Sabtu, 8 September 2012

Kisah Seram – Usikan Bibir Kebaya

Ingin membaca kisah seram lagi? Satu lagi kisah seram yang ingin dikongsikan kepada anda yang bertajuk Usikan Bibir Kebaya. Jom layan cerita di bawah ini.

Sejak dari pagi lagi, anak-beranak Haji Solehin sibuk menyiapkan hidangan untuk majlis tahlil arwah yang akan diadakan selepas Maghrib nanti. Masing-masing telah diberikan tugas khas yang perlu diselesaikan sebelum menjelang senja. Semua kesepuluh anak Haji Solehin telah berkampung di rumah pusaka arwah sejak dua hari lepas. Masa itulah mereka membersihkan rumah yang telah ditinggalkan semenjak kematian Haji Solehin dan mula mengumpul kayu api di bawah bangsal untuk memasak.








Di Kampung Sungai Sengkela, kalau anak-beranak Haji Solehin pulang serentak, barulah suasana kampung bertukar wajah. Bayangkanlah keriuhan sepuluh orang anak dengan bilangan cucu mencecah 40 orang dan beberapa orang cicit. Rumahnya riuh-rendah dengan suara kanak-kanak bersorak riang bermain bola, suara si ibu memarahi anak dara yang lambat mandi dan suara si bapa yang sibuk mengarah tapi mata asyik melekat pada kaca televisyen.

Ketika memasak sambal sotong di bangsal tepi pokok jambu, anak ketiga Haji Solehin, Kamariah, mula bercerita kisah zaman kecilnya sambil tangan sibuk mengacau kuah sambal. Turut membantunya di bangsal ialah seorang anak daranya dan tiga orang anak saudara yang baru tiba dari Temerloh, Pahang.

“Kamu semua nampak tak pokok kundang yang lebat berbuah di tepi parit tu?,”soal Kamariah sambil mengalih-alihkan kayu api.

“Dulu, masa arwah tok kamu masih ada… dia pernah bercerita tentang perempuan cantik yang sering ditemui di situ. Yang peliknya, hanya lelaki sahaja yang pernah melihat perempuan cantik tu. Arwah Wan kamu sendiri tak pernah berjumpa dengannya,” kata Kamariah.

“Siapa perempuan cantik tu, Mak Lang? Dia orang kampung ni juga ke?” tanya Shidah.

“Menurut arwah tok kamu, orang kampung percaya perempuan cantik yang mereka temui itu ialah arwah Mak Ngah Bibah yang meninggal dunia akibat menggantung diri. Dulu, arwahlah yang menanam pokok kundang di tepi parit tu. Selepas isterinya meninggal, suaminya terus meninggalkan kampung ini dan menjualkan tanah tapak rumahnya kepada orang lain. Mereka bukan penduduk asal Kampung Sungai Sengkela tapi merantau ke sini dari Pattani.

“Arwah Mak Ngah Bibah pernah menjadi Ratu Kebaya sebelum berkahwin kali kedua dengan Pak Bidin. Faham-fahamlah bila dah dapat gelaran ‘ratu’, orangnya mestilah cantik molek. Kiranya, dia memang jadi sebutan di kampung ni. Pada mulanya, Pak Bidin kembang kempis bila orang memuji isterinya. Tapi lama kelamaan dia mula panas hati. Bila dah kenal erti cemburu, badan Mak Ngah Bibah menjadi mangsa Pak Bidin melepaskan amarahnya.

“Semua orang kampung tahu Pak Bidin mendera isterinya. Bukan seorang dua yang pernah menasihatinya malah dah berbuih mulut orang kampung cuba mendamaikan mereka. Menasihatkan Pak Bidin samalah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Di depan orang kampung, dia berjanji akan berubah sikap. Di depan Mak Ngah Bibah, dia kembali menjadi ‘singa’ lapar.

“Kemuncak pergaduhan mereka terjadi apabila Pak Bidin menuduh isterinya membuat hubungan dengan anak Pak Din Tukang. Anak Pak Din tu baru je lepas universiti. Sementara menunggu peluang kerja, dia menolong ayahnya bertukang menyiapkan rumah orang kampung.

“Ketika membesarkan dapur rumah Pak Bidinlah, Mak Ngah dituduh main mata dengan budak bujang tu. Puaslah Mak Ngah menafikan tuduhan liar suaminya tapi Pak Bidin sedikit pun tak ambil peduli. Hari tu, berbiratlah badan Mak Ngah dirotan oleh Pak Bidin. Dia memukul isterinya macam budak kecil.

“Puas melihat Mak Ngah kesakitan kena rotan, Pak Bidin terus menambah kesakitan dengan sepak terajang pula. Meraung panjang Mak Ngah hari tu. Orang sekeliling yang mendengar terus memanggil polis. Bila dah jadi kes polis, kisah Mak Ngah merebak hingga ke hujung kampung. Barulah Pak Bidin menyesal dan rasa malu yang teramat sangat. Tapi nasi dah jadi bubur. Mak Ngah dah tawar hati dengan perangai suaminya.

“Kekecewaan Mak Ngah semakin bertambah semenjak dua bulan selepas itu apabila ada perempuan Siam datang ke rumahnya dan mengadu sebagai perempuan simpanan Pak Bidin. Dia tunjukkan gambar-gambar Pak Bidin yang ada dalam simpanannya. Hancur-luluh hati Mak Ngah Bibah melihat kelakuan tak senonoh suaminya itu.

“Selang seminggu selepas itu, semasa Pak Bidin tiada di kampung, mayat Mak Ngah Bibah dijumpai tergantung di dalam bilik tidurnya. Gemparlah seluruh kampung mendengar kisah Mak Ngah Bibah membunuh diri.

“Selepas jenazahnya selamat dikebumikan, barulah Pak Bidin balik ke kampung semula. Tapi dia tak sanggup lagi tinggal di rumah tu. Katanya hantu Mak Ngah selalu mengganggunya,” jelas Kamariah dengan panjang lebar.

“Masa bila pulak orang kampung terserempak dengan hantu Mak Ngah tu?” soal Shidah lagi. Bersungguh-sungguh dia hendak tahu cerita Mak Ngahnya itu.

“Arwah tok kamu pernah terserempak dengan perempuan cantik memakai kebaya ketika hari senja. Waktu tu, dia sedang menghalau lembu ke dalam kandang. Kebetulan pula, kandang lembu tu didirikan berdepan dengan pokok kundang. Perempuan cantik tu berjalan laju melintas di depannya dan terus berlalu ke arah kebun Haji Busu. Segala-galanya berlaku dengan pantas. Sekali toleh sahaja bayangan perempuan cantik itu sudah menghilang.

“Selain daripada arwah tok, Haji Busu pun pernah terserempak dengan perempuan berkebaya sewaktu balik daripada majlis tahlil di rumah Pak Uteh. Menurut ceritanya, Haji Busu mendengar suara perempuan menangis di bawah pokok kundang. Dari jauh, Haji Busu nampak perempuan berkebaya seolah-olah melambai-lambai ke arahnya. Bila didekati, ia semakin menjauh dan terus hilang. Bila hantu berbaju kebaya menjadi bualan penduduk kampung ini, nama arwah Mak Ngah Bibah terus dikaitkan dengannya. Sama ada betul atau tidak, itulah hantu Mak Ngah Bibah, tiada siapa yang tahu,” ujar Kamariah.

Selepas bercerita panjang lebar, Kamariah terus mengusik anak-anak saudaranya dengan cerita hantu yang pernah didengarinya sebelum ini. Masing-masing melopong mendengar cerita seram Kamariah.

Majlis tahlil di rumah arwah Haji Solehin berjalan lancar pada malam itu. Semua lauk-Pauk yang dihidangkan kepada hadirin yang datang, habis dijamah. Selesai membasuh pinggan, tibalah giliran Kamariah dan suaminya untuk menghantar Pak Uteh balik ke kampung seberang. Pak Uteh yang menjangkau usia 80 tahun, terlalu uzur untuk balik sendirian.

Dalam kereta, Kamariah sibuk mengungkit kisah arwah Mak Ngah Bibah. Pak Uteh pun galak menyambung ceritanya, semakin menambahkan kerancakan mengenainya. Sebaik sahaja menghantar Pak Uteh, suami Kamariah bercadang untuk mengikut jalan pintas untuk ke balik ke rumah.

Kisah Mak Ngah Bibah masih menjadi topik pilihan perbualan mereka. Tatkala melintas di kawasan kubur lama, Kamariah dan suaminya ternampak seorang perempuan cantik melintas betul-betul di hadapan keretanya. Nasib baik dia tidak dilanggar oleh suaminya. Yang membuatkan mereka melopong ialah perempuan cantik itu memakai
kebaya. Anehnya, wanita cantik itu tidak berkaki! Masing-masing terdiam dan hanya terpaku melihat bayangan wanita cantik berkebaya itu semakin menjauh dan terus menghilang.

Semenjak peristiwa tersebut, Kamariah terus tidak berani lagi menyebut nama Mak Ngah Bibah. Barangkali dia sendiri tidak menyangka akan bertemu dengan wanita berbaju kebaya itu.

penpatah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...