Adila Hussin McGhee, 43, berkata: “Saya masih seorang Islam, saya
masih percaya dengan Allah Tuhan yang Esa dan Nabi Muhammad s.a.w.
“Saya tahu apa yang baik dan buruk dalam ajaran agama. Jangan percaya fitnah orang,” katanya.
Berita mengenai wanita lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia dari
Ipoh ini, heboh dikatakan sudah murtad dalam Internet gara-gara artikel
yang diterbitkan oleh sebuah badan sukarela wanita yang berkait dengan
kerja amal gereja di Amerika Syarikat.
Artikel itu menyebut kononnya beliau sedia berkongsi “cerita dari
hati” bagaimana beliau menganut agama Kristian semasa berada di Malaysia
lagi selepas perkahwinan pertamanya gagal.
Adila yang suka melakukan kerja amal di daerah tempat tinggalnya itu,
berpindah ke Virgina selepas berkahwin untuk kali kedua dengan seorang
warga Amerika, dan kini tinggal di sebuah pekan kecil di daerah
Richmond.
Semasa dihubungi Bernama dari New York, bekas pelajar Kolej Islam
Klang, (KIK) Selangor itu menyangkal dakwaan yang beliau sudah menganut
agama Kristian.
“Saya amat sedih sekali kerana nama saya diaibkan dan ini satu
pembohongan tentang diri saya, saya langsung tidak pernah bertemu atau
ditemu ramah oleh penulis artikel itu.
“Malah semasa saya memberi penerangan mengenai Malaysia itu, ia
dihadiri oleh kumpulan wanita saja,” kata Adila yang kini menjadi tenaga
pengajar Bahasa Melayu di Diplomat Language Center di Washington DC.
Adila dicap murtad oleh segelintir rakyat Malaysia yang ‘termakan’ dengan kandungan artikel berkenaan.
“Saya sedih tidak tahu nak mengadu kepada siapa apabila mengetahui
mengenai perkara ini, semua orang sudah mempercayai fitnah yang mereka
dengar, tanpa usul periksa.
“Saya sudah terangkan perkara sebenar kepada kedua-dua ibu bapa, dan
bimbang perkara ini boleh menyebabkan anak-anak saya akan dipulaukan,”
kata Adila yang mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan pertamanya.
Beliau berkata kerja amal beliau sudah disalahertikan.
“Saya juga ada membuat perniagaan sabun buatan tangan dan saya perlu memperluaskan pasaran untuk menjual sabun-sabun saya.
“Oleh itu saya telah pergi ke pejabat daerah berhampiran tempat
tinggal saya dan mereka memperkenalkan saya kepada seorang pegawai untuk
memasarkan produk saya,” katanya.
Beliau telah membuka gerai semasa hari pesta menuai di pekan kecil,
Bowling Green dan gerai berkenaan bertempat di sebuah gimnasium di
sebuah gereja di situ.
Dari situlah beliau mengenali penduduk tempatan yang kemudian
menjemput beliau memberi ceramah untuk persatuan wanita yang ingin
mengenali Malaysia.
“Saya telah memberi ceramah mengenai Malaysia bermula dari sejarah
sebelum dan selepas merdeka, geografi, cuaca, ekonomi, penduduk,
makanan, budaya, agama dan lain-lain.
“Saya amat terkejut kerana ramai dari mereka yang tidak tahu di mana
Malaysia. Mereka cuma tahu bahawa Malaysia adalah negara Islam.
“Selain memperkenalkan tanah air kita kepada mereka, saya juga
menerangkan bagaimana wanita Malaysia berjaya dalam kehidupan mereka
serta memegang pelbagai jawatan tinggi di semua peringkat, dan boleh
memandu,” katanya.
Adila dan suaminya F. McGhee sudah menghubungi pengurusan gereja yang
menjemputnya memberi ceramah mengenai Malaysia itu, untuk berbincang
tentang penulisan artikel berkenaan dan mahu pihak pengurusan berbuat
sesuatu untuk membersihkan namanya.
Adila juga mendakwa gambar-gambar di laman Facebooknya termasuk
gambar semasa beliau belajar di KIK turut dimuat turun dan disebarkan di
laman sosial lain.
Katanya beliau juga diganggu dengan pelbagai tohmahan menerusi e-mel, teks dan panggilan telefon.
“Saya juga kesal kerana nama beberapa kawan saya semasa di KIK turut
dikaitkan dalam tohmahan ini, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa,” ujar
Adila. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan