Dulu,
aku hanya wanita biasa yang sering melakukan dosa, sibuk dengan hal
duniawi. Jarang sekali aku memikirkan hal akhirat. Sampai satu ketika,
hidayah itu datang. Alhamdulillah kerana Allah memilih diriku untuk ke
arahNya.
Di penjuru usia, aku
menangisi akan semua dosa yang telah ku lakukan. Aku cuba bangkit untuk
melakukan perubahan. Aku mula lakukan perubahan sedikit demi sedikit.
Sudah pasti apabila seseorang itu melakukan penghijrahan, dugaan akan
datang. Aku akur. Orang sekeliling akan sedikit merasa pelik dengan
perubahan yang ada.
”Kenapa engkau berubah..”
“kenapa alim sangat sekarang…”
“Kenapa itu dan kenapa begini? “
Pelbagai persoalan dan
respons
yang akan telah ku terima. Pada kawan-kawan yang memahami, mereka hanya
tersenyum dan mendoakan dalam hati. Tapi pada mereka yang seakan kurang
puas hati, mereka mula mempersoalkan.
Pada mulanya aku selalu
terfikir, bagaimana untuk aku hadapi mereka? Sememangnya keadaan itu
mulanya sedikit melemahkan aku. Aku sering menangis. Pada Allah aku
luahkan. Aku mohon hati aku dikuatkan dan mohon aku istiqamah dalam
melakukan perubahan. Alhamdulillah, tidak lama kemudian mereka semua
senyap seolah-olah dapat menerima perubahan diri aku.
Sahabat-sahabatku, inginku suarakan rasa hati ini. ‘
‘Jangan ditanya kenapa aku berubah, tetapi tanyakanlah pada diri mengapa kita perlu berubah”.
Manusia akan berubah bila–bila masa saja dan mereka berubah kerana
untuk mendapat redha Allah. Apabila seseorang itu ingin berubah, berilah
semangat kepada mereka.
Walaupun mungkin kita bukanlah muslimah
yang sempurna, tapi sekurang-kurangnya setiap pertanyaan dan reaksi kita
jangan sampai melemahkan orang yang ingin berubah. Perubahan itu perlu
dilakukan, bukan kerana suka-suka, tapi kerana Allah. Kalau dulu kita
mungkin kurang baik, kita boleh berubah untuk jadi yang lebih baik.
Adalah
lebih baik kita mendoakan sahabat yang ingin berhijrah dari kita
mempersoalkan perubahan itu. Dan jika kita mempersoalkan perubahan
seseorang itu ibarat kita mempersoalkan kepada Allah. Satu hari nanti,
kalian yang lain pun akan berubah dengan izin Allah.
Berusaha
lah untuk mencari hidayah Allah dan sentiasa bersangka baik kepada
orang lain. InsyaAllah, nikmat berhijrah pasti dirasai. Yang bertudung
pendek akan rasa selamat bila bertudung lebih sempurna tanpa
memperlihatkan bayangan leher dan rambut. Yang meninggalkan solat akan
rasa tenang bila melakukan solat, dan yang mengabaikan al-quran dan
sunnah akan terasa dekat dengan Allah dan rasul bila membaca dan
memahami.
InsyaAllah, kepada rakan-rakan di luar sana yang
sentiasa menyokong terima kasih diucapkan, hanya Allah saja yang dapat
balas jasa kalian. Berubahlah selagi ada masa dan berubahlah dengan hati
yang ikhlas kerana Allah.
- Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan