Dalam bidang perniagaan, aspek untung dan
rugi akan diambil kira sebagai perkiraan audit kerana ia akan memberi
gambaran berjaya atau gagalnya urus niaga dilakukan. Tiada yang sanggup
membiarkan perniagaannya mengalami kerugian. Mustahil! Semua mahu
untung.
Bagaimana pula dengan kehidupan kita
selaku hamba-Nya? Tidakkah kita juga ingin menjadi hamba beruntung dan
tidak mahu jatuh muflis atau rugi? Jika ditanya, pasti semua ingin
untung, baik di dunia mahupun kehidupan abadi di akhirat. Namun, sedar
atau tidak, ada di antara kita hanya mengejar untung di dunia sedang
akhiratnya rugi. Kita lebih menumpukan kepada dunia, sedangkan ia suatu
persinggahan sementara.
Dunia itu jambatan ke akhirat kelak
Saidina Ali bin Abi Talib RA mengumpamakan dunia sebagai
ladang akhirat. Ini bermaksud kehidupan kita di dunia ini adalah untuk
‘bercucuk tanam’ dalam bentuk ibadah dan amalan soleh. Hasilnya kita
akan tuai di akhirat dan itu pun jika ada.
Rasulullah SAW mengingatkan kita
supaya menjadikan diri bukan sebagai penduduk tetap di dunia ini, tetapi
anggaplah diri sebagai musafir yang sedang berkelana menuju ke
destinasi terakhir iaitu alam akhirat. Panjang mana sekalipun usia yang
dianugerahkan kepada kita, akan sampai juga titik akhir dan ketika itu
tahulah kita setakat mana bekalan kita bawa bersama untuk bertemu Allah
nanti.
Atas faktor itulah kita seharusnya
sentiasa dalam keadaan insaf untuk menjalani kehidupan di dunia ini
mengikut lunas dan landasan ditetapkan agama. Segala perintah Allah
wajib ditunaikan tanpa sebarang alasan dan segala larangan-Nya kita
elakkan sejauh-jauhnya tanpa berasa berat di hati. Inilah jalan takwa
sebagaimana yang dituntut kepada kita.
Kita juga wajar mengingatkan diri, bekalan menuju alam akhirat bertemu Allah nanti tidak hanya berlegar terhadap kerajinan ibadah tertentu khususnya yang menjadi paksi kepada rukun Islam semata-mata, malah banyak lagi bentuk ibadah yang perlu dilakukan. Sebenarnya konsep ibadah dalam Islam amat luas dan tidak terhenti kepada hubungan dengan Allah. Bahkan, ia turut membabitkan hubungan sesama manusia dan alam sekitar. Kedua-dua bentuk hubungan itu perlu dipelihara dan dilalui dengan sebaik-baiknya.
Andainya kita beranggapan aspek
hubungan sesama manusia tidak penting, ternyata kita sudah melakukan
satu kesilapan besar yang akan merencatkan bekalan kita ke akhirat
kelak. Rasulullah SAW pernah bertanya kepada sahabat:
“Tahukah kamu, siapakah yang dimaksudkan orang yang rugi itu?”
Mereka menjawab: “Orang yang rugi menurut pendapat kami adalah orang yang tidak mempunyai duit mahupun harta.”
Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan maksud
sebenar orang rugi: “Orang yang rugi dari umatku adalah orang yang
datang pada hari kiamat dengan membawa amal solehnya, puasanya dan
zakatnya dan dia membawa seluruh amalnya, sedangkan dia mencaci itu,
menuduh ini, memakan harta ini, memukul ini dan menumpahkan darah ini,
maka akan ditebus perbuatannya itu daripada amal kebajikannya dan ini
daripada amal kebajikannya. “ Jika sudah habis kebaikannya sebelum
seluruh amal kebaikannya dihisab, maka diambil daripada amal keburukan
mereka (orang yang pernah disakitinya) sehingga seluruh keburukan mereka
dilemparkan kepadanya kemudian dia dilemparkan ke neraka.” (Hadis
riwayat Muslim dan at-Tirmidzi).
Nyata, begitu rapi audit Allah. Jadi,
tidak gerunkah kita dengan audit sebegitu rapi yang dikenakan ke atas
segala amal kita di dunia sehingga akhirnya mengalami kerugian
bertimpa-timpa dan menempatkan diri kita ke jurang neraka? Bagi
mengelakkan kita mengalami kerugian di akhirat kelak, ada baiknya kita
hayati sepenuhnya peringatan Rasulullah SAW itu.
Jika sebelum ini kita tidak ambil peduli
soal persaudaraan, jadi marilah kita mula jalinkan persaudaraan. Kita
perelokkan budi pekerti sesama saudara, tidak mencela dan mengintai
keburukan, tetapi saling memuji dan menjunjung kebaikan. Kita buanglah
sikap suka mengata dan memperlekehkan sesama sendiri yang selama ini
menjadi tabiat kerana ia sedikit pun tidak mengundang kebaikan,
sebaliknya lebih banyak mendatangkan kerugian.
Semua mengetahui hakikat itu, namun
jarang ada yang mahu ambil peduli. Mengapa dan adakah keuntungan duniawi
lebih diutamakan? Mungkin kerana itulah juga ada pihak yang berasa
tidak bersalah mengambil harta secara tidak sah seperti rasuah dan riba.
Rezeki haram juga dikejar untuk disuap kepada anak dan isteri,
sedangkan rezeki halal masih banyak. Begitulah manusia, mudah terpedaya
dan rambang mata sehingga hilang pertimbangan. Manusia menjadi keliru
dalam mempertimbangkan di antara keuntungan dan kerugian, halal dan
haram, lebih-lebih apabila mempunyai pengaruh dan harta yang banyak.
Oleh itu, marilah kita ambil pengajaran
daripada hadis Rasulullah SAW tadi agar di akhirat nanti kita semua
tidak tergolong dalam kalangan mereka yang rugi. Jalanilah kehidupan
berpandukan syariat yang benar dan murni seperti ditetapkan Allah dan
ditunjuk Rasulullah SAW. Semoga dengan itu, kita semua tergolong
hamba-Nya yang beruntung khususnya di akhirat.
Sumber : Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan