Ahad, 25 Disember 2011

Kenali- Identiti Tamar Jalis



SELAMA 30 tahun Ahmad menyembunyikan identiti Tamar Jalis.


NOVEL mistik, Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) telah mencetuskan fenomena pada tahun 1980-an.
Sebanyak 284 siri novel itu disiarkan majalah Variasari terbitan Kumpulan Variapop selama lebih 23 tahun bermula dari bulan April 1981 hingga Januari 2005.


Ia adalah siri terpanjang dan paling lama disiarkan dalam majalah di Malaysia. Disebabkan SBDJ, Variasari pernah dicetak sehingga 120,000 naskhah sebulan.


Tetapi penulisnya, Tamar Jalis kekal misteri selama 30 tahun sehinggalah beliau mendedahkan identiti sebenarnya Jun lalu.


Beliau ialah Ahmad@Mohd. Radzi Mahmud, 73, yang berasal dari Beruas, Perak. Menurut Ahmad, nama Tamar Jalis diambil daripada nama jin dalam Hikayat Inderaputera iaitu sebuah kesusasteraan Melayu lama.
Walaupun beliau seorang penulis cerita hantu terkenal, penampilan Ahmad semasa ditemui di sebuah kompleks beli-belah di Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini tidak seaneh yang dibayangkan.
Beliau selesa memakai baju kemeja dan berseluar jean. Di sebalik kedutan pada wajahnya, beliau kelihatan sihat dan kuat.


“Pada mulanya SBDJ cuma cubaan untuk menaikkan jualan Variasari yang agak lembap pada masa itu tetapi tidak sangka pula ia mendapat sambutan hangat pembaca sehingga majalah itu diulang cetak sebanyak beberapa kali,” jelas Ahmad yang pernah bekerja sebagai buruh dan peniaga malah wartawan sebuah akhbar.
 
Beliau yang kini menetap di Kota Damansara berkata, idea untuk menulis siri novel itu timbul selepas beliau berusia 40 tahun.


“Biasalah orang muda, semasa usia 20 atau 30-an, kita kurang serius terhadap pelbagai perkara termasuk kehidupan.


“Namun, selain untuk melariskan jualan Variasari, saya merasakan pengalaman mengikuti datuk saya perlu diceritakan,” ujarnya mengenai datuknya, Kulup Muhamad Diah atau lebih dikenali dengan panggilan Long Mat Piah.


Long Mat Piah ialah seorang pengamal perubatan tradisional. Ahmad banyak mengikut datuknya itu mengubat orang yang mengalami gangguan jin sehingga membawa beliau ke semua daerah di Perak.


Muncul


Keluarga Ahmad tinggal berdekatan dengan rumah datuknya. Beritahu Ahmad, mungkin disebabkan beliau cucu yang paling disayangi jadi beliau sering diajak oleh datuknya untuk mengubat.


“Pengalaman melihat dan mendengar suara makhluk halus khususnya daripada individu yang dirasuk jin memberi idea untuk saya menulis.


“Pada mulanya saya agak takut tetapi disebabkan ilmu yang ada pada datuk menyebabkan saya yakin dan berani,” kata Ahmad.


Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Ahmad ialah semasa mengikuti datuknya menghalau hantu seorang wanita yang telah meninggal dunia tetapi tetap mengganggu keluarganya.


“Wanita itu mengamalkan satu ilmu hitam iaitu nasi tangas untuk membuatkan suaminya tunduk dan taat kepadanya.


“Selain itu, wanita itu juga ingin suaminya yang juga seorang kaki judi berubah,” ceritanya.


Ahmad memberitahu, disebabkan mengamalkan ilmu yang salah itu, roh wanita itu sering mengganggu keluarganya.


“Syukur datuk saya berjaya menghalau hantu wanita tersebut daripada terus mengganggu keluarganya,” ujar beliau.


Namun, beliau mengaku tidak pernah dirasuk atau diganggu makhluk halus sehingga sekarang.


Ahmad memberitahu, beliau mampu menyiapkan satu siri novel SBDJ dalam tempoh sehari.


“Saya sendiri pernah melaluinya jadi lebih mudah untuk menulis. Memang ada penambahan cerita tetapi tidak terlalu terpesong daripada cerita sebenar,” katanya.


Namun, mengapa pada usia lebih 70 tahun baru Ahmad terfikir untuk menonjolkan diri?


“Cukuplah, asalkan nama jin Tamar Jalis popular,” ujarnya.


Jelasnya lagi, beliau juga mengetahui artikel penulis bertajuk Tamar Jalis Manusia Misteri yang tersiar dalam Kosmo! Ahad keluaran 24 Januari 2010.


“Saya masih menyimpan artikel itu. Rakan saya A. Jalil Miran (dikatakan juga pemilik nama Tamar Jalis) banyak membantu saya dalam menghasilkan SBDJ.


“Jasanya tidak mampu dibalas walaupun beliau telah meninggal dunia,” jelas Ahmad.


Sebelum beredar, penulis bertanya kepada Ahmad sekiranya beliau mendedahkan identitinya lebih awal, beliau mungkin lebih terkenal dan mampu menjadi lebih kaya berbanding sekarang.


“Tidak mengapa, cukuplah rezeki yang ada,” katanya.


Kini, novel SBDJ bakal diadaptasi ke dalam bentuk drama televisyen.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nafiela, Syamreen Azam Shafei yang sekarang menerbitkan novel SBDJ, usaha itu sedang giat dijalankan termasuk mencari barisan pelakon yang sesuai.


“Saya berharap dengan adanya drama SBDJ, cerita seram ini akan ada kesinambungannya,” ujar Syamreen.

kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...