Selasa, 23 Julai 2013

Kebenaran Islam Dalam Sains: Tua dan Mati, Saintis Akhirnya Akur pada Islam

RASULULLAH SAW. bersabda, "Wahai hamba Allah, berubatlah, sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit kecuali ia telah menetapkan baginya penawar, kecuali satu. Mereka bertanya, "Apakah yang satu itu?" Lalu baginda menjawab, "iaitu tua." –
Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tarmizi.
Hadis di atas tadi adalah jawapan Rasulullah s.a.w. apabila ditanya oleh orang Arab tentang perlunya berubat. Tua tidak ada penawarnya, bila sampai masanya ia akan tetap terjadi. Baru-baru ini sekumpulan saintis berjaya membuat satu penemuan di dalam DNA manusia yang menyebabkan orang menjadi tua. Berdasarkan penemuan itu, penyelidik dari Institut Kanser Dana Farber percaya mereka telah berjaya memecahkan kod penuaan yang terdapat di dalam rantaian DNA.

Proses penuaan seseorang dikawal oleh telomere yang terdapat pada hujung rantaian kromosom. Telomere ini pula berada di pusat kromosom yang terakhir itu. Apabila usia semakin tua, telomere akan mengalami kerosakan dan semakin memendek. Proses ini akan terus berjalan dan telomere akan menjadi semakin pendek setiap kali berlaku pecahan sel sehinggalah sampai pada tahap tertentu, telomere tidak mampu lagi berfungsi dengan baik. Ketika itulah kita akan mula merasai tanda-tanda penuaan seperti kehilangan pendengaran dan kurang ingatan.
"Apabila telomere yang semakin pendek, ia akan mendedahkan seseorang kepada Alzheimer, penyakit jantung, diabetes dan kanser. Semua penyakit itu boleh dihindarkan jika kita dapat mengekalkan tahap kesihatan dan struktur telomere pada bentuk asalnya," jelas Dr. Ronald DePinho, Pengarah Institut Belfer di Institut Kanser Dana-Farber, Boston, Amerika Syarikat.
Sementara itu, setelah menempuh sebuah kajian yang cukup panjang akhirnya para pengkaji itu mendapati ada sejenis enzim di dalam badan manusia yang boleh mengekalkan dan membaiki kerosakan telomere. Enzim itu dipanggil telomerase yang boleh mengaktifkan semula telomere, mengembalikan saiz otak dan secara tidak langsung boleh melenyapkan tanda-tanda penuaan.
Buat masa ini penemuan itu baru dikaji pada tikus saja dan belum diuji ke atas manusia. Untuk mengetahui adakah ia berkesan kepada manusia, ia memerlukan kajian yang lebih mendalam. Dengan penemuan itu para pengkaji bersetuju bahawa cara rawatan telomerase boleh menghalang proses penuaan daripada berlaku.
Namun ada satu pendapat lagi yang menentang penggunaan kaedah tersebut kerana dibimbangi akan mendatangkan risiko lain. Mungkin akan berlaku satu lagi masalah apabila sel tua ini dibiarkan melewati usia tanpa penghujungnya iaitu kematian, maka akan menyebabkan sel tersebut berkembang hingga menyebabkan kanser. Ia akan menjadi satu masalah lagi kerana perlu menjalani satu proses rawatan lagi dan akhirnya apabila gagal, akan membawa kepada kematian juga.
 


Berdasarkan pertimbangan itu, para penyelidik melihat bahawa penuaan adalah satu proses normal pada setiap benda yang hidup. Itu adalah satu cara manusia mengakhiri hidup ini secara normal iaitu mati.
Oleh kerana itu para saintis hanya mampu mengesyorkan pengambilan makanan yang seimbang, bersenam dan hindari rokok kerana amalan hidup yang sihat ini boleh melambat-kan proses penuaan. Namun hakikatnya tua pasti akan datang. Bila sampai masanya, ia akan hadir tanpa disedari. Habit yang sihat itu telah dibuktikan boleh mengurangkan kemusnahan sel yang disebabkan oleh proses penuaan pada DNA.
Di dalam DNA itu ada segala maklumat tentang kehidupan dan kematian kita. Gen penuaan pula iaitu telomere yang bertanggungjawab menjaga rantaian DNA, memiliki kepanjangan tertentu. Ia akan menjadi semakin pendek dan pendek setiap kali berlaku pecahan sel hinggalah sampai satu tahap sel itu mati.
Telomere adalah penemuan terbaru para saintis yang mengkaji proses biologi manusia, namun hadis Nabi Muhammad s.a.w. telah lama membicarakan tentang tua yang tidak ada ubatnya. Nabi sudah menjelaskan bahawa apabila sampai masanya, tua akan datang dan tidak ada ubat yang boleh menghalangnya. Pada wajah mungkin dapat dielak daripada kelihatan tua namun pada usia sel, ia tidak mampu ditahan. Proses itu akan terus berjalan secara semula jadi.
Ini juga membuktikan kebenaran firman Allah, yang bermaksud,
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu. Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa membalas amal kamu, lagi Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat."- surah Al-Mulk: 2.
Menurut Profesor Lee Silver dari Universiti Princeton, AS, setiap usaha untuk mengekalkan sesuatu adalah melawan fitrah alam. Kematian adalah selari dengan pembangunan. Kita me-wariskan gen kepada generasi berikut-nya. Jika kita tidak mati maka kita akan mengorbankan anak-anak kita untuk hidup dan ini tentunya tidak baik untuk perkembangan pembangunan.Setiap yang hidup pasti akan mati, itulah hukum alam yang telah ditetap-kan. Semuanya telah dijelaskan di dalam al-Quran,
"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang telah ditetapkan. Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka menangguhkan dan tidak dapat pula mereka meminta mendahulukannya walau sesaat jua pun." – surah al-Araaf:34.
 http://suaraislamik.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...