Khamis, 24 November 2011

Kedah Bio Corp bekalkan benih pisang berangan

ALOR SETAR  –  Anak syarikat Kerajaan Negeri, Kedah Bio Corporation membekalkan anak benih pisang berangan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kedah sebanyak 180,000 sepanjang tahun 2011 berbanding 200,000 pada tahun 2010.

Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan Menteri Besar, Haji Abdul Rahman Daei berkata, di negeri Kedah tanaman pisang berangan merupakan komuditi pertanian yang paling popular.

“Dalam hal ini, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) boleh bekerjasama dengan Perbadanan Menteri Besar Kedah untuk memajukan sektor pertanian secara bersama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat sempena lawatan rombongan dari PMBK ke negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga turut mempunyai dua ladang nenas iaitu di Laka Temin seluas 50 ekar jenis Moris dan di Bukit Tangga seluas 200 ekar.

“Kita juga turut menjalankan projek penanaman jagung manis di Bukit Tangga dan kita juga turut membangunkan ladang buah-buahan tropika seluas 700 ekar,” katanya.

Abdul Rahman memberitahu, betik juga turut ditanam dan ia mampu menjadi salah satu komuditi pertanian yang boleh dieksport ke luar negara.

“Kelapa pandan juga turut ditanam di negeri ini termasuk jambu batu dan kita juga turut menjalankan pembangunan ladang pertanian untuk usahawan di Bukit Berangin, Kubang Pasu dalam usaha mewujudkan usahawan pertanian,” jelasnya.

Tambahnya, projek ladang rakyat juga turut diwujudkan di Gunung Inas dan Bukit Kachi serta projek sawit kampung yang melibatkan tanah-tanah terbiar dan bermasalah juga turut dibangunkan.

“Kita juga mempunyai Pusat Pengumpulan Produk Pertanian Lembah Jerai (4PLJ) dan Pusat Pengetinan Buah-Buahan di Sungai Petani,” ujarnya.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar, Dato’ Haji Bakar Din dan Pengarah Urusan Kumpulan Permodalan Kedah Berhad (PKB), Tuan Haji Harun Haji Khalib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...