Ahad, 25 Disember 2011

MUDAHKAH MENCARI SESUAP NASI??

**********
Sejak abah pergi, ibulah yang menjadi tunggak utama keluarga. Ibu memiliki tiga permata yang amat disayanginya. Ibu rela berkorban demi permata-permata itu. Anak sulung ibu, Mia, menyambung  pelajaran di sebuah universiti tempatan. Tahun depan, dia bakal menamatkan pengajiannya. Dia bakal menggenggam segulung ijazah. Anak kedua ibu masih bersekolah. Tahun ini, Dhia bakal menghadapi peperiksaan SPM. Anak bongsunya pula, Nia, bakal menghadapi peperiksaan PMR.

Ibu hanya menjual nasi lemak dan menjahit baju untuk menampung hidupnya dan tiga permata hatinya. Dhia sering membantu ibu membuat nasi lemak. Seawal 4.30 pagi, mata Dhia sudah celik. Dia mengintai ibu. Ibu sedang mengukus nasi lemak. Dhia segera membantu ibunya menyediakan sambal nasi lemak pula. Sementara menunggu sambal mendidih, ibu meluangkan masa menghadap Ilahi. Dhia setia menanti sambal mendidih. Nia pula nyenyak tidur di atas tilam tanpa katil.

Mia seorang gadis  sosial di universiti tempat dia menuntut ilmu. Dia hanya baik dan sopan bila berada di teratak buruknya. Di universiti, Mia banyak menghabiskan duit hasil titik peluh ibunya dengan berkaraoke, menonton wayang dan ber’chatting’ melalui telefon bersama boyfriend.

Suatu hari, Mia menelefon ibu. Ibu bahagia mendengar suara permata sulungnya itu. Sudah lama dia tidak mendengar suara Mia. Ibu tahu, Mia sibuk dengan pelajarannya.

“Ibu..Minggu depan, Mia nak RM 200 boleh? Banyak buku yang Mia kena beli. Maklumlah, peperiksaan dah semakin hampir.” Luah Mia tanpa ada secalit rasa bersalah. RM 200 bukanlah nilai yang kecil bagi keluarga seperti ibu.

“Ibu akan usahakan, nak.. belajar rajin-rajin ya..” Nada ibu mendatar. Ibu akur dengan permintaan anak sulungnya itu. Talian telefon terus dimatikan. Bibir ibu sayu. Tiada lagi senyuman.

Mia berasa bahagia kerana dia berjaya menipu ibunya. Dia inginkan RM 200 kerana ingin meluangkan masa bersama boyfriend tercinta. Dia ingin menonton wayang dan berkaraoke bersama buah hatinya. Dia juga ingin ber‘shopping’ bersama teman-temannya. Ya! Itulah niat sebenar Mia menagih wang sebanyak RM 200 daripada ibunya.

Ibu berusaha meningkatkan hasil jualan nasi lemaknya. Disebabkan musim perayaan lambat lagi tiba, tak ramai orang menempah jahitan hasil tangannya. Ibu bergantung pada hasil jualan nasi lemaknya untuk memberi makan permata-permata hatinya. Dia juga perlu memasukkan RM 200 ke dalam akaun Mia pada minggu hadapan.

Sudah 5 hari, namun, duit kumpul ibu masih belum mencecah RM 200. Ibu gusar. Cuti hujung minggu, ibu bangun seawal 4.00 pagi. Dia ingin membuat nasi lemak. Dia ingin menambahkan bilangan nasi lemaknya. Moga cuti dua hari ini mampu menambahkan hasil pendapatannya. Dhia dan Nia membantu ibu menjual nasi lemak. Ibu menjual di bawah pokok seorang diri. Dhia dan Nia ,menghantar nasi lemak ke gerai-gerai berdekatan untuk dijual.

Nasi lemak jualan ibu di bawah pokok masih kelihatan banyak. Bilangannya mencecah 25 bungkus lagi. Jam menunjukkan sudah pukul 9.00 pagi. Tak ramai orang yang lalu di situ. Ibu hanya berdoa dan terus berdoa di dalam hati. Tiga orang lelaki berbadan tegap berhenti di bawah pokok. Mereka memandang ibu dengan pandangan yang amat sinis.

 Niat jahat mula bercambah di hati mereka. Mereka mendekati ibu dan melemparkan kesemua nasi lemak ibu. Duit-duit ibu habis dirampas mereka. Tangisan ibu tidak mereka pedulikan. Mereka segera beredar dari situ sebelum dicekup. Ibu menangis teresak-esak.

Dhia dan Nia sampai di rumah. Mereka hairan melihat ibu memegang sebungkus nasi lemak hasil tangannya. Di mana bakul nasi lemak? Di mana bakul duit? Ibu memeluk kedua permatanya itu. Air matanya mula berlinangan.

“Dhia, Nia, hari ni kamu berdua makan ini saja ya. Ibu minta maaf nak. Ibu tak mampu nak bagi kamu berdua lebih.” Suara ibu kedengaran amat sayu sekali. Dhia dan Nia diam membisu. Mereka memeluk erat tubuh lemah ibu.

“Ibu pun makan sekali ya. Jom.” Ajak Dhia sambil mengusap pipi ibunya. Mereka bertiga meratah sebungkus nasi lemak. Nasi lemak itu semestinya tidak mengenyangkan jika dikongsi bertiga. Tetapi, cukup untuk mengalas perut mereka pada hari itu.

Keesokan harinya, ibu pergi ke bank. Ibu hanya memasukkan RM 100 ke dalam akaun Mia. Mia bengang! Duit itu hanya mampu untuk dia menonton wayang dan berkaraoke sahaja. Dia mahukan lebih daripada itu. Dia segera menelefon ibunya.

“Ibu! Sampai hati ibu tipu Mia! Kenapa ibu masukkan RM 100 sahaja? Mia minta RM 200 kan??!” Suara Mia naik meninggi.

“Ibu tak cukup duit sayang..ibu minta maaf ya..” Air mata ibu mengalir lagi.

“Ibu tipu! Alasan saja tu! Ibu lebih pentingkan Dhia dan Nia kan??!  Okey, fine!” Mia mematikan talian. 
Dia mendengus keras.

Kesihatan ibu semakin merundum. Ibu demam panas. Dhia tidak ke sekolah kerana menjaga ibu. Nia terpaksa ke sekolah kerana hari ini, dia bakal menghadapi peperiksaan besar.

“Dhia, dalam botol bawah bantal ni ada sedikit beras. Dhia masak ya. Untuk Dhia dan Nia makan.” Ibu meraba bawah bantalnya. Dia menyerahkan sebotol beras kepada Dhia. Dia bergegas ke dapur untuk masak nasi. Dia kembali ke pangkuan ibunya.

“Nanti makan nasi tu dengan kicap ya. Kita tak ada lauk nak..”

 Lemah dan pilu suara sang ibu. Ibu sedar, dia tak mampu beri makan anak-anaknya dengan makanan yang mahal dan lazat. Dhia hanya tersenyum sambil mengangguk.
**********
Mahukah kita jadi seperti Mia yang di atas ini? Sudah tentunya TIDAK! Benar, saya pun tak ingin dan moga dijauhkan daripada bersikap tak punya belas kasihan terhadap ibu sendiri seperti Mia di atas ini.

BERBUAT BAIK TERHADAP IBU BAPA
Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 8 yang bermaksud ; Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya…
Kita juga mestilah menjaga setiap tutur kata bicara yang diucapkan kepada mereka. Jangan sesekali menengking dan memarahi mereka sesuka hati kita.

Allah s.w.t. mengingatkan kita dalam surah Al-Israa ayat 23 yang bermaksud ; …janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Jangan sesekali kita lupa bahawa Syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Reda Allah juga bergantung di atas reda ibu bapa terhadap kita.
Cara berbuat baik kepada kedua ibu bapa :
-          Mendoakan kebaikan mereka
-          Menolong mereka membuat kerja di rumah
-          Mendengar nasihat dan teguran mereka
-          Senyum pada keduanya dll
Cara berbuat baik kepada kedua ibu bapa (jika sudah tiada) :
-          Mendoakan kesejahteraan mereka
-          Berbuat baik kepada sahabat mereka
-          Menjelaskan hutang mereka dll

HARGAI JASA KERINGAT MEREKA
Bagaimana?? Hargailah setiap jasa titis keringat mereka dengan menghargai setiap pemberian mereka dan penyediaan mereka untuk kita.
Hargailah masakan ibu kita dengan lafaz : Sedapnya!

Hargailah hadiah yang diberi oleh mereka dengan lafaz : Cantiknya hadiah ni! Terima kasih!

Hargailah muka penat si ayah pulang bekerja dengan senyuman manis kita :)

Hargailah ibu yang sentiasa menemani kita ke pintu rumah saat kita hendak ke sekolah dengan sebuah kucupan mesra di pipi 

Hargailah duit yang mereka bagi untuk kita belanjakan dengan menabung. Bukan asyik topup semata-mata nak call dan sms bf/gf. Bukan dengan menonton wayang dan berkaraoke dengan gf/bf. Tapi, gunakan ia untuk bersedekah, membeli buku-buku agama yang bermanfaat untuk diri dan keluarga dll.
Ingatlah, sesaat yang berlalu takkan kembali tetapi ia tetap akan diperhitungkan..

Bukan mudah hendak mencari sesuap nasi mengisi ruang perut yang sedang kelaparan. Bukan mudah hendak membeli pakaian yang semakin hari semakin mahal harganya. Kita belum merasa sebab kita belum bekerja.

Dan sekarang, saya sedang berusaha untuk belajar mencari duit sendiri dengan berusaha mencari pekerjaan yang halal. Yelah, sementara nak menunggu keputusan STAM. Kalau duduk rumah saja, boleh mengembanglah jawabnya. Hehe. Dah ada yang saya isi borang, tapi, tak tahulah dapat ke tak kerja tu. Doakan saya ya. Kerja kosong memang ada dan banyak, namun, kerja yang betul-betul tak menggadaikan aurat sebagai syarat untuk mendapatkan kerja itu sukar dicari. Semoga segala urusan kita dipermudahkan-Nya dan diredai-Nya. 

wana93

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...