Apa itu kudis tekanan atau bed sores? Kudis tekanan ialah kulit atau
tisu yang tercedera disebabkan kurangnya pengaliran darah dikawasan
kulit yang terlibat. Kebiasaannya ia berlaku disebabkan baring yang
terlalu lama dan tidak berubah kedudukan. Kebanyakan kudis tekanan
berlaku pada pesakit-pesakit lumpuh atau pesakit yang mengalami koma dan
tidak mampu bergerak untuk mengubah kedudukan.
Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Antara cara untuk mencegah kudis tekanan adalah dengan mengalihkan posisi pesakit setiap 2 jam sekali. Ini kerana salur darah menjadi lebih sempit disebabkan berat badan pesakit menekan salur darah. Selain itu, penggunaan tilam khas juga dapat mengurangkan risiko mendapat kudis tekanan. Tilam khas ini dapat mengurangkan tekanan pada tempat-tempat yang terlibat.
Satu lagi cara untuk mengelakkan daripada berlakunya kudis tekanan adalah dengan melakukan urutan pada bahagian yang mempunyai risiko tinggi berlakunya kudis. Rawatan ini boleh dilakukan dengan mengosok bahagian berisiko. Dinasihatkan supaya tidak melakukan urutan di bahagian yang telah berkudis kerana boleh merosakkan salur darah dan saraf. Selain itu, pengambilan makanan yang bernutrisi juga sangat penting.
Cara baringan yang baik bagi menghindari terkena kudis tekanan:
- Rendahkan kepala katil untuk mengelakkan geseran antara bahagian tubuh pesakit dan tilam.
- Elakkan baring di atas bahagian yang sakit. Gunakan bantal untuk mengelakkan kudis tersebut daripada tekanan.
- Jangan baring di atas tulang pinggul.
- Letakkan bantal di antara buku lali dan lutut untuk mengelakkan daripada bergeser antara satu sama lain, dan juga di bawah betis untuk meninggikan tumit dari tilam.
- Jangan letakkan bantal di bawah lutut kerana ini boleh mengurangkan peredaran darah ke kaki.
Bagi pesakit yang terlantar di tempat tidur seperti pesakit angin ahmar,
dan pesakit yang tidak sedarkan diri, penjaga perlu mengalihkan posisi
badannya setiap dua jam sekali (mengiring sebelah kanan, telentang,
mengiring sebelah kiri) dan melapik dengan bantal pada bahagian-bahagian
tertentu badan untuk mengurangkan tekanan. Elakkan geseran yang terlalu kasar ketika
perubahan posisi dilakukan.
Bagi yang memakai pampers,
elakkan daripada membiarkan pesakit berada di dalam kebasahan kerana ia akan
luka semakin parah. Jika di hospital, kebiasaannya doktor tidak
membenarkan pesakit memakai pampers untuk memudahkan persalinan kepada
pesakit. Manakala untuk pesakit yang berkerusi roda, pesakit perlu
menaikkan badan (push-up) setiap dua jam sekali untuk memastikan
peredaran udara di bahagian punggung dan belakang badan berlaku secara
normal.
Jika kudis tekanan telah muncul, anda perlulah merawat kudis tersebut
dengan segera. Penjagaan rapi kudis ini dengan kerap mencuci bahagian
kudis adalah sangat penting. Anti-septic boleh digunakan untuk
mengelakkan daripada berlakunya jangkitan. Ubat-ubatan juga boleh
digunakan seperti antibiotik jika jangkitan berlaku. Walau bagaimana
pun, sila dapatkan dahulu nasihat daripada doktor sebelum melakukan
rawatan susulan.
zulkbo.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan