Khamis, 24 November 2011

Pakej lengkap perkahwinan jadi bebanan pasangan mahu berkahwin

ALOR SETAR  – Wang hantaran yang tinggi serta pakej kelengkapan perkahwinan menjadi salah satu bebanan kepada pihak lelaki apabila ingin melangkah ke gerbang perkahwinan. Budaya yang agak bercanggah dengan konsep kesederhaan dalam Islam ini, ada kalanya menjadi kekangan khususnya kepada pihak lelaki yang ingin menamatkan zaman bujangnya.

“Justeru itu, Program Mahligai Sejahtera ini kita adakan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana untuk meringankan bebanan terutama kepada pengantin lelaki,” ucap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita , Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali.

Tambahnya lagi, Program Mahligai Sejahtera yang diadakan pada tahun 2008 berjaya menarik perhatian  lapan belas pasangan, sementara itu pada tahun 2011 bilangan penyertaan meningkat sehingga 50 pasangan yang meliputi seluruh daerah di dalam Negeri Kedah.

“Perkahwinan merupakan satu tuntutan agama untuk mengisi kehendak kejadian manusia dan ianya juga merupakan  satu ibadah terhadap Allah SWT.

“Suami tunggak utama dalam rumahtangga, sementara isteri menjadi pembantu kepada suami untuk melahirkan sebuah keluarga mithali yang dihiasi dengan anak-anak yang soleh dan solehah,” sambung beliau lagi.

Oleh itu, tambahnya, pendidikan merupakan tema penting dalam perkahwinan. Kecemerlangan anak-anak menjadi tunjang kepada bermulanya pendidikan yang diperolehi dari ibu bapa. Anak-anak merupakan aset kepimpinan di masa hadapan dan suami isteri wajib memastikan hal ehwal keluarga dan anak-anak bermula dari pendidikan yang sempurna.

“Contohilah perkahwinan Rasululllah SAW, kerana di situ letaknya contoh terbaik yang perlu kita ikuti,” katanya sempena Program Mahligai Sejahtera 2011 anjuran kerajaan negeri.

Beliau juga mengingatkan kepada peserta program bahawa perkahwinan bukanlah ‘testing round’ tetapi ianya merupakan satu realiti yang perlu ditempohi dengan keadilan, kesabaran dan kejituan iman.

Program Mahligai Sejahtera 2011 diadakan di Dewan Seri Mentaloon dan dirasmikan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Kira-kira 2000 hadirin termasuk tetamu-tetamu dan waris-waris pengantin hadir di majlis tersebut. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...