Isnin, 5 Disember 2011

Pelabur berpindah minat datang semula



SUNGAI PETANI -  Tahap kondusif yang tinggi di kawasan industri mampu menarik minat pelabur asing yang sudah berpindah ke negara lain untuk melabur semula, seterusnya memilih lokasi terbabit bagi membangunkan perindustrian sekiranya ia berpotensi dimajukan.



Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah, selain kos berpatutan, mampu bersaing dan pulangan yang menguntungkan, aspek kebersihan kawasan perindustrian  turut menjadi perhatian pelabur supaya tidak menjejaskan operasi.

“Sekiranya kawasan industri dalam keadaan selesa, tahap kebersihan terjamin, keselamatan dipertingkatkan dan berpotensi untuk dimajukan, ia mampu menarik perhatian pelabur luar kembali turut serta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Program Gotong-Royong Kawasan Perindustrian Miel Sungai Lalang (Bukit Makmur), di sini.

Amiruddin memberitahu, masalah penyelenggaraan seperti longkang tersumbat yang mampu menyebabkan banjir, selalu terputus bekalan elektrik dan lampu jalan tiada juga mampu menjejaskan perjalanan indsutri.

“Kita mahu pastikan kawasan perindustrian berada dalam keadaan selamat, bebas jenayah, cukup kelengkapan elektrik dan kemudahan lain kerana ianya faktor pelabur cenderung memilih lokasi untuk melabur,” katanya.

Tambahnya, acara gotong-royong yang melibatkan MIDF Property Berhad, MIDA, Kedah Investment Centre, FMM Kedah/Perlis, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Enviroment Idaman, pihak polis dan bomba mampu menghidupkan kawasan indsutri supaya lebih segar.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menghadapi kekangan peruntukan melakukan penyelenggaraan di kawasan industri perlu memaklumkan perkara itu kerana kita boleh cuba dapatkan peruntukan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar MIDF Property Berhad, Mohd Yusoff Abdullah berkata, pihaknya akan menyediakan kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan indsutri berkenaan selain mempertingkatkan kemudahan pencahayaan bagi mengurangkan kejadian jenayah terutama bagi pekerja industri yang sering berulang alik pada waktu malam.
wartakedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...