Awan
putih berlangitkan sebiru warna, menambahkan keindahan alam semulajadi.
Kecantikan alam yang tiada taranya menyaksikan pelbagai acara
pementasan hidup yang beraneka gaya. Maha suci Allah yang menciptakan
manusia yang berpasangan begitu juga makhluk Allah yang lain turut
memenuhi pelusuk bumi.
Alhamdulillah, kita masih bernyawa
menunaikan segala perintahnya, akur dengan ketentuan illahi walaupun
penuh dengan pancaroba. Seringkali hidup dicabar dan diuji namun terus
berdiri gagah dengan pertolongan Allah SWT.
Mengharungi hari demi
hari membuat kita tidak terlepas dari melakukan dosa. Dosa kecil mahupun
besar terpendam dilubuk hati dan adakalanya membentuk pelbagai rasa.
Pernahkah kita memohon keampunan dariNya? Saya yakin kita sebagai hamba
diberikan naluri untuk mengetahui akan dosa-dosa yang dilakukan walaupun
tanpa sedar.
Adakah kita insaf?
Sekiranya
keinsafan masih menebal pada diri, sebenarnya kita masih lagi menyirami
iman kita dengan baja keampunan dari Allah SWT. Jika tidak, jangan
dibiarkan dosa-dosa itu menjadi sebati dan kekal selamanya pada hati
nurani kerana dari situlah ‘air muka’ kita akan terbentuk dengan
perkara-perkara yang sebenarnya datang dari hati kita sendiri.
Oleh
itu, jagalah hati dan kasihanilah kerana dia juga makhluk Allah seperti
kita. Tugasnya sangat berat untuk mengawal manusia dari melakukan dosa.
Kalau hati kita baik, baiklah kita sebagai khalifah Allah dimuka bumi.
Jika tidak, hati kita akan melakukan sesuatu yang tidak mungkin
dijangka.
Tahap iman dalam diri.
Disaat
dan ketika ini, ada dikalangan kita mengatakan bahawa apabila seseorang
itu dipenuhi dengan iman dan taqwa pastinya berpegang teguh dengan
agamanya. Mana mungkin manusia yang bersifat baharu ini tidak akan diuji
walaupun hidupnya diselubungi dengan kemewahan melimpah ruah.
Ada
juga menyatakan yang menutup aurat itu hidupnya akan menjadi kebal
dengan nafsu kerana badannya dilitupi dan tidak akan mudah melakukan
dosa berbanding mereka yang tidak berhijab atau tidak menutup aurat.
Dari
pandangan saya, bukan mudah untuk memelihara iman, kerana iman kita ini
ibarat daun-daun yang berguguran, apabila ia dipukul angin ia akan
berterbangan mengikut arus angin. Sesungguhnya, iman itu tidak bersifat
kekal dan sentiasa berubah-ubah.
Ada suatu masa kita rasakan hidup
ini sangat dekat dengan Allah SWT dan adakalanya tidak. Itulah manusia
yang Allah ciptakan, hatinya sentiasa bermain-main dengan perasaan.
Kadangkala dengan iman kita terasa indah dan lama kelamaan iman itu
semakin hilang dan menjadikan kita manusia yang alpa kepada Allah SWT.
Ini kerana keteguhan kita terhadap iman masih diawang-awangan dan
menganggap tiada kepentingan dalam mengekalkan iman di dalam diri.
Setiap saat diuji.
Tidak
akan senang manusia itu kalau hidup tidak pernah diuji. Sekiranya
sentiasa aman dan bahagia kemungkinan kitaran kehidupan kita ini akan
kehilangan sesuatu yang dikatakan “ujian dan dugaan”.
Ya, saat
kita diuji adakah kita sedar akan ujian diberikan? Manusia sentiasa leka
dengan kesibukan dunia sehingga lupa kepentingan akhirat yang perlu
diutamakan. Apa yang mereka ingat adalah nikmat dunia. Sehingga manusia
menjadikan dunia itu sebagai tongkat untuk berdiri sedangkan yang
menjadikan mereka berdiri dengan gagah itu adalah dari Allah SWT.
Biarlah diri kita diuji, Allah mahu membersihkan kita dari segala
kekotoran yang menyelubungi dari segenap sudut pada anggota badan kita
iaitu hati.
Serah diri padaNya.
Saat
menadah tangan pohonlah keampunan kepada Allah, berdoalah dengan penuh
pengharapan agar kita diampunkan dari segala dosa-dosa yang lalu.
Biarlah air mata sepi menjadi saksi tanda kita takut kepadaNya.
Beristighfarlah, kerana banyak hikmah terkandung disebalik makna-makna
yang diucapkan.
Yakin dan percaya dengan kewujudan dosa dan
pahala, syurga dan neraka. Jangan lalai mahupun leka kerana kematian
sentiasa menghampiri.
Beriman kepada Allah SWT adalah satu
landasan yang merupakan penjuru disetiap kehidupan. Walaupun iman tidak
boleh diwarisi tapi boleh menjadi benteng dalam menghadapi pelbagai
keresahan hidup.
Berdoalah kerana dengan doa, Allah akan mendengar
segala keluhan kita kerana tuhan tahu apabila kita melakukan dosa kita
akan kembali mengadapNya. Perbaikilah diri dengan kesalahan serta
kesilapan yang kita lakukan. Perelokkan nawaitu kita untuk kembali
bertaubat dan bersujud padaNya.
Sucikan hati dan rawatlah jiwa
dengan ayat-ayat Allah iaitu al-Quran yang merupakan surat cinta yang
diutuskan kepada hamba-hambanya.
Cinta Allah akan kekal dihati, kewujudanNya dapat dirasai, hadirNya bagaikan merentap sanubari.
“Ya Allah, aku bersedia menerima segala ujian dan dugaan-MU”.
ilu islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan