MUSIBAH
ialah bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain,
musibah dikaitkan dengan sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan
penderitaan kepada seseorang. Meskipun begitu, Allah menjadikan musibah
sebagai ujian ke atas hamba-Nya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Kemudian Allah jelaskan mengenai orang yang sabar dalam firman-Nya yang bermaksud:
“(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jugalah (tempat) kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)
Dalam
ayat itu Allah menyatakan bahawa setiap hamba-Nya akan diuji. Ujian
Allah berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti bencana banjir, tanah
runtuh, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Ini
untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah
dalam apa juga keadaan ditempuhinya.
Jelaslah
orang yang sabar itu tetap beriktikad bahawa diri mereka hamba dan
milik Allah walaupun ditimpa musibah amat berat. Malah mereka sentiasa
mengharapkan balasan pahala daripada Allah dan sentiasa takuti
azab-Nya.
Ibn
Kathir (1992) ketika mentafsir ayat itu menjelaskan: “Dengan
melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah
menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah.
Allah berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya.”
Untuk
memperkukuhkan lagi tafsirannya, Ibn Kathir membawakan beberapa hadis,
antaranya yang diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud: “Ummu Salamah
berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorangpun
daripada kalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan
apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah, ayat 156 surah
al-Baqarah yang bermaksud), “Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik
Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya Allah, berilah pahala
bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik
daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih
baik.”
Ummu
Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku sering
bertanya kepada diriku sendiri, orang Islam manakah yang lebih baik
daripada Abu Salamah? Dialah orang pertama hijrah kepada Rasulullah SAW.
Pertanyaan itu sering aku mengulanginya, lalu Allah menggantikan
untukku Rasulullah SAW sendiri.”
Ummu
Salamah berkata: “Baginda SAW mengutuskan Hatib bin Balta‘ah untuk
melamarku bagi dirinya sendiri. Lalu Umm Salamah berkata lagi: Aku
mempunyai seorang anak perempuan dan aku seorang wanita yang kuat
cemburu. Jawab Baginda SAW: Mengenai anak perempuannya kita doakan
semoga Allah cukupkan segala keperluannya dan aku mendoakan semoga Allah
hilangkan rasa cemburunya itu.”
Berdasarkan
kefahaman hadis itu, balasan Allah atas kesabaran Ummu Salamah yang
diuji dengan kematian suaminya Abu Salamah, ialah beliau dikahwini oleh
Rasulullah SAW.
Dalam
hadis lain yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud:
“Abu Sinan berkata: Selepas aku mengebumikan anakku, aku masih berada
di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulani lantas memegang
tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka
sekiranya aku menceritakan sesuatu yang menggembirakanmu? Jawab Abu
Sinan: Baiklah.
Lalu
Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin ‘Azib
menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: Sabda Rasulullah SAW
bahawa Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Malaikat Maut, engkau
mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau mengambil buah
hatinya dan anak kesayangannya. Jawab Malaikat Maut: Ya! Lalu Allah
berfirman, Apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)? Jawabnya: Ia
memuji Engkau dengan berkata kami ini adalah hamba dan milik Allah dan
kepada-Nya kami akan dikembalikan. Maka Allah berfirman: Binalah
untuknya sebuah rumah di dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait
al-Hamd.”
Hadis
kedua menjelaskan sikap Abu Sinan tetap memuji Allah walaupun anak
kesayangan meninggal dunia. Jelaslah ujian Allah adalah untuk melihat
kekuatan akidah hamba-Nya, sama ada hanya bertuhankan-Nya dalam keadaan
senang saja atau terus bertuhankan-Nya dalam apa juga keadaan
sekalipun.
Oleh
itu, dapat disimpulkan bahawa Allah menguji keimanan hamba-Nya dengan
pelbagai musibah. Musibah Allah bukan sekadar kematian saja, malah ia
didatangkan dalam pelbagai bentuk serta keadaan.
http://aljerusi08.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan