Saje aku share
sebab aku mengalami benda alah ni. Sakit wooo. Takleh bangun. Disebabkan
accident teruk 7 tahun yang lalu. Kepada yang selalu rasa macamni, cuba
korang baca info ni. Sebab kalau dibiarkan boleh lumpuh!
HIMPITAN yang berlaku pada dalam atau luar saraf akan memberi impak terhadap postur tubuh, kemampuan anggota tangan dan kaki serta kesakitan semasa berjalan.
KEBAS di bahagian kaki atau belakang paha yang kadang kala melibatkan kawasan pinggul sering sahaja dianggap remeh oleh kebanyakan daripada kita.
Dengan hanya menyapu salap panas atau mengurut, kesakitan dan rasa kebas tersebut hilang seketika, namun ia menyerang kembali tanpa mengira waktu. Dalam istilah perubatan, kebas atau paresthesia merupakan satu keadaan di mana kawasan pada bahagian anggota badan seperti kaki dan tangan tidak boleh merasa. Menurut Pakar Perunding Neurosurgeri (Bedah Otak dan Saraf) Hospital Kuala Lumpur, Dr. Azmi Alias, keadaan tersebut boleh menjadi lebih teruk sekiranya dibiarkan berlanjutan.
Tekanan terhadap saraf
“Kebas atau rasa mencucuk di bahagian aras pinggang hingga ke bawah merupakan antara simptom awal terhadap abnormaliti keadaan saraf tunjang di dalam tulang belakang,” katanya.
Azmi menjelaskan, gejala tersebut boleh berlaku akibat penyakit berkaitan saraf tunjang dan akar saraf yang secara umumnya dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Extradural (25 peratus), Intradural extramedullary (50 peratus) dan Intradural intramedullary (25 peratus), berdasarkan kepada kedudukannya dengan selaput saraf tunjang atau dikenali sebagai Dura Matter.
Tekanan terhadap saraf tunjang boleh menyebabkan pesakit mengalami gejala seperti lemah anggota kaki, hilang keseimbangan semasa berjalan, kebas, hilang kawalan autonomik terhadap pundi kencing dan kesukaran untuk membuang air besar.
“Tekanan terhadap akar saraf pula menyebabkan pesakit berasa sakit di bahagian belakang dan kadangkala renjatan yang menular ke sebelah bahagian peha dan betis,” jelasnya.
Bagi kategori Extradural, ia berlaku akibat penyakit di luar selaput saraf tunjang seperti Spondylosis, cakera (disk) tulang belakang terkeluar (PID), keretakan tulang belakang akibat kemalangan serta ketumbuhan.
“Bagi kategori ini, himpitan terjadi di kawasan luar saraf tunjang. Ini secara tidak langsung akan mengganggu bahagian saraf yang mengawal deria sentuh serta saraf motor,” ujarnya.
Bagi kategori kedua iaitu Intradural Extramedullary, ia berlaku akibat penyakit di dalam selaput dura tetapi di luar saraf tunjang seperti ketumbuhan Meningioma dan Schwannoma.
Bagi kategori ketiga pula, penyakit tersebut melibatkan saraf tunjang itu sendiri seperti ketumbuhan Ependymoma dan Astrocytoma, jangkitan saraf, penyakit vascular, syringomyelia dan demyelination.
Serang tidak kira masa
Menurut Azmi, gejala seperti kebas, rasa mencucuk pada mana-mana anggota tubuh terutama bahagian kaki perlu diambil perhatian oleh orang ramai.
“Malah, lemah anggota tangan atau kaki serta hilang kawalan pundi kencing dan sembelit memberi petanda terdapat masalah berkaitan saraf,” katanya.
Bukan sekadar itu, rasa kebas atau sakit akan timbul dan menjadi lebih teruk apabila melakukan kerja-kerja harian seperti membongkok, mengangkat barang atau keadaan posisi tubuh yang salah.
Tidak terhad di kawasan pinggul dan belakang paha, kesakitan turut merebak di anggota tubuh yang lain atau radiculopathy turut mengganggu keselesaan pesakit.
“Ada keadaan tertentu, pesakit boleh menjadi lumpuh akibat himpitan pada saraf ini,” jelasnya.
Di samping itu juga, kebas pada anggota kaki ini menyerang tidak kira masa. Malah, dalam keadaan tubuh sedang berehat, kebas ini masih terasa.
“Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa penyakit lain yang boleh menyebabkan gejala kebas seperti arteriosclerosis di mana salur darah di bahagian kaki menjadi lebih sempit menyebabkan pesakit mengalami gejala intermittent claudication termasuk sakit atau kebas di bahagian kaki dan hanya boleh berjalan sehingga beberapa meter sahaja.
Tambahnya lagi, penghidap penyakit kencing manis juga boleh mengalami gejala kebas di hujung jari tangan dan kaki.
Penggantian cakera
Mengenai rawatan, Azmi menjelaskan ia bergantung kepada jenis penyakit dan kerosakan yang berlaku sehingga menghimpit saraf tunjang dan ekor saraf.
“Sekiranya ia melibatkan kehadiran tumor, pembedahan perlu dilakukan bagi membuangnya. Sekiranya ia melibatkan cakera tulang belakang yang terkeluar, pembedahan bagi mengeluarkan bahagian cakera tersebut dan penggantian cakera boleh dilakukan,” katanya.
Tambahnya, ubat penahan sakit dan teknik Traction atau regangan tulang belakang turut dilakukan dalam sesetengah kes PID yang boleh mengurangkan tekanan terhadap akar saraf.
Dalam pada itu, Azmi menjelaskan pesakit perlu berjumpa doktor dan untuk menjalani pemeriksaan fizikal bagi mengetahui keadaan saraf dan kawasan yang terlibat.
“Untuk pemeriksaan tersebut, salah satu caranya ialah penggunaan peta titik saraf sebagai rujukan dan dari situ, pakar dapat mengetahui bahagian sebenar tubuh yang bermasalah,” katanya sambil menunjukkan gambarajah tersebut.
Lanjutan daripada pemeriksaan fizikal, pesakit perlu menjalani ujian imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) di bahagian tulang belakang bagi meneliti secara terperinci struktur saraf tunjang, akar saraf dan anatomi tisu sekelilingnya dengan lebih jelas.
Selain daripada itu, ujian X-ray dan CT Scan juga boleh dilakukan bagi mengetahui keadaan tulang belakang yang secara semulajadi berfungsi melindungi saraf tunjang pesakit.
p/s: Penulis blog bukanlah seorang pengamal perubatan. Apa yang dikongsikan disini adalah sebuah artikel drp jurnal perubatan.
Sumber : Kini2u/http://johanharith.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan