Isnin, 21 November 2011

SUAMI ISTERI JUMPA AKAR POKOK GANJIL MENYERUPAI JANTUNG MANUSIA

                                             Suami isteri pakat tolak RM10,000
KOTA TINGGI – Siapa sangka hobi sepasang suami isteri di sini, yang gemar masuk hutan mencari akar kayu telah menemukan mereka dengan akar pokok ganjil menyerupai jantung manusia.

Pasangan berkenaan, Madon Ismail, 65, dan Fatimah Ibrahim, 55, yang tinggal di Kampung Tembioh pernah menolak tawaran sebanyak RM10,000 daripada rakan yang berminat mahu memiliki akar ganjil itu.
Madon berkata, keunikan akar ganjil itu membuatkannya mudah menolak tawaran daripada mereka yang mahu membelinya.

“Pertama kali apabila saya terjumpa akar ini iaitu pada tahun lepas, saya bersama isteri sedang mencari akar kayu di sebuah hutan berhampiran Bukit Aping,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, ketika sedang mendaki bukit, dia berasa aneh apabila ternampak akar pada sebatang pokok yang mempunyai bonggol besar di bahagian hujungnya.

“Didorong perasaan ingin tahu dan merasakan ia sesuatu yang ganjil, saya mengambil keputusan mengorek tanah berkenaan. Ternyata, usaha yang dilakukan tidak sia-sia apabila mendapati akar itu seakan jantung manusia.

“Dengan pertolongan anak-anak, kami berjaya membawanya pulang ke rumah. Namun, ia terpaksa mengambil masa selama dua hari ekoran akar berkenaan yang terlalu berat,” katanya.
Sementara itu, Fatimah berkata, ekoran penemuan ganjil itu ramai saudara mara dan rakan yang datang ke rumah mereka untuk melihat sendiri akar itu.

“Ia adalah keajaiban ciptaan ALLAH , malah kami juga tidak menyangka akan menjumpai akar seaneh ini. Setelah dibersihkan dan divarnis, akar berkenaan kini dijadikan hiasan di rumah dan sehingga kini ada sahaja kunjungan daripada rakan dan saudara yang ingin melihat sendiri akar itu,” katanya.

Menurutnya, kerana merasakan ia sesuatu yang unik dan sukar dijumpai terutama pada zaman ini, mereka lebih suka menjadikan ia sebagai koleksi perhiasan di rumah berbanding dijual.

“Kami berat hati untuk menjualnya malah telah banyak kali menolak tawaran daripada pelbagai pihak yang ingin membeli akar ganjil ini walaupun ditawarkan dengan harga yang lumayan,” katanya
mummynemo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...