Jumaat, 4 November 2011

Benih Hibrid Siraj mampu tambah 20 peratus hasil padi

Oleh WADIASSOFI JAAFAR

http://wartakedah.net/images/stories/November2011/amir.jpgALOR SETAR – Penggunaan benih padi terbaru iaitu ‘Hibrid Siraj’ asalnya bermula di Rompin, Pahang dan kini mula dikomersialkan di negara ini terutama di negeri Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah berkata, perkara berkaitan dengan penanaman padi terletak di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Mengenai variasi benih padi yang ditanam oleh petani, ia disediakan oleh kerajaan dan sekiranya terdapat petani yang ingin menggunakan varieti benih padi jenis Hibrid Siraj, mereka boleh membeli benih padi berkenaan,” ujarnya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri tetap menyokong sebarang jenis varieti benih padi yang bermutu tinggi tetapi benih padi jenis Hibrid Siraj adalah jenis yang mudah rebah tetapi buahnya amat banyak.

“Kita berharap petani-petani dapat memilih satu jenis varieti benih padi yang terbaik dan tahan rebah dan perkara itu perlu diambil kira oleh setiap petani,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Encik Ismail Salleh menjelaskan, penggunaan benih padi jenis Hibrid Siraj terbukti berkesan dan dikomersialkan di negeri Perlis.

Tambahnya, benih padi jenis Hibrid Siraj berasal dari Negara China dan sesuai ditanam di negara ini di mana hasil padi yang diperolehi  dari jenis ini ialah sebanyak 14 hingga 15 tan.

“Sekiranya petani ingin menggunakan benih padi jenis ini, mereka perlu mengasingkan padi ini di kawasan yang terasing (tiga meter dengan petak yang lain) bagi tujuan mengelakkan berlakunya kacukan dengan jenis padi yang lain yang dibawa oleh angin,” katanya.

Ismail memberitahu, benih padi jenis Hibrid Siraj sudah digunakan sejak 10 tahun lalu di Negara China dan mana-mana petani yang ingin menggunakan benih padi jenis berkenaan, mereka boleh membeli sendiri kerana benih padi jenis itu tidak dijual di MADA tetapi dijual di Syarikat RB Biotech Sdn Bhd di Tambun Tulang, Perlis.

“Padi jenis ini juga perlu diasingkan dari segi proses di kilang dan benih padi jenis ini juga lebih mahal sedikit daripada jenis padi biasa dan kualiti benih padi Hibrid Siraj ini adalah lain daripada padi biasa,” jelasnya.

Padi Hibrid Siraj mula dikomersialkan di Negeri Perlis dan padi berkenaan dihasilkan melalui kerjasama antara MOSTI, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Yayasan Tunku Syed Sirajuddin (YTSS) dan Syarikat RB Biotech Sdn Bhd.

Padi Hibrid Siraj mampu mengeluarkan hasil lebih tinggi 20 peratus berbanding padi biasa, malah prestasi hasil padi berkenaan di Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Selangor mencapai lebih 25 hingga 60 peratus lebih tinggi berbanding variety padi biasa.

Walaupun harga benih padi jenis ini lebih mahal, namun petani hanya perlu menggunakan antara 25 hingga 30 kilogram benih ini bagi keluasan satu hektar berbanding 250 hingga 300 kilogram benih padi biasa untuk keluasan yang sama.

Program padi Hibrid Siraj mendapat peruntukan sebanyak RM23 juta daripada MOSTI di bawah Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9).


Melalui kerjasama tersebut, padi Hibrid Siraj telah berjaya dihasilkan pada tahun 2005 daripada kacukan padi luar negara jenis ‘Indica’ dan ‘Japonica’.

Benih padi Hibrid Siraj telah dilancarkan oleh MARDI dan ia mampu meningkatkan hasil petani daripada 20 hingga 30 peratus dari kebiasaan.

Satu tangkai padi Hibrid Siraj mampu menghasilkan sehingga 300 hingga 400 biji dan 90 peratus Bernas di mana benih padi jenis Hibrid Siraj sangat-sangat terhad dan menggunakan teknologi terkini dan pakar luar negara serta menjimatkan benih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...