahawa beliau sudah mendapat maklum balas positif daripada pemaju yang menyatakan bahawa projek tersebut tiada masalah dari segi perundangan. Pembinaan hotel lima bintang kawasan berdekatan akan dimulakan terlebih dahulu kerana kerana ianya tidak memerlukan kerja meroboh yang banyak.

Sementara itu, Madarsah Salihiah tetap akan dirobohkan tetapi ianya akan dirobohkan yang terakhir sekali selepas semua proses siap dan buat masa sekarang bangunan lama yang berhampiran akan dirobohkan terlebih dahulu.

“Walaupun ada pihak yang membantah
 agar madarasah tersebut tidak dirobohkan tetapi permohonan mereka telah ditolak oleh mahkamah,” jelasnya.
Menurutnya lagi, Majlis Fatwa selepas membuat kajian kali kedua membenarkan bangunan dibina di atas tapak wakaf tersebut dengan syarat-syarat tertentu.

“Projek ini akan tetap akan diteruskan dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual kecuali wujud perkara yang diluar jangkaan,” katanya.

WARTAKEDAH


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...