Khamis, 24 November 2011

Tiada kuil akan dibina di situ, bantahan tidak berasas

ALOR SETAR -  Kerajaan Negeri menyangkal dakwaan segelintir pihak yang beranggapan satu kuil baru bakal dibina di kawasan tanah lapang berdekatan penempatan masyarakat Melayu di Sungai Petani.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, YB. S. Manikumar berkata, ada pihak yang mempunyai kepentingan tertentu cuba bertindak campur tangan dengan mencetuskan pelbagai kekeliruan mengenai tapak pembinaan kuil itu.

Menurutnya, sehingga kini belum ada sebarang permohonan dibuat secara rasmi di peringkat jabatan untuk memberi kelulusan terhadap pelan pembangunan rumah ibadat di kawasan berkenaan.

“Sebenarnya pada tahun 1994, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) mengambil alih tanah ladang di kawasan berkenaan setelah dilelong oleh bank. PKNK turut memperuntukkan sebahagian kecil tanah seluas 4.047 hektar bagi dijadikan penempatan bagi masyarakat India yang tinggal di situ,” katanya.

Beliau memberitahu, usaha itu dibuat bagi membela kebajikan masyarakat India disebabkan proses pengambilalihan tanah berkenaan dan satu agensi swasta dipertanggungjawab membina 68 unit rumah di atas tanah itu.

Manikumar berkata, satu pelan perancangan pembangunan turut diluluskan dan ketika dibentangkan dalam mesyuarat,  tapak untuk rumah ibadat turut disediakan di satu kawasan lain dalam lingkungan tanah 4.047 hektar itu.

“Kekeliruan mula timbul apabila pihak berkenaan tidak menggunakan tapak asal yang diperuntukkan untuk membina kuil kerana beranggapan saiz tapak kecil serta tidak sesuai, lalu bertindak mengubah lokasi tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Tambahnya, kuil lama masih berada dalam kawasan ladang, namun jalan masuk ke sana sudah ditutup. Kerajaan Negeri memandang serius perkara itu dan mengambil berat mengenai kepentingan semua lapisan masyarakat di kawasan terlibat.

Beliau menjelaskan, satu mesyuarat di peringkat Pejabat Daerah turut diadakan pada 20 November 2011 dengan dihadiri Pegawai Daerah, wakil Majlis, wakil Pentadbiran Tanah Daerah, pengerusi kuil, wakil Malaysia Hindu Sangam, Ahli Parlimen Sungai Petani, YB. Dato’ Johari Abdul; wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, penghulu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit bagi membincangkan perkara itu.

“Kita juga sudah membuat rundingan dengan jawatankuasa kuil lama untuk memberhentikan dahulu semua aktiviti mengubah kuil ke kawasan berkenaan  sehingga satu jalan penyelesaian terbaik dicapai,” jelasnya.
Manikumar berkata, adalah lebih baik sekiranya pembinaan kuil baru kelak diletakkan di kawasan penempatan baru masyarakat India apabila pembinaan 68 unit rumah baru disiapkan dalam tempoh masa yang terdekat bagi memudahkan penduduk melakukan acara agama.

Menurutnya, walaupun kedudukan tanah bersebelahan, namun lokasi antara projek perumahan baru dengan tanah lapang yang menjadi bantahan penduduk agak berjauhan. Ia terletak di penghujung kawasan tanah yang diperuntukkan.

“Saya sendiri tidak menyokong sekiranya kuil didirikan di kawasan tanah lapang yang dimaksudkan sebelum ini kerana berdekatan dengan kawasan perumahan majoriti didiami masyarakat Melayu,” katanya.
Mengenai dakwaan seorang menteri akan hadir untuk melaksanakan upacara pecah tanah pada 27 November 2011 juga, ujarnya, sebenarnya tidak betul dan penduduk diminta bertenang serta tidak perlu bimbang.

Beliau berharap tiada pihak cuba menimbulkan sebarang provokasi mengenai isu berkenaan, sebaliknya menggunakan saluran dengan berunding untuk mencari kata putus tanpa menjejaskan kepentingan mana-mana pihak.

“Tanah di kawasan lapang berkenaan adalah tanah rizab kerajaan dan tidak ada sebarang projek pembangunan dirancang di atas tanah itu dalam tempoh masa terdekat,” jelasnya.

Empat hari lalu, kira-kira 500 penduduk dari Bandar Puteri Jaya, Bandar Utama, Bandar Sri Astana dan Bandar Perda membuat perhimpunan membantah pembinaan kuil yang didakwa di sebuah kawasan lapang yang menghubungkan kesemua bandar berkenaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...