Pada masa itu, dia dan rakan hanya menunggu waktu untuk berbuka puasa, sementara dua lelaki yang dipercayai pelancong itu mendekati mereka secara tiba-tiba.
Mohd Noor Farid berkata, pada mulanya dia menyangka lelaki berkenaan mahu bertanya jalan atau tempat.
Namun, sangkaannya meleset kerana mereka bertanya tentang ibadah puasa.
“Kami tertarik kerana ada juga pelancong asing yang mahu bertanya tentang puasa sedangkan mereka bukan orang Islam, mereka tanya ‘kamu berpuasa ya?’ dalam Bahasa Inggeris dan kemudiannya kami mengangguk dan bercerita waktu bersahur dan berbuka.
“Soalan mereka tidak sampai di situ sahaja kerana mereka bertanya kenapa perlunya umat Islam berpuasa.
“Saya dan rakan-rakan jawab dengan penuh keyakinan dan kami saling menyampuk untuk menjawab soalan ‘mat saleh’ berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Hampir 15 minit berlalu menceritakan ibadah berpuasa umat Islam, lelaki asing terbabit menanyakan soalan yang agak mengejutkan Mohd Noor dan rakannya yang lain.
“Kenapa kamu perlu percaya kepada tuhan kamu? Mari percaya kepada agama kami,” kata lelaki berkenaan tanpa ragu-ragu.
Agak lama bercerita mengenai agamanya, lelaki berkenaan seolah-olah menyampaikan dakyahnya dalam keadaan yang amat halus dan seolah-olah memujuk.
Namun, Mohd Noor Farid dan rakannya cuba mematikan perbualan dengan alasan mahu berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib segera.
Menurutnya, ia adalah kali pertama kejadian sebegitu berlaku ketika dia berkunjung ke pusat membeli-belah.
“Bagi saya perkara ini tidak sepatutnya terjadi memandangkan kita berada dalam bulan Ramadan dan seolah-olah mereka bebas dan tidak menghormati kita yang beragama Islam.
“Tindakan perlu diambil memandangkan mereka bukan penduduk negara ini dan hanyalah pelancong, sudah begitu berani mendekati dengan cara sedemikian rupa, nasib baik saya bersama kawan-kawan, jika berseorangan bagaimana,” katanya.
Bukan itu sahaja, melalui tinjauan dalam laman sesawang Facebook, Sinar Harian menemui seorang pengguna yang juga anggota sukarelawan berkongsi gambar yang disyaki dua pelancong asing sedang menyampaikan ceramah agama kepada seorang lelaki Melayu Islam.
Gambar yang dirakam sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling itu mendapati dua lelaki bangsa asing sedang berbual dengan pengayuh beca yang sedang berehat.
Melalui laman berkenaan, pengguna Facebook Asti Toba berkata, gambar berkenaan dirakamkan semasa mereka menjalankan program mengumpul data golongan gelandangan.
Namun, tiba-tiba terdengar perbualan dua ‘pelancong’ dengan seorang pengayuh beca yang tidak berumah.
"Apa yang mengejutkan saya, dua ‘pelancong’ itu tadi memberikan ceramah agama, bukan agama Islam sedangkan pakcik berkenaan ialah orang Islam.
"Dipercayai mereka ialah ketua agama dan menyamar sebagai pelancong, malah dia juga menyogok pakcik berkenaan dengan RM50 dan berkata, 'Muhammad tidak betul," katanya.
Itu antara cerita yang dikongsi Asti dan tidak ketinggalan dia juga sempat memberi nasihat kepada penduduk Pulau Pinang supaya berhati-hati.
Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan pandangan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Datuk Salleh Man Mat Aji.
Salleh Man berkata, setakat ini dia masih tidak menerima sebarang aduan mengenai kes sedemikian.
Menurutnya, namun tidak dinafikan Jabatan Mufti Pulau Pinang ada menerima beberapa risalah penyebaran agama yang diedarkan kepada orang ramai.
“Bagi saya perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan ia berlaku semasa bulan Ramadan bulan yang amat suci buat umat Islam.
“Bila ada perkara sebegini sememangnya menggusarkan kita dan sekiranya terdapat aduan dari orang ramai boleh segera ke Jabatan Mufti kerana di sana ada bahagian yang akan menguruskan aduan sebegini,” katanya.
Beliau juga menegaskan terdapat enakmen yang diperuntukkan sekiranya mendapati sememangnya ada pihak yang cuba memesongkan akidah umat Islam secara terang-terangan.
“Kita memang boleh ambil tindakan namun wajah individu berkenaan perlu dikenal pasti supaya dapat membuat pencegahan, dan saya ingin nasihatkan kepada umat Islam di negeri ini supaya ambil langkah berjaga-jaga.
“Tambahan lagi sekarang bulan Ramadan, pelbagai ujian yang datang dan kita perlu hadapi dengan baik dan tidak terpesong,” katanya.
MIMPISENJA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan