Khamis, 2 Februari 2012

CUEPACS Gesa Mesyuarat Semakan SBPA Lebih Kerap

CUEPACS menggesa pasukan petugas khas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang ditubuhkan bulan lalu supaya mengadakan mesyuaratnya lebih kerap bagi mempercepatkan proses penambahbaikan skim itu.
Presidennya, Datuk Omar Osman mencadangkan pasukan petugas itu bermesyuarat sekurang-kurangnya empat kali sebulan dan bukannya sebulan sekali seperti sekarang, supaya keseluruhan semakan dapat dilakukan dalam tempoh kurang dua bulan, walaupun kerajaan menetapkan tiga bulan.

Omar berkata, beliau akan membawa cadangan itu pada mesyuarat pasukan petugas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, yang dijadualkan 8 Februari ini di Putrajaya.
“Saya yakin jika pasukan itu dapat berjumpa dan bermesyuarat lebih kerap, kebuntuan berhubung isu SBPA yang membabitkan lebih 1.2 juta kakitangan awam dapat diselesaikan segera,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan penubuhan pasukan khas semakan semula SBPA turut menetapkan tempoh tiga bulan sehingga 16 April depan untuk menyiapkan semakan mereka.

Dalam pada itu, Omar mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan kerana menerima tiga lagi pemimpin kanan kesatuan berkenaan bagi menganggotai pasukan petugas khas SBPA.

Kelmarin, Mohd Sidek berkata, pertambahan pemimpin kanan CUEPACS dalam pasukan petugas khas itu adalah lebih bagus kerana membolehkan kerajaan mendapat lebih maklum balas dan pandangan untuk penambahbaikan SBPA.

Tiga pemimpin kanan CUEPACS yang dimaksudkan Omar ialah, Timbalan Presiden I, Aziz Muda; Setiausaha Agung, Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangannya, Jaafar Mansor.

Sementara itu, Omar berkata, Jawatankuasa Bertindak SBPA yang ditubuhkan CUEPACS, termasuk untuk menerima maklum balas daripada kakitangan awam mengenai skim itu akan tetap meneruskan tugasnya sebelum menyediakan kertas kerja komprehensif untuk diserahkan kepada Perdana Menteri. 

BERITAHARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...