SAYA dan
arwah kakak, Laliuma selalu berbual mengenai bintang dan alam. Kami
bercakap mengenai bagaimana kapal terbang boleh terbang dan perasaan
seorang juruterbang.
Selepas
pulang dari sekolah, kami sering ke muara untuk melihat helikopter.
Suatu hari, selepas pulang dari sekolah, saya dan kakak memberitahu ayah
dan ibu tentang hasrat kami untuk menjadi juruterbang profesional.
Ibu
terkejut kerana belum ada wanita di negara ini yang menjadi
juruterbang. Selepas berjaya meyakinkan mereka akhirnya mereka mengalah
dan ayahlah banyak membantu merealisasikan cita-cita kami,” kata
juruterbang wanita pertama Afghanistan, Latifa Nabizada.
Penglibatan
awal wanita ini dalam dunia ketenteraan dilalui penuh liku apabila
permohonan untuk memasuki Sekolah Tentera Afghanistan ditolak beberapa
kali atas faktor kesihatan. Pada 1989, mereka menerima khabar gembira
apabila permohonan diterima selepas disahkan sihat oleh doktor awam.
“Ketika
itu tiada pakaian seragam wanita jadi kami terpaksa membuat sendiri
seragam yang dirasakan sesuai dan menutup aurat,” katanya.
Pada hari pertama persekolahan, mereka dibaling batu kerana melanggar norma kehidupan sebagai wanita Afganistan.
“Pernah
suatu hari kami terpaksa disuruh keluar dari bilik darjah kerana
berlaku protes kalangan pelajar lelaki hingga mencetuskan pergaduhan,”
katanya sambil tersenyum.
Berkat usaha gigih dua wanita ini, mereka akhirnya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan akhir.
Penerbangan pertama
Penerbangan
pertama merupakan pengalaman tidak dapat dilupakannya. Penerbangan solo
di bandar utara Mazar-e-Sharip itu perlu diduduki bagi melengkapkan
kertas peperiksaan akhir.
“Saya
terbang! saya terbang! Hati saya melonjak kerana ini adalah saat paling
dinanti selepas berusaha keras untuk bergelar juruterbang.
"Pelatih
saya sentiasa berpesan untuk menumpukan fokus dalam penerbangan kerana
kemunculan kami paling dinantikan oleh pelatih lain dan pegawai di
pangkalan itu,” katanya.
Selepas
sah menjadi juruterbang, Latifa dan Laliuma menerima layanan berbeza
daripada juruterbang lelaki. Mereka hanya diarahkan melakukan
penerbangan di zon terbang selamat kerana ketika itu tentera rejim
diancam konflik dan pemberontakan.
Pada
1996, Latifa dan kakaknya terpaksa berpisah apabila beliau ditempatkan
di Pangkalan Tentera Udara Kabul dan kakaknya kekal di Pangkalan Tentera
Udara Mazar-e Sharif.
“Sepanjang
malam saya tidak melelapkan mata. Sejak mula kami melangkah sebagai
juruterbang, kami telah berjanji tidak akan berpisah,” katanya.
Mengimbau
saat itu, Latifa berkata, sepanjang berada di Pangkalan Udara Mazae-e
Sharif, Komander pangkalan, General Dostum banyak memerikan semangat
kepada mereka.
“Beliau
berkata, kami perlu keluar dari zon selesa. Kami perlu melihat dunia
luar sekali gus menyokong perjuangan wanita yang selama ini dikongkong
Taliban,” katanya.
Latifa berkata, beliau sampai di Kabul pada waktu malam dan tidak sabar memulakan tugasan baru pada keesokan harinya.
“Alangkah
indah pemandangan Kabul dari udara. Saya kagum dengan kebesaran ALLAH.
Namun jauh di sudut hati, saya rindukan kakak,” katanya.
Keluarga
Latifa
dan Laliuma bertemu jodoh pada 2006. Laliuma dipindahkan ke Pangkalan
Tentera Udara Kabul. Seminggu selepas berkahwin, mereka disahkan
menggandung.
Namun berita gembira itu disembunyikan daripada pengetahuan ketua pangkalan kerana mereka masih mahu melakukan penerbangan.
“Kakak
mengalami komplikasi ketika hamil, bayi dilahirkan tidak cukup bulan.
Beliau diberi pilihan sama ada sama ada bayinya diselamatkan atau nyawa
ibu terpaksa dikorbankan.
"Kakak akhirnya memilih untuk berkorban nyawa demi menyelamatkan bayinya,” katanya.
Keesokan harinya, Laliuma meninggal dunia. Selepas kematian kakaknya, Latifa menjaga bayi itu yang diberi nama Mariam.
Bayi
comel itu dikendong bersama anaknya di dalam kandungan ke mana sahaja
dia pergi. Baginya, Mariam adalah sebahagian daripada hidupnya yang
menggantikan pemergian kakaknya.
Sepanjang misi di Afghanistan, pelbagai cabaran dilalui termasuk bertempur dengan musuh.
“Ramai pegawai memberitahu, saya merupakan wanita cekal dan berani sungguhpun sedang berbadan dua,” katanya.
Cabaran
sukar dilalui Latifah adalah membesarkan Mariam yang masih bayi. Latifa
terpaksa menyusukan Mariam dan pada masa sama beliau sarat mengandung.
Selepas
melahirkan bayi sulung bernama Malalai. Latifa sekali lagi menghadapi
kesukaran untuk menjaga kedua-dua anak itu. Ketika itu, perkhidmatan
penjagaan kanak-kanak belum ada di negara berkenaan.
Mariam terpaksa diserahkan kepada keluarganya di kampung manakala Malalai terpaksa dijaga sendiri kerana masih menyusu badan.
“Di
pangkalan tentera tak ada tempat penjagaan anak. Jadi saya terpaksa
membawa Malalai sepanjang berada di pangkalan. Saya membawanya menaiki
helikopter pada usia dua bulan. Beliau membesar dalam helikopter dan
kadang-kadang saya berasa dia bukan anak saya, tetapi anak perempuan
helikopter!” katanya.
Ikut jejak langkah
Latifa
berkata, sepanjang Malalai membesar, bayi itu tidak memberikan masalah
kerana kerap tidur. Melangkah usia empat tahun dia membesar seperti
kanak-kanak lain.
“Di
dalam pesawat, dia akan duduk di sebelah saya. Apabila mengantuk dia
akan terlelap dan meletakkan kepalanya di bahu saya. Sehinggalah pada
suatu hari penasihat pangkalan tidak membenarkan Malalai duduk di sisi
saya kerana ancaman bahaya. Ketika itu, Malalai menangis sehingga
demam,” katanya.
Kini,
pangkalan Udara Kabul mempunyai tadika dan Malalai di tempatkan di
tadika itu sepanjang hari. Kehidupan Malalai amat berbeza dengan
kanak-kanak lain.
Kanak-kanak itu jarang menyebut nama ayahnya sebaliknya menjadikan Latifah sebagai nama pengganti ayahnya.
“Saya anak perempuan Pilot Latifa”, itulah yang sering dijawab setiap kali namanya ditanya.
Latifah berkata, perjalanan hidupnya kini menjadi lebih mudah selepas Malalai membesar.
“Saya
amat berterima kasih kepada bapa. Kini saya menjadi seorang ibu saya
sedar kesukaran ibu bapa menghadapi kerenah anak sepanjang mereka
membesar. Saya berharap, Malalai akan mengikuti jejak langkah saya untuk
bergelar juruterbang untuk Afghnistan pada masa hadapan,” katanya.
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan