Khamis, 9 Januari 2014

Puluhan tahun berpuasa akhirnya Terry peluk Islam

 Terry Fa’iz Kenneth Brougham
ISLAM bukan asing buat pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dari United Kingdom, Terry Fa’iz Kenneth Brougham.

Sudah puluhan tahun beliau mempraktik sebahagian ibadat Islam termasuk berpuasa pada Ramadan dan hanya makan juadah halal kerana disifatkannya amalan baik.

Beliau mempelajari Islam melalui sama ada hasil pembacaan buku dan internet serta bertukar pandangan dengan beberapa rakannya.







“Dari buku dan internet, saya juga mengkaji al-Quran terjemahan bahasa Inggeris,” kata kepada Selangor Kini.

Terry Fa’iz yang mendiami negara ini sejak 16 tahun lalu juga tertarik dengan corak kehidupan di Malaysia dan menanam impian untuk menjadi seorang Islam.

“Sebelum ini, saya seorang Kristian tetapi pegangan tidak kuat. Saya tinggal lama di Malaysia dan mendapati gaya kehidupan umat Islam sangat bagus dan sempurna.

“Sejak dulu, saya dapat merasakan satu hari nanti saya menjadi orang Islam,” katanya yang akhirnya menjadi kenyataan pada hujung Disember lalu.

Terry Fa’iz Kenneth Brougham 2
Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-kanak itu juga mengakui kemasukannya sebagai seorang Islam banyak didorong keluarga angkatnya yang membantu memahami Islam secara lebih mudah dan berkesan.

“Saya ada keluarga angkat Melayu, mereka banyak membantu. Saya kini boleh fokus mempelajari Islam dan beramal ibadah dengan lebih tekun,” katanya yang belum berkahwin walaupun berusia 67 tahun.

Beliau yang melafaz kalimah dua syahadah pada Majlis Syahadah di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam bersama dua lagi mualaf, juga bercadang memperoleh taraf penduduk tetap di Malaysia.

Majlis itu turut disertai dua saudara baru, wanita Filipina, Fatimah Abdullah, 25, dan pemuda Dusun Sabah, Muhammad Nor Faizal Abdullah, 30.

Ia dipimpin Khalid Abdul Samad, pegawai Pemudahcara dan Perhubungan dari Islamic Outreach ABIM (IOA).

IOA menjalankan dakwah berterusan menerusi pelbagai program ilmu kepada masyarakat bukan Islam bagi meningkatkan kesedaran dan menimbulkan minat terhadap Islam.

Aktiviti dakwah itu dikendali tenaga pengajar sukarela terdiri dari pensyarah tempatan dan luar negara termasuk bahasa Hindi, Kembodia, China dan Jepun secara sukarela.

Ini mendorong ramai warganegara lain seperti Inggeris, Korea, China, India, Bangladesh selain sebahagian rakyat tempatan, menganut Islam menerusi IOA.

“Alhamdulillah, kita sudah mengIslamkan kira-kira 30 saudara baru sepanjang 2013. Angka itu ialah mereka yang diIslamkan melalui IOA dan pengurusan masjid ini secara rasmi.

“Selebihnya pula memilih memeluk Islam melalui bantuan pihak lain atau di negara masing-masing,” katanya.

IOA juga menjalankan aktiviti dakwah di satu ruang masjid dan merancang mengadakan kursus secara rasmi mulai tahun ini.

“Kursus bimbingan seperti Murabbiah yang mempraktik sistem mentor mentee juga ada. Mualaf digandingkan dengan pasangannya, seorang pendakwah Islam.

“Kita melatih 43 orang untuk tugas ini termasuk mengajar pembangunan ilmu agama. Kita juga ada kursus bimbingan saudara baru dalam bahasa Inggeris di pejabat IOA di Masjid Negara,” katanya.
- FZL
Selangorkini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...