Khamis, 24 November 2011

SAGA untuk penyata kewangan lebih cepat, tepat dan kemas kini

ALOR SETAR – Kerajaan telah memutuskan satu pakej perakaunan yang terdapat di pasaran diubah suai menjadi pakej perakaunan standard bagi kegunaan Badan Berkanun Persekutuan pada tahun 1996.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Akauntan Negara, Puan Hajar Mohd Noor berkata, kerjasama antara Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Jabatan Audit Negara dan pakar runding yang dilantik oleh Kerajaan telah menghasilkan satu pakej perakaunan berkomputer yang dinamakan ‘Pelaksanaan Sistem Perakaunan Standard Bagi Agensi Kerajaan (SAGA).

“Pakej ini membolehkan agensi Kerajaan menyediakan penyata kewangan dengan lebih cepat, tepat dan kemas kini. Memandangkan pada masa kini, terdapat pakej perakaunan berkomputer di pasaran dan pakej yang dibangunkan sendiri oleh agensi, penggunaan satu pakej perakaunan yang standard tidak lagi bersesuaian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Taklimat ‘Awareness’ Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bil. 1/2011 di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, sehubungan itu, Kerajaan telah bersetuju supaya sistem yang menepati kriteria perakaunan yang ditetapkan diguna pakai oleh agensi Kerajaan.

“SAGA adalah konsep sistem perakaunan berkomputer yang dibangunkan atau pakej perakaunan di pasaran yang diubah suai mengikut kriteria yang ditetapkan oleh Kerajaan dan memenuhi semua keperluan Prinsip Perakaunan Diterima Umum yang ditetapkan bagi laporan kewangan serta mendapat Sijil Pematuhan SAGA daripada JANM,” katanya.

Puan Hajar memberitahu, agensi Kerajaan adalah merujuk kepada Badan Berkanun Persekutuan, Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Agama Islam yang selepas ini dikenali sebagai agensi.


Tambahnya, struktur tadbir urus pelaksanaan SAGA terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Pemantau, Jawatankuasa Pelaksana dan Pasukan Petugas SAGA. Agensi yang menyelenggara akaun secara manual perlu beralih kepada sistem perakaunan berkomputer yang mematuhi kriteria SAGA.

“SAGA hendaklah dilaksanakan pada sistem perakaunan berkomputer di semua agensi Kerajaan mengikut tatacara dan Ketua Agensi dikehendaki untuk memastikan sistem perakaunan SAGA dilaksanakan dengan jayanya di agensi masing-masing,” katanya.

Beliau menjelaskan, agensi Kerajaan hendaklah mendapatkan kelulusan reka bentuk sistem daripada Jawatankuasa Pemandu SAGA di JANM sebelum mengemukakan permohonan untuk kelulusan teknikal Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) di Kementerian atau Jawatankuasa Teknikal ICT (JTICT) di MAMPU. Seterusnya, mendapatkan kelulusan bagi perolehan SAGA daripada Lembaga Perolehan Khas SAGA (LPKS) di JANM.

“Agensi Kerajaan yang mempunyai sistem perakaunan sedia ada atau yang telah selesai membangunkan sistem perakaunan baru hendaklah mendapatkan Sijil Pematuhan SAGA daripada JANM,” ujarnya.

Menurutnya, agensi Kerajaan hendaklah mengemukakan Laporan Penilaian Semula Pelaksanaan kepada Jawatankuasa Pelaksana Agensi tidak lewat dari tiga bulan selepas tamat Ujian Penerimaan Akhir.

“Jawatankuasa Pemantau Kementerian hendaklah melakukan penilaian semula pelaksanaan SAGA tidak lewat dari enam bulan sebelum tamat tempoh jaminan,” jelasnya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Akauntan Negara, Puan Rihatun Abdah Meor Zainal Abidin; Akauntan di Jabatan Akauntan Negara, Cik Siti  Maisarah Abu Bakar; Pembantu Tadbir Bahagian Sumber Manusia di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK), Mohamad Baharin Mohd Ali dan Pembantu Tadbir Bahagian Khidmat Pengurusan di Pejabat SUK, Nor Hafizah Hamzah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...