Selasa, 11 Disember 2012

Tuhan pelihara Rakyat Gaza-Afdlin Shauki

“Kanak-kanak di Gaza seolah-olah tidak terkesan dengan bom yang dijatuhkan setiap empat minit, tidur malam pun nyenyak, mereka seperti dijaga dan Allah memberi mereka perlindungan sehingga tidak terkesan dengan kejadian menimpa negara mereka,” kata artis serba boleh, Afdlin Shauki menceritakan pengalamannya di Gaza.




Menurutnya, banyak perkara menakjubkan ditemui dan dipelajarinya ketika mengikuti misi kemanusiaan Aqsa2Gaza 11 di sana, termasuk kekentalan dan kekuatan mental rakyat Gaza yang masih mampu bercerita mengenai keluarga masing-masing walaupun sesetengahnya mati syahid.
 
“Sewaktu kami ke rumah orang syahid, kami dapat lihat betapa kuatnya mereka ketika bercakap mengenai keluarga yang dibunuh dan meninggal syahid, mereka bercerita bukan untuk meminta simpati, tetapi menceritakan fakta sebenar apa berlaku kepada keluarga mereka.
 
“Kami yang mendengarnya bergenang air mata. Kami akui mereka di sana amat kuat, mereka bersatu hati untuk terus tinggal di Palestin dan membangunkan Gaza sehingga seluruh rakyatnya bebas dari cengkaman Zionis,” katanya ketika ditemui sebaik tiba bersama sukarelawan lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam. Hadir menyambut kepulangan mereka Pengerusi Pemegang Amanah Aqsa Syarif, Prof Dr Hafidzi Mohd Noor.
 
Misi kemanusiaan kendalian Aqsa Syarif selama seminggu sejak 3 Disember lalu diketuai Norazmi Talib dengan disertai 17 sukarelawan termasuk pelakon, Zain Saidin dan Bront Palarae.
 
Dalam misi itu, Aqsa Syarif turut menyumbangkan dana hasil kutipan tabung yang dilancarkan badan berkenaan serta membekalkan pelbagai keperluan termasuk makanan, pakaian dan selimut kepada penduduk Gaza.
 
Afdlin berkata, dia mengakui agak cuak sebelum berlepas ke Gaza sebelum ini, namun perasaannya bertukar sebaik menjejakkan kaki di bumi berkenaan.
“Saya berasa seolah-olah berada di satu kawasan yang paling selamat dan amat tenang serta sukar digambarkan,” katanya.
 
Malah, katanya, ketika perasaannya berat untuk pulang ke tanah air selepas beberapa hari berada di Gaza, seperti beratnya perasaan meninggalkan isteri dan anak sebelum ke sana.
 
“Penduduk di Gaza amat peramah dan tidak pernah jumpa seperti mereka. Jika berpeluang saya ingin kembali ke Gaza lagi ,” katanya yang dilantik sebagai duta kehormat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Gaza.
di-sini-bermula.blogspot

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...