Khamis, 24 November 2011

Semua ADUN dapat peruntukan untuk perayaan

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam sebarang aktiviti perayaan agama dan kebudayaan apabila memberikan peruntukan perayaan tanpa mengira fahaman politik kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Kesenian & Warisan, Kebudayaan, YB Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah berkata, melalui kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan No. F 207/93 setiap ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri tanpa mengira parti yang di wakili diberikan peruntukan sebanyak RM5000 dan Ahli Dewan Negeri sebanyak RM3000 setahun bagi maksud perayaan.

Beliau menjelaskan dalam jawapan bertulis bagi menjawab persoalan daripada YB Encik Mohamad Radzhi Salleh (Lunas – Bebas), mengenai perayaan agama dan kebudayaan yang dijalankan mengikut pengasingan politik, semasa Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah yang ke -12.

“Pihak kerajaan negeri tidak tidak sama sekali menyambut perayaan kebudayaan secara pengasingan politik.

“Setiap perayaan yang dianjur untuk semua lapisan masyarakat,  semua orang akan dijemput  tidak mengira warna kulit, adat budaya, dan fahaman politik. Pihak kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau peraturan untuk menjemput pihak-pihak tertentu sahaja bagi menghadiri satu-satu perayaan dan majlis negeri,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sehingga kini masih belum ada cadangan untuk memberikan peruntukan tambahan kepada setiap wakil rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...